Arkib Tag: Tony Fernandes

Tiada bantuan kerajaan, Fernandes bangga AirAsia terus bertahan

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd berbangga selepas syarikat itu berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus bayaran semula kepada pelanggannya.

Tan Sri Tony Fernandes berkata, walaupun syarikat mengalami masalah kewangan namun, lebih banyak bayaran balik dijangka dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Fernandes menganggap segala yang dilalui syarikat itu sebagai luar biasa kerana tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada kerajaan.

“AirAsia telah mengendalikan lebih 90 peratus bayaran balik dan ia tidak menjadi isu kerana kami telah bertindak secara telus.

“Pelanggan kami memahami bahawa kami telah memberi sokongan walaupun wujud rungutan dan pihak media juga menimbulkan isu tersebut,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail

Bayaran balik akan terus dilakukan apabila penerbangan disambung semula di Malaysia dan Filipina dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pelanggan AirAsia X juga akan mendapat baucar apabila syarikat penerbangan itu memulakan operasi semula.

Sektor penerbangan seluruh dunia mengalami impak sangat besar susulan pandemik Covid-19.

Ia susulan kebanyakan negara menutup pintu sempadan serta lapangan terbang sekaligus merugikan pelbagai sektor lain termasuk pelancongan dan perniagaan.

AirAsia sedia kembali terbang, harap lebih banyak negara buka sempadan

KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan pihaknya sedia kembali terbang dengan mempraktikkan langkah keselamatan tertinggi.

Jelasnya, kini semua kakitangan barisan hadapan AirAsia telah lengkap menerima suntikan vaksin penuh.

Hal ini kerana AirAsia mewajibkan semua kakitangan termasuk juruterbang, kru kabin dan pasukan bahagian operasi menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kami mewajibkan semua kakitangan barisan hadapan seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya,” katanya.

Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail

AirAsia memberi jaminan keselamatan terhadap semua penumpangnya dengan melaksanakan protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat.

Setakat ini, lebih daripada 50 negara seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin.

Justeru, Fernandes berharap lebih banyak negara memberi kelonggaran sekatan perjalanan kepada pelancong yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kemelut pandemik ini semakin jelas menuju penghujungnya dan saya yakin kita akan dapat kembali terbang dalam beberapa minggu lagi.

“Apa yang paling penting, kami telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berlepas,” katanya lagi.

AirAsia antara syarikat penerbangan pertama dunia menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 berikutan langkah keselamatan Covid-19 yang dilaksanakan sejak pandemik bermula.

Pengiktirafan diperoleh daripada pakar penerbangan di Airlineratings.com.

Berikut merupakan antara prosedur penumpang dikeluarkan AirAsia:

  • Penumpang digalakkan mendaftar masuk secara kendiri menerusi platform dalam talian
  • Penumpang digalakkan melakukan pembayaran secara digital dan menggunakan pas masuk elektronik
  • Penumpang mengesahkan dokumen perubatan dan kesihatan secara automatik dalam talian sebelum menuju lapangan terbang
  • Penumpang perlu melalui proses pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang dalam tempoh terdekat