Arkib Tag: tmj

JDT Racing Team – TMJ mulakan perbincangan dengan Hafizh Syahrin

HANYA sebulan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan hasrat menubuhkan pasukan JDT Racing Team, nampaknya langkah pertama telah dilakukan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuat perbincangan awal dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedua-dua watak penting dalam penubuhan satu lagi cabang sukan dalam JDT itu bertemu dalam satu majlis di Johor Bahru yang menandakan permulaan projek baharu ini dan turut dihadiri Valeriano Rodriguez, pengurus teknikal JDT Racing Team.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku Ismail membawa Hafizh Syahrin dan tetamunya melawat garaj kereta miliknya.

“Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah bertemu Hafizh Syahrin, pelumba dan Valeriano (Rodriguez) untuk berbincang mengenai pembentukan pasukan menjelang kempen musim 2024,” tulis hantaran itu.

“Bulan lalu, JDT mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal dengan pelumba terkemuka Malaysia itu.

“JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.”

Dalam keadaan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh pelumba negara di perlumbaan MotoGP baru-baru ini, diharap kerjasama ini akan mengembalikan semula zaman gemilang permotoran tempatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Gambar kredit: Instagram Hafizh Syahrin

TMJ dilihat dengan Ducati Panigale V4 SP, superbike edisi terhad hampir RM200k

TENGKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikenali sebagai peminat dan pengumpul kereta serta motosikal.

Selain dari Ford GT dan Lincoln Navigator yang pernah kami paparkan sebelum ini, baginda juga diketahui memiliki supercar seperti McLaren P1, dan juga beberapa muscle car.

Terkini, baginda dilihat menunggang sebuah Ducati Panigale V4 SP yang mungkin menjadi antara koleksi terkini miliknya.

Tunku Ismail memuatnaik beberapa Story di laman Instagram miliknya @hrhcrownprinceofjohor memaparkan rakaman sudut-sudut dekat dan terperinci superbike berkuasa tinggi itu.

Baginda juga berkongsi satu foto bersama Panigale V4 SP berwarna hitam-perak itu dengan kapsyen, “Be a game changer. The world is full of players.”

Gambar itu menerima lebih 127,000 Like dan lebih 590 komen pada masa artikel ini ditulis, iaitu kira-kira selepas hanya lima jam dimuatnaik.

Ducati Panigale V4 SP ialah model yang diasaskan dari V4S tetapi telah dinaiktaraf dengan komponen lebih dari perlumbaan yang premium, serta dihasilkan terhad ke[ada pengeluaran terhad.

V4 SP menerima warna khas Ducati Winter Test iaitu hitam dengan kontra merah dan aluminium, serta rim lima-bilah dari gentian karbon yang lebih ringan dari rim V4 ‘biasa’. V4 SP juga hanya dikhaskan untuk kegunaan litar sahaja.

Sistem brek adalah dari Brembo Stylema R dengan kemampuan self-bleeding pada silinder utamanya untuk memastikan prestasi optima dan konsistem semasa tunggangan di litar.

Suspensi pula menggunakan unit daripada Ohlins dengan fork NIX-30 di depan serta monoshock TTX36 di belakang dengan kawalan damper secara elektronik.

Enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103cc yang berkuasa 214hp pada 13,00rpm dan 124Nm tork pada 9,500rpm ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan klac kering STM-EVO SBK dan juga quickshifter DQS EVO 2.

Untuk memastikan kesemua 124hp dapat disalurkan ke roda belakang sebaiknya, jentera ini menampilkan Race Riding Mode yang membolehkan penunggang memilih dua tetapan enjin dan suspensi iaitu Race A dan Race B, bergantung kepada keperluan dan keadaan litar.

Ciri lain adalah pemijak kaki dari billet aluminium, penutup klac dari gentian karbon, sayap aerodinamik gentian karbon, dan Ducati Data Analyzer+ untuk telemetri dan GPS.

Tiada harga dijumpai untuk Ducati Panigale V4 SP ini yang dapat kami jumpa. Tetapi sebagai perbandingan, Panigale V4 S dijual pada harga RM172,000 semasa ia dilancarkan di Malaysia pada 2020.

Berapa anda rasa harga V4 SP ini?

Isu tajaan, Hafizh masih menanti perkhabaran TMJ

HAFIZH Syahrin Abdullah masih menanti perkhabaran daripada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menzahirkan minat menajanya, Jun lalu.

Hafizh mengakui sedang menunggu waktu sesuai menghadap Tunku Ismail yang difahamkan sedang sibuk dengan urusan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Belum ada lagi (perkhabaran penajaan), baginda sangat sibuk ketika ini kerana ada kerja lain yang perlu diselesaikannya.

“Lepas balik Malaysia, saya sudah free dan tidak buat apa-apa, mungkin tunggu waktu sesuai (menghadap baginda),” katanya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya membangunkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tahap membanggakan. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, Tunku Ismail menarik perhatian peminat sukan permotoran tanah air selepas mezahirkan hasrat menaja Hafizh.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pengguna media sosial sama ada berminat untuk menaja Hafizh.

Ahad lalu, kali terakhir Hafizh bergelar pelumba Moto2 dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 pada Grand Prix (GP) Valencia.

Selepas ini, Hafizh bakal menyertai Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Mie Racing Honda bermula musim 2022.

TMJ hadir sambutan kejuaraan JDT julang Liga Super dengan Lincoln Navigator

TENGKU Muda Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini tiba ke Stadium Sultan Ibrahim dengan menaiki Lincoln Navigator.

Tunku Ismail hadir ke stadium itu untuk acara ‘In-Car Viewing Party’ bagi menyambut kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara Liga Super kali kelapan berturut-turut.

JDT menamatkan musim 2021 dengan menjulang trofi Liga Super selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan itu merupakan kemenangan ke-18 buat JDT, selain mencatatkan keputusan seri 3 kali dan hanya kalah sekali.

Kelab itu telah memenangi Liga Super sejak 2014 diikuti dengan 2015, 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020.

 

Lincoln Navigator yang dinaiki Tunku Ismail mempunyai nombor plat bertulis ‘JOHOR’ dengan warna serba hitam dan kemasan krom.

Navigator ialah model paling mewah dan besar dari penawaran jenama Amerika Syarikat (AS) ini, dengan ukuran panjang 5,639mm, tinggi 1,930mm, dan lebar 2,029mm.

Sebagai perbandingan, Lincoln Navigator ini lebih panjang dari Mercedes S-Class (5,246mm) dan lebih tinggi dari Honda CR-V (1,689mm).

Model 2021 dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menghamburkan sekitar 450hp pada 5,500rpm dan 691Nm tork.

Bergantung kepada varian, Navigator mempunyai versi pacuan semua-roda 4×4 dan pacuan dua-roda 4×2, tetapi semua varian menggunakan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Lincoln Navigator dilengkapi gril besar dengan Active Grill Shutter, lampu LED, sistem pendingin hawa tiga-zon, kemasan kayu, Co-Pilot360, Active Noise Control, paparan instrumen digital 12-inci, dan pelbagai lagi ciri mewah.

SUV ini mempunyai harga permulaan USD77,000 (RM319,896) di AS, tetapi jika ditambah pelbagai pilihan kelengkapan, pasti harganya jauh lebih tinggi.

TMJ pandu Ford GT bertemu Datuk Azizulhasni

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam telah terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik.

Pertemuan itu diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Menerusi tulisan di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail dilihat tiba dengan memandu Ford GT baharu.

Supercar itu diberikan warna livery badan biru, merah dan putih seakan-akan bendera negeri Johor. Ford GT menampilkan rekaan badan cukup aerodinamik dan mengambil inspirasi rekabentuk generasi-generasi sebelumnya.

Tidak seperti generasi sebelumnya yang dikuasakan oleh enjin V8 supercharge, Ford GT baharu ini dipacu unit 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menjana 660hp dan 756Nm tork.

Dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, Ford GT mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 347km/j.

Pertemuan Tunku Ismail dengan Datuk Azizulhasni adalah bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian pelumba basikal itu di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.

“Tunku Mahkota Johor terima mengadap Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini, 7 September 2021 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status terbaru itu.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Azizulhasni berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Johor HRH Crown Prince of Johor diatas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di JDT HeadQuarter,” tulisnya.

“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini. Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor.

“Patik amat berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan semoga ia dapat di manfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di Johor.”

Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail.

“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” tambahnya.

Sumber gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor