Arkib Tag: terpakai

Kereta manual ‘sedap’ dengan bajet RM10,000

TAK sangka rupanya ada ramai juga di kalangan penonton Engear yang sukakan kereta manual, sama dengan penulis!

Kereta manual di sini bukanlah transmisi automatik dengan paddle-shifter atau kotak gear tiptronic, atau sebarang simbol “+” dan “-”, sebaliknya kotak gear manual sebenar dengan tiga pedal kaki.

Ya, kereta dengan kotak gear manual bukanlah paling laju kerana dalam zaman sekarang dimana ‘otak’ atau sistem komputer kenderaan mampu menjadikan kotak gear dwi-klac atau automatik biasa sekalipun menukar gear dengan cukup pantas dan efektif.

Dalam zaman ini, seseorang yang mahukan kotak gear manual hanyalah kerana dia mahukan keseronokan atau kepuasan memandu, merasa lebih kawalan.

Jadi, mari kita lihatkan beberapa kereta manual pilihan dengan bajet RM10,000. Oh ya, ada yang bukan kereta.

1. Nissan Terrano – RM10,000

Ya, yang pertama ini sebenarnya sebuah SUV pacuan empat-roda 4X4 iaitu Nissan Terrano. Ianya merupakan alternatif kepada Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper pada zaman 90-an.

Menurut Abang Syamsul kita, Terrano ini dengan RM10,000 agak mahal, macam biasa, jangan lupa ‘tenyeh’.

2. Proton Satria Neo – RM10,000

Seterusnya, kereta buatan Malaysia iaitu Proton Satria Neo, tahun 2009. Satria Neo yang dikeluarkan dari 2006 hingga 2010 menggunakan enjin Campro 1.6 dan terdapat juga versi 1.3, sebelum kehadiran Campro CPS pada 2011.

Satria Neo bukanlah kereta yang berkuasa, tetapi menawarkan satu platform yang cukup sempurna untuk anda melatih diri menjadi pemandu berkemahiran. Di samping itu, Neo mempunyai banyak potensi untuk naik taraf atau modifikasi.

Harga macam ok untuk umurnya, tetapi apa salahnya ‘nego’ sikit lagi.

3. Nissan AD-Resort – RM10,000

Ini merupakan model yang menjadi pilihan Abang Syamsul kita, Nissan AD Resort. Sebuah wagon mampu milik; ia boleh bawa banyak barang seperti van, boleh dinaiki lima orang dengan selesa, dan pengendalian seperti sebuah sedan.

Unit yang kami jumpa ini hadir dengan enjin SR18, dan AD Resort ini juga sesuai dijadikan kereta hobi. Rasanya kelab dan ahli AD Resort ini masih agak aktif di Malaysia.

4. Hyundai Accent – RM10,000

Seterusnya, kereta yang Abang Syamsul kurang berkenan, iaitu Hyundai Accent tahun 2007. Harga pun seperti agak mahal, mungkin disebabkan ada bulu-bulu di atas papan pemukanya.

Tetapi kereta ini memang nampak agak cantik dan terjaga. Apa pun, jika berminat, jangan lupa untuk tanya, nego, tenyeh, tekan, anda tahu apa nak buat…

5. Honda Civic Ferio – RM10,000

Akhir sekali, dalam senarai pendek kali ini, Honda menjadi pilihan kami iaitu Civic Ferio. Ia merupakan Civic generasi EG dengan badan gaya sedan.

Honda Civic EG merupakan satu model popular untuk kegunaan sukan permotoran seperti drag dan track day.

Kereta ini didaftar pada 1996, dengan enjin 1.6-liter manual. Dalaman nampak elok, tetapi luaran agak lusuh.

Jika berkenan, pastikan anda buat pemeriksaan menyeluruh, dan Honda Civic EG ini memang satu kereta yang sedap dipandu.

Apa macam senarai kami kali ini, ada yang sangkut?

Mana satu jadi pilihan anda?

Jika mahu lagi senarai-senarai sebegini nanti, jangan lupa komen untuk sebarang cadangan. Jika sesuai, kami akan usahakan. Terima kasih!

Honda Certified Used Car dilancar, kereta kurang 5-tahun dengan jaminan sah

HONDA Malaysia hari ini memperkenalkan program yang membolehkan anda memiliki kenderaan Honda terpakai yang telah disahkan dan telah melalui pemeriksaan tertentu.

Dipanggil Honda Certified Used Car (HCUC), program ini merupakan inisiatif syarikat itu bagi memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk memiliki kereta Honda.

Buat masa ini, enam pusat pengedar dari zon berbeza telah terpilih menjadi wakil HCUC:

  • MJN Motors Sdn. Bhd. (Selangor)
  • Tiong Nam Motor (M) Sdn. Bhd. (Selangor)
  • Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Pulau Pinang)
  • Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Johor)
  • Yong Ming Motor Sdn. Bhd. (Johor)
  • Chuan Thye Motor Sdn. Bhd. (Pahang)

Menurut Honda Malaysia, wakil HCUC ini akan ditambah dan dikembangkan mengikut permintaan di masa depan.

Dengan HCUC, anda kini boleh memilih kenderaan Honda terpakai bawah 5 tahun dan 100,000km, tetapi telah melalui pemeriksaan 288-poin oleh juruteknik bertauliah.

Pemeriksaan ini merangkumi keadaan enjin dan transmisi, fungsi-fungsi kenderaan, bahagian bawah, serta keadaan luaran dan dalaman.

Kesemua kenderaan HCUC akan diberikan alat ganti tulen dan sah bebas dari kemalangan besar serta kerosakan banjir.

Sebagai tambahan, kereta-kereta Honda yang anda beli melalui program HCUC ini akan mendapat jaminan satu tahun selain dari jaminan sedia ada.

Untuk maklumat lanjut, lawati mana-mana senarai wakil HCUC di atas atau hubungi 1-800-88-2020.

Anda mungkin dapat miliki Honda lebih mudah dengan Certified Used Car

HONDA Malaysia bakal melancarkan solusi pra-milik (pre-owned) mereka sendiri tidak lama lagi. Dipanggil Honda Certified Used Car, perniagaan terbaharu ini merupakan inisiatif syarikat itu bagi memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk memiliki kereta Honda.

Menurut Sunita Prabhakaran, ketua divisyen jualan Honda Malaysia, “Kami merasakan ia masa sesuai untuk memperkenalkan inisiatif ini.

“Dengan Certified Used Car, diharapkan lebih ramai pelanggan dapat menikmati ‘The Joy of Driving’ Honda.

“Walaubagaimanapun, kami belum dapat mendedahkan perincian program ini dan akan buat pengumuman tidak lama lagi,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Honda Certified Used Car dijangka serupa dengan program lain seperti BMW Premium Selection, Perodua POV dan Toyota Topmark.

Kenderaan-kenderaan di bawah program sebegini akan melalui pemeriksaan menyeluruh dan bebas kemalangan besar serta akan diberikan jaminan tertentu oleh pengeluar.

Apa pendapat anda mengenai program sebegini? Patutkah lebih banyak pengeluar tawarkan kenderaan terpakai dengan jaminan?

Perodua Viva masih jadi pilihan kereta terpakai, mahal ke nak jaga?

PERODUA Viva dilancarkan pada 2007 bagi menggantikan Kancil dan Kelisa. Fokusnya mudah: menjadi kereta kecil yang mesra pengguna, mudah dipandu dan paling penting, mesra poket.

Imej oleh: Mstar

Semasa pelancaran, ia ditawarkan dengan tiga pilihan kapasiti enjin – 649cc, 847cc dan 989cc – dan bergantung kepada enjin, anda boleh pilih kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Seiring dengan umurnya yang berusia lebih 10 tahun, Perodua Viva menjadi satu model popular dalam pasaran terpakai. Oleh itu, sebenarnya mahal ke tak nak jaga Perodua Viva ini? Mari kita lihatkan.

Minyak enjin

Perodua biasa menggunakan gred 5W-30 atau 10W-30, tetapi disebabkan kebanyakan sudah berusia, mungkin tahap kelegaan dalam komponen enjin sudah meningkat dan anda boleh pilih minyak enjin dengan kelikatan lebih tinggi seperti 10W-40.

Harga sekitar RM80 hingga RM120 termasuk penapis minyak dan upah.

Minyak gear

Bagi versi automatik, jenis ATF yang digunakan adalah jenis DIII dan kapasiti yang diperlukan sekitar 2.5-liter. Sekiranya penapis ditukar sekali, kapasiti ATF yang diperlukan adalah lebih tinggi. Kosnya dalam lingkungan RM280 hingga RM320.

Untuk versi manual, tidak perlu sekerap automatik, dan kosnya lebih rendah sekitar RM70 hingga RM90.

Air filter atau penapis udara

Komponen ini boleh ditukar sendiri kerana sangat mudah, tapi jika tidak tahu juga, boleh sahaja minta mekanik tukarkan semasa servis enjin. Harga murah sahaja, sekitar RM25.

Cabin filter atau penapis kabin

Ia berfungsi menapis udara dari luar sebelum masuk ke dalam kabin. Sekiranya sudah kotor, bau yang tak enak akan masuk ke dalam kabin dan sistem pendingin hawa juga mungkin tersumbat.

Harga sekitar RM15 hingga RM20 sahaja.

Spark plug atau palam pencucuh

Disebabkan kesemua varian Perodua Viva hanya mempunyai 3-silinder sahaja, maka hanya tiga unit palam pencucuh diperlukan. Petanda perlu ditukar adalah apabila kereta ada tersengguk atau rasa kehilangan kuasa.

Seeloknya tukar mengikut jadual sebelum ia menunjukkan simptom. Harga dalam lingkungan RM80 hingga RM90 termasuk upah.

Timing belt atau tali sawat

Perlu ditukar setiap 100,000km, harga sekitar RM400 hingga RM500 termasuk upah. Agak mahal, tapi bukan selalu. Mungkin dalam lima atau enam tahun, hanya sekali sahaja.

Engine mounting atau cagak enjin

Komponen ini perlu diperiksa terutamanya untuk kereta yang sudah melebihi usia 10 tahun. Malah, ada yang sekitar tujuh atau lapan tahun pun sudah menunjukkan tanda-tanda perlu ditukar.

Cagak enjin yang sudah rosak akan mengeras dan tidak dapat menyerap gegaran dari enjin. Maka, anda akan rasa lebih gegaran semasa memandu. Perlu ditukar agar tidak berlaku kerosakan melarat.

Terdapat tiga unit untuk satu set, dan lebih baik ditukar satu set. Harga sekitar RM400.

Klac

Khas untuk versi manual, dan klac memerlukan satu tempoh yang agak lama sebelum ia perlu ditukar. Kosnya dianggarkan sekitar RM600 hingga RM700, agak mahal kerana kerjanya agak rumit. Enjin perlu diturunkan sebelum kotak gear boleh dibuka.

Brake pad atau pelapik brek

Satu lagi komponen wear and tear, pelapik brek perlu ditukar setelah ia menipis. Terdapat banyak pilihan dalam pasaran, jenis ‘biasa’ berharga RM80 hingga RM100.

Brake rotor atau cakera brek

Tidak perlu ditukar sekerap pelapik brek, namun jika menujukkan tanda seperti tidak rata dan gegaran, ia perlu ditukar segera. Harga sekitar RM130 hingga RM150.

Brek belakang

Brek belakang adalah dari jenis dram, dan lebih sukar untuk diperiksa secara visual. Lebih baik anda bawa kereta ke bengkel, biar mereka yang pakar memeriksanya.

Sekiranya perlu ditukar, ia akan berharga sekitar RM160 termasuk upah.

Sistem pendingin hawa

Air-conditioning atau pendingin hawa juga memerlukan pemeriksaan dan penjagaan berkala. Belum tentu pendingin hawa sejuk, bermakna ia berfungsi dengan baik.

Flushing (menukar minyak baharu) perlu dilakukan mungkin beberapa tahun sekali untuk memastikan air-cond sentiasa berfungsi dengan baik. Ini juga akan menjaga komponen-komponen berkaitan seperti hos, compressor, condenser, dan evaporator.

Kos flushing adalah sekitar RM100 hingga RM150.

Penyerap hentak

Salah satu komponen dalam sistem gantungan, ia berfungsi memberikan keselesaan dan kawalan optima semasa memandu.

Tanda-tanda sudah rosak ialah suspensi terasa keras apabila melalui jalan tidak rata.

Terdapat beberapa pilihan OEM, dan harga sekitar RM550 hingga RM700 untuk satu set depan dan belakang termasuk upah. Jika keadaan penyerap hentak belakang masih baik, anda boleh tukar depan sahaja, lebih jimat. Yang penting tukar kiri dan kanan sekaligus.

Jadi ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang kos penjagaan asas Perodua Viva.

Ketika baru dilancarkan pada tahun 2007, Perodua Viva berada dalam lingkungan harga RM28,400 sehingga RM44,200. Carian di atas talian juga mendapati bahawa Perodua Viva boleh didapati dengan harga serendah RM5,000 sehingga RM26,000. Cukup murah dan berpatutan.

Segala harga yang dinyatakan diatas adalah harga purata yang diambil dari pelbagai kawasan.

Sekiranya anda mahu membeli alat ganti dengan harga yang berpatutan, boleh layari link ini

https://shopee.com.my/ngrautoparts.os

Semoga perkongsian kali ini membantu anda dalam pemburuan mencari Perodua Viva.

Mazda6, old school, MPV, CX-9, semua ada bawah RM30k!

JIKA Itali ada jenama kereta untuk enthusiasts iaitu Alfa Romeo, Jepun juga ada beberapa nama. Selain Subaru, Mazda boleh dikatakan jenama untuk pemandu tegar, salah satu sebab ialah pendekatan berbeza yang mereka ambil untuk membina sesebuah model.

Namun bukan semua orang mahu membeli Mazda baharu, ada yang mencari di pasaran terpakai. Mungkin untuk dijadikan kereta kedua, kereta hobi atau sekadar mahu kurangkan belanja bulanan.

Apa pun, di sini kami senaraikan tujuh Mazda pilihan yang boleh anda lihatkan, mana tahu ada yang berkenan dengan jiwa!

1. Mazda6 – RM23,800

Merupakan model yang telah banyak membantu Mazda mula membuat keuntungan, dan antara sedan paling cantik pada masa itu. Ini kerana pereka bentuknya, Moray Callum seorang yang agak terkenal dan berpengalaman juga.

Untuk harga RM23,800 dengan kereta tahun 2008 dan enjin 2.5-liter, dikira agak rendah. Sebab utama ialah kapasiti enjin besar yang kurang permintaan di pasaran terpakai.

Perbatuan kereta ini sekitar 180,000km, ada sunroof, keadaan baik, enjin dan kotak gear lancar katanya. Boleh pergi tengok ni.

2. Mazda Fighter – RM19,999

Sebuah trak pikap yang agak ‘sejuk’ sebab tak ramai yang berkenan. Jadi untuk harga itu, rasanya boleh runding lagi.

Zaman ini Mazda banyak berkongsi teknikal dengan Ford, dan ini menjadikan alat gantinya tidak begitu sukar dicari. Kalau tak jumpa barang di kedai Mazda, boleh cari di Ford.

3. Mazda CX-9 – RM25,000

Model 2008 dan menariknya, harga cuma RM25,000. Agak rendah untuk sebuah SUV mewah tujuh tempat duduk.

Ia menggunakan enjin 3.7-liter. Ya, maka inilah sebabnya harganya jatuh agak mendadak, malah lebih rendah dari Mazda6 tadi.

Tapi harus diingat, Mazda CX-9 ini sangat sedap dipandu dan selesa juga untuk penumpang. Kena berani lebih sikit, dan pastikan anda tahu mana tempat untuk selenggara, rasanya tiada masalah.

4. Mazda 808 – RM19,000

Pemilik mengiklankannya sebagai Mazda Capella, tetapi setahu kami ini ialah model 808. Sesuai untuk mereka yang kaki old school dan berminat untuk jadikan kereta hobi.

Mengikut iklan lagi, kereta dalam keadaaan ‘running condition’ dan tiada karat. Jika benar, memang dan cantik sangat ni, tinggal nak sambung jaga sahaja.

Buat touch-up sikit dah boleh join kelab klasik kemudian lepak di Art of Speed!

5. Mazda 323 – RM10,777

Juga dikenali sebagai Mazda Lantis, model keluaran 1996. Masa baharu dulu, siapa pakai kira playboy habis!

Direka untuk menyaingi dominasi model-model dari Toyota dan Honda, dan kami rasa Mazda agak berjaya dengan Lantis 323 ini kerana rekaannya cukup sporti dengan rupa depan ala Ferrari tahun 1980-an.

Ini merupakan model pengganti kepada Familia 323 (Astina) dengan lampu depan ‘pop-up’. Harga lebih kurang RM11k kami rasa cukup berbaloi kalau kereta ‘running condition’.

6. Mazda Jumbo 1000 – RM11,777

Satu lagi kereta old school. Harga yang ditawarkan pun cukup menarik, tak perlu runding pun dah okay.

Cuma pastikan tiada karat pada badan dan kerosakan teruk pada enjin.

Aspek lain biasanya boleh diusahakan dan jika anda dalam komuniti kereta klasik, mereka pasti dapat membantu.

7. Mazda 5 MPV – RM28,900

Antara MPV awal dari Mazda, dan dengan kapasiti enjin 2.0-liter, cukai jalannya kira munasabah dan tidak terlalu tinggi.

Walaupun sebuah kenderaan keluarga, dapat dilihat tempat duduknya masih dalam keadaan baik, kusyen tidak terlalu kendur dan penyek.

Harga RM29k itu tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah. Pastikan barang seperti sunroof tidak bocor dan semua mekanikal berfungsi dengan baik.

Panel badan juga perlu diperiksa agar dalam keadaan baik, kerana alat ganti model ini tidak begitu mudah dijumpai.

Amacam senarai kali ini? Agak menyeluruh, ada yang berkenan?

Rata-rata Mazda yang dikeluarkan pada tahun 2010 ke atas mempunyai enjin yang agak tahan lasak dan paling penting, sedap dipandu.

Jemput tonton video di bawah untuk lebih maklumat.

Nak beli kereta second hand? Wajib tengok tips ini dulu

KERETA terpakai menjadi pilihan atas banyak sebab. Selain dari harganya yang lebih rendah dari kereta baharu, ada juga memilih kereta terpakai kerana mahukan model yang sudah tidak dikeluarkan.

Jika betul pilihan kita, pembelian kereta terpakai boleh jadi menguntungkan, tetapi jika tersilap, boleh rugi dan pening kepala.

Jadi untuk mengelak dari pening kepala, rugi atau menyesal dengan pembelian. Sama-sama kita lihatkan dulu tips beli kereta terpakai ini.

1. Survey online

Dengan zaman semua di hujung jari, rasanya tak perlu lagi kita ke hulu ke hilir pergi kedai sana sini. Hanya layari sahaja ke platform dalam talian untuk survey atau buat tinjauan terlebih dahulu.

Cara ini bukan sahaja menjimatkan masa dan petrol, malah anda dapat gambaran lebih jelas situasi pasaran, harga kasar kereta, dan model-model yang ada boleh jadi pilihan mengikut kriteria anda.

Platform semua dah canggih, siap boleh tapis lagi iklan mengikut lokasi, model, julat harga, jenis kotak gear, dan macam-macam. Bila dah ada senarai pendek, barulah turun sendiri untuk melihat kereta dengan lebih dekat.

2. Tetapkan bajet

Antara perkara terpenting, tetapkan dahulu bajet kita sesuai dengan keadaaan kewangan. Sebaiknya ketepikan juga sejumlah wang untuk baikpulih dan tukar alatganti sebagai persediaan. Jangan jangkakan beli kereta terpakai terus dapat pandu dengan selesa. Perlu ada mentaliti yang betul.

Anda boleh guna juga fungsi seperti Loan Calculator di platform online untuk mengetahui bayaran bulanan sekiranya anda ambil pinjaman.

Mungkin boleh guna formula harga kereta bersamaan 12 bulan gaji, bergantung kepada komitmen anda. Ada juga kaki kereta yang mungkin sanggup lebihkan sedikit bajet mereka, apa pun pandai-pandailah ukur baju di badan sendiri ya.

3. Tetapkan usia dan perbatuan kereta

Seterusnya, kita tetapkan usia dan perbatuan kereta. Mungkin anda mahu kereta bawah usia tujuh tahun kerana taknak banyak baiki, atau mungkin anda memang mencari kereta klasik sedikit untuk buat hobi.

Rujukan sesuai ialah 20,000km perbatuan setahun secara purata untuk rakyat Malaysia. Jadi kalau kereta berumur 10 tahun, anda harus jangkakan perbatuan sekitar 200,000km. Kalau terlalu rendah, perlu lebih skeptikal dan berwaspada.

Sudah tentu faktor perbatuan dan usia kereta ini akan mempengaruhi harga.

4. Periksa bahagian luar dan dalam

Baik, bila anda ambil keputusan untuk pergi berkunjung/tengok kereta tu depan mata, cuba buat pemeriksaan visual luar dan dalam.

Penting untuk periksa panel badan, jarak antara panel, dan keadaan cat. Mungkin kereta itu pernah alami kemalangan dan dibaik-pulih, atau pernah dicat, pernah tukar bampar.

Di bahagian dalam, periksa segala tombol, papan pemuka, panel-panel dalam keadaan baik. Tiada yang longgar, patah atau hilang. Perkara-perkara ini juga boleh digunakan untuk tawar harga jika pemilik enggan membaikinya.

5. Periksa sejarah dan rekod servis kereta

Kemudian, cuba minta rekod servis kereta dari pemilik. Jika pemilik cukup cermat dan teliti, dia boleh berikan segala resit dan sejarah servis, baikpulih, penyelenggaraan kereta kepada anda, maka lebih mudah untuk anda nilai keadaan sebenar kereta.

Kereta yang diservis secara konsisten mengikut jadual yang ditetapkan menunjukkan kereta yang ingin dibeli berada dalam jagaan yang baik. Jika boleh, cari pemilik kereta yang setia menggunakan perkhidmatan pusat servis jenama masing-masing.

Jika ada keraguan, boleh juga hubungi pusat servis untuk buat pemeriksaan, hanya berikan maklumat seperti no plat. Ini penting untuk kenderaan yang pernah terlibat dalam recall, untuk pastikan mereka tukar semua komponen yang diperlukan untuk recall itu.

Mungkin boleh selidik juga kereta dah ada berapa pemilik, anda pemilik ke berapa. Jika lebih banyak bertukar tangan, lebih rendah harganya.

6. Periksa enjin

Setelah berpuas hati, periksa pula bahagian enjin. Periksa perkara-perkara seperti:

– Kebocoran minyak enjin
– Tiada komponen haus atau tertanggal
– Radiator berada dalam keadaan baik, tiada kekaratan
– Semua sambungan elektrik dan wayar dalam keadaan baik, tiada yang mengeras atau reput
– Periksa keadaan minyak enjin

Sekiranya anda kurang berpengetahuan terutamanya melibatkan perkara berkaitan teknikal, minta bantuan rakan anda yang mahir mengenainya atau mekanik kereta untuk mengelakkan dari anda ditipu.

Cara lain ialah bawa kereta ke mana-mana bengkel berdekatan dan minta mekanik buat pemeriksaan kereta yang ingin dibeli (bayaran dikenakan bergantung pada mekanik).

7. Periksa kelengkapan, fungsi dan operasi kereta

Sebelum pandu uji, periksa juga segala kelengkapan, fungsi dan operasi kereta boleh digunakan. Ini adalah aspek atau fungsi yang boleh digunakan tanpa perlu kereta bergerak antaranya;

– Lampu depan dan belakang
– Lampu isyarat (signal)
– Penggilap cermin
– Radio dan sistem infotainmen
– Pendingin hawa
– Hon
– Semua soket
– Pelaras tempat duduk
– Tali pinggang keledar
– Segala picu untuk hud depan, tangki minyak dan but belakang

Pada panel istrumen, periksa agar segala meter dan bacaan hidup. Meter rpm, meter kelajuan, semua lampu amaran hidup seketika, tiada lampu amaran yang kekal menyala.

Jangan lupa juga ciri tambahan lain seperti soket USB, sunroof, dan tingkap kuasa.

Aspek-aspek ini juga akan menentukan harga, anda boleh tawar lagi harga jika ada yang rosak atau tidak berfungsi dengan baik.

8. Pandu uji

Akhir sekali, pandu uji. Sebaiknya hanya pandu uji jika anda benar-benar berminat dengan kereta itu, dan semua perkara di atas memuaskan. Walaupun sekejap, ia penting untuk menentukan keputusan anda.

Minta kebenaran dengan jurujual atau pemilik, bincang sebaiknya tempoh masa dan laluan yang anda mahu pandu.

Sebaik enjin dihidupkan, lihat sama ada enjin lancar atau tidak semasa idle, jarum rpm stabil atau tidak. Jika tersekat-sekat, mungkin ada masalah pada sistem pembakaran. Pastikan anda tutup sahaja radio, cuba dengar bunyi-bunyi pelik jika ada.

Begitu juga semasa memandu, cuba peka dengan sebarang bunyi atau gegaran luar biasa. Cari jalan tak rata untuk rasa bagaimana suspensi melaluinya, adakah terdapat bunyi yang mungkin datang dari linkage, arm atau bushing yang berusia.

Minta izin untuk lakukan pecutan dan brek mendadak. Semasa hard acceleration, rasai sebarang gegaran, dan adakah enjin itu boleh pergi menghampiri redline dengan lancar, lihat juga adakah asap banyak keluar di belakang.

Dan semasa hard braking, anda boleh ketahui jika cakera brek masih dalam keadaan baik. Jika bergegar, mungkin cakera perlu ditukar. Jika berbunyi, mungkin pelapik brek hampir habis. Keseimbangan suspensi atau stereng juga boleh dirasa, adakah stereng tertarik ke kiri atau kanan semasa membrek.

Kemudian jika keadaan mengizinkan, cuba buat swerving atau belok secara tiba-tiba untuk periksa sama ada sistem stereng masih dalam keadaan baik. Dan tak kira anda pandu kereta manual atau auto, cuba untuk masuk dalam semua gear, termasuk gear undur.

Diharapkan tips ini membantu anda dalam pemilihan tepat kereta terpakai atau second hand. Boleh tonton video di bawah untuk lebih penerangan.