Arkib Tag: temuduga

Ribuan calon serbu sesi temuduga terbuka Tesla Malaysia

SESI temuduga ‘walk-in’ oleh Tesla Malaysia yang diiklankan sebelum ini diserbu ribuan orang ramai pada Sabtu lepas.

Difahamkan sesi temuduga yang bermula dari jam 12 tengah hari sehingga 4 petang itu diadakan di pejabat Cyberview Sdn Bhd yang terletak di Persiaran Apec, Cyberjaya. Bagaimanapun seawal jam 10.00 pagi lagi ribuan calon dilihat mula beratur sehingga mengakibatkan kesesakan.

Tesla Malaysia sebelum ini dilaporkan telah mengiklankan pengambilan pekerja untuk operasi ibu pejabatnya yang pertama di negara ini dan berita itu telah tular di media sosial.

Menerusi iklan itu, lima perjawatan dibuka kepada orang awam iaitu penasihat jualan, penasihat jualan perusahaan, penasihat penghantaran, pakar sokongan pelanggan dan penasihat perkhidmatan.

Selain lima jawatan yang diiklankan, Tesla Malaysia turut mencari banyak jawatan lain untuk diisi. Permohonan boleh dibuat menerusi laman rasmi Tesla, di bahagian Career. Antara jawatan lain itu adalah akauntan senior, juruteknik IT dan pakar operasi penghantaran.

Awal Mac lalu, Tesla mengumumkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia menerusi Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla.

Ia susulan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke negara ini.

Sumber gambar: Soya Cincau

Tesla Malaysia adakan sesi temuduga terbuka pada 17 Jun di Cyberjaya

IA bukanlah satu rahsia bahawa Tesla akan beroperasi secara rasmi di Malaysia dengan perkhidmatan jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger-nya yang tersendiri.

Pada April lalu, Tesla Malaysia telah menawarkan jawatan kosong dalam beberapa bidang termasuk IT, jualan dan operasi tempahan.

Dalam perkembangan terbaru, tular sebuah iklan di media sosial mengenai sesi temuduga terbuka di Tesla Malaysia untuk lima jawatan iaitu:

  • Penasihat jualan/penasihat jualan dalaman
  • Penasihat jualan perusahaan
  • Penasihat penghantaran
  • Pakar sokongan pelanggan
  • Penasihat servis

Sesi temuduga ini akan diadakan pada 17 Jun, dari 12 tengahari hingga 4 petang di Cyberview, Aras 4, Blok 3759, Persiaran Apec, Cyber 8, 63000 Cyberjaya, Selangor.

Calon yang berminat hanya perlu membawa salinan resuma ke lokasi temuduga. Pra-pendaftaran tidak perlu dilakukan, menurut iklan yang tersebar itu.