Arkib Tag: technic

Kami bina sendiri Lego Technic Yamaha MT-10 SP skala 1:5 ini! – Pasang Engear

KAMI di Engear sama juga seperti anda, sukakan jentera-jentera seperti kereta dan motosikal. Jadi bila dapat tawaran dari pihak Lego Malaysia untuk mengalami sendiri pengalaman memasang model terbaharu mereka iaitu Yamaha MT-10 SP, kami cukup teruja.

Oleh itu, video dan artikel reviu kali ini menggunakan subjek sedikit berbeza dari kebiasaan, iaitu sebuah motosikal dalam skala 1:5.

Lego mempunyai banyak barisan produk seperti Classic, City, Creators, dan DC Comic Super Heroes, meliputi pelbagai peringkat umur. Lego Technic ialah siri yang lebih kompleks, realistik, teknikal, dan sesuai untuk mereka yang berumur mungkin 14 tahun ke atas.

Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.

Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti.

Buka kotak

Di dalam kotak set ini terdapat sampul berisi manual dan pelekat, serta bungkusan plastik berisi blok-blok dan komponen Lego.

Manualnya seperti biasa dari buku tebal jenis kertas berkilat, dan sudah tentu berwarna. Buku ini menampilkan gambar-gambar motosikal sebenar, model siap, dan cara pemasangan. Ia juga berbaloi disimpan dijadikan koleksi atau untuk diletakkan di meja kopi.

Bungkusan plastik agak banyak, dan setiap satu dikumpulkan dalam enam kumpulan. Jadi setiap kumpulan dari satu hingga enam ini menunjukkan segmen dan langkah pemasangan. Sebagai contoh beberapa beg 1 untuk komponen rangka, dan beberapa beg 3 untuk enjin.

Mari ‘main’ Lego

Kami pun memulakan proses pemasangan, melalui kesemua 307 muka surat dari buku manual. Beg-beg berlabel nombor 1 paling panjang prosesnya, iaitu 89 muka surat.

Selebihnya adalah beg 2 hingga 6. Dan kami mengambil masa lebih kurang lapan jam keseluruhan, gabungan dari dua hari penggambaran.

Hasilnya, sebuah replika Yamaha MT-10 SP dalam skala 1:5 yang cukup cantik. Ia juga nampak realistik, yang mana kami rasa jika tiada logo Yamaha pun, peminat motosikal pasti boleh cam model ini.

Ciri paling menarik pada Lego Technic Yamaha MT-10 SP bagi penulis ialah enjin dan kotak gear 3-kelajuan yang berfungsi. Anda boleh masuk gear 1, neutral, 2, dan 3 dengan menekan penukar gear seperti motosikal sebenar. Cuma Lego tidak buatlah kotak gear 6-kelajuan, nanti tak muat pula. Cukup 3-kelajuan untuk kita nampak asas binaan transmisi itu.

Ia disambungkan kepada rantai yang menggerakkan roda belakang. Anda dapat lihat empat silinder dalam enjin bergerak jika anda dalam gear dan memusingkan roda belakang, dan begitu juga sebaliknya.

Terdapat juga perincian komponen lain seperti suspensi depan dan belakang yang berfungsi, cermin sisi yang boleh digerakkan, hos brek depan dan belakang, serta hos radiator.

Susah? Berbaloi?

Susah atau senang untuk bina model ini, bergantung kepada pengalaman anda. Macam penulis sendiri, tidak pernah memasang sebarang model Lego Technic bersaiz besar, dan sebarang model motosikal. Tetapi penulis pernah memasang banyak set Lego sebelum ini.

Anda perlu membiasakan diri dan mengenal blok serta komponen yang banyak digunakan di awal pembinaan, kemudian bila masuk beg 2 dan seterusnya, jadi lebih lancar.

Anda perlu teliti di beg 2 dan 3 kerana di sini kita membina blok enjin dan kotak gear. Semua komponen perlu betul, termasuklah jajaran drum penukar gear. Betul semua ini, maka kotak gear anda berfungsi dengan sempurna.

Bagi penulis, set ini sememangnya berbaloi dibeli kerana anda dapat sebuah build yang memuaskan. Anda dapat belajar banyak mengenai mekanikal dan kejuruteraan motosikal khasnya Yamaha MT-10 SP ini. Bila siap, model ini juga pasti gah menghiasi ruang tamu atau ruang pejabat anda. Jangan biarkan anak buah yang masih kecil sentuh!

Oh ya, set Lego Technic ini juga datang dengan fungsi AR (augmented reality) dimana anda boleh muat turun aplikasinya dan berinteraksi dengan model ini dengan cara unik di telefon pintar anda.

Jemput tonton video kami berseronok memasang model ini di bawah. Jika anda berminat membelinya, boleh terus ke pautan ini.

Bina sendiri Yamaha MT-10 SP anda dalam versi Lego Technic ini

LEGO Technic sering bekerjasama dengan pengeluar kereta dan motosikal untuk menghasilkan jentera dalam versi ‘mainan’ yang anda boleh bina sendiri. Terkini, mereka memperkenalkan Lego Technic Yamaha MT-10 SP.

Keluaran terbaharu dengan nombor produk 42159 itu boleh menjadi replika penuh dengan perincian dan mekanisma dari motosikal sebenar yang sesuai menjadi hiasan meja kopi rumah anda.

Set itu terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.

Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti untuk kepuasan anda.

Sebaik siap, anda juga akan mendapat stand khas bertulis “Yamaha Revs Yor Heart” untuk anda letakkan replika MT-10 SP itu di meja kopi atau kabinet rumah anda.

Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terbaharu ini akan dijual dei semua Lego Certified Store dan platform online seperti Lazada dan Shopee serta di Legoland, bermula 1 Ogos 2023. Harga jualan ialah RM999.90 dan khas untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Trak Lego Technic Volvo 6×6 ini boleh dipandu dan buang pasir macam yang sebenar

JIKA anda mempunyai banyak Lego di rumah dan perlukan sesuatu untuk mengangkutnya, Volvo 6×6 Technic ini mungkin paling sesuai untuk ‘kerja-kerja pembinaan plastik’ anda. Kit Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler terbaharu ini juga boleh dipandu menggunakan aplikasi Control+.

Kit trak bersendi ini terdiri dari 2,193 keping Lego dan bila disiapkan, ia berukuran 61cm panjang, 23cm lebar, dan 22cm tinggi.

Perincian pada model ini termasuklah enjin 6-silinder dan kotak gear 6-kelajuan yang berfungsi sepenuhnya. Bahagian kargo belakang boleh diangkat untuk menuang apa sahaja yang dibawa oleh anda.

Trak ini boleh dipandu ke depan, belakang, membelok, dan menukar gear melalui aplikasi. Operasinya adalah dari tiga motor dengan pengawal Bluetooth dan enam bateri AA.

Barisan model Lego Technic adalah khas untuk kit yang lebih kompleks, realistik dan mempunyai ciri-ciri lebih banyak, yang tidak terdapat pada set untuk kanak-kanak.

Sebagai contoh, Lego Technic sebelum ini pernah mengeluarkan Ferrari Daytona SP3 skala 1:8 dengan 3,778 keping, dan kit Formula 1 McLaren dengan 1,432 keping. Kedua-dua model ini mempunyai omboh enjin yang bergerak, differential, suspensi, dan roda yang boleh membelok.

Lego Technic Volvo A60H Articulated Hauler 6×6 ini boleh mula didapati secara online pada harga USD249.99.

Hias ruang tamu rumah anda dengan Lego Technic McLaren Formula 1 ini, RM799.90 sahaja

LEGO Technic melancarkan kit terbaharu yang pastinya mengujakan para peminat Formula 1 (F1) iaitu McLaren Formula 1 Race Car.

Seperti juga kit-kit Lego Technic sebelum ini, model baharu ini padat dengan elemen rekaan dan fungsi-fungsi mirip kereta sebenar.

Model Lego Technic ini telah direka bersama dengan pakar kejuruteraan dari pasukan Lego Group dan McLaren Racing. Ia mendapat warna livery dari jentera F1 McLaren musim 2021 tetapi menampilkan beberapa elemen yang akan didapati pada kereta musim 2022.

Antara aspek mekanikal yang menarik pada model Lego Technic ini adalah enjin V6 dengan silinder-silinder bergerak, stereng yang boleh dikawal dari kokpit, sistem suspensi, dan pengunci differential.

Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car ini merupakan model pertama seumpamanya dari Lego dan ia memberikan gambaran kepada peminat mengenai teknologi dan kejuruteraan yang penting di litar.

Model ini terdiri dari 1,432 keping Lego dan pastinya memberikan kepuasan selepas siap membinanya.

Apabila siap, ia akan berukuran 65cm panjang, 13cm tinggi dan 27cm lebar, lengkap dengan pelekat penaja untuk menjadikannya satu model yang boleh dipamerkan dengan bangganya di meja atau alamari anda.

“Kami tidak pernah berhenti untuk mengujakan dan memberi inspirasi kepada peminat-peminat kami dengan meneroka had kemungkinan menerusi teknologi dan rekaan yang kami hasilkan,” kata Niels Henrik Horsted, ketua produk Lego Technic.

Lego Technic McLaren Formula 1 Race Car boleh mula didapati pada 1 Mac 2022 ini menerusi semua cawangan Lego Certified Stores, Lego Official Store di Lazada dan Shopee, Legoland, serta di semua kedai-kedai utama seluruh Malaysia. Harganya? RM799.90 sahaja.