Arkib Tag: tayar

Tular lelaki kutip paku atas jalan, sampai bila hadap perkara sama?

SIKAP dua pekerja p-hailing yang sanggup mengutip paku bertaburan di atas jalan raya dua hari lalu mendapat pujian warga maya.

Rata-rata warga maya menyifatkan dua lelaki terbabit sebagai baik hati kerana bersusah payah mengutip paku di tengah jalan raya.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan dua lelaki itu mengutip paku di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Pada mulanya, kelihatan seorang daripada lelaki terbabit mengutip paku bertaburan itu.

Kemudian, seorang lagi lelaki tiba dengan menaiki motosikal sebelum turut sama membantu.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi kejadian berkenaan.

Namun, ada dalam kalangan warga maya mendakwa kewujudan paku terbabit adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Kes tabur paku di jalan raya

Kes tabur paku di atas jalan raya bukan suatu yang baharu.

Terdapat beberapa kes telah dicatatkan sebelum ini yang bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang motosikal, malah pengguna jalan raya lain.

Berikut antara kes tabur paku yang pernah berlaku di negara ini:-

Paku di laluan motosikal (2014)

Insiden tabur paku di laluan motosikal pernah dilapor berlaku berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Memetik status dikongsi laman akaun Facebook Daily Traffic Report, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menabur paku di kawasan itu.

Ia dipercayai dilakukan bagi mengaut keuntungan jika terdapat tayar motosikal pancit akibat terlanggar paku berkenaan.

Kelihatan beberapa penunggang motosikal mengutip paku di jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Paku di Lebuhraya Guthrie (2019)

Beberapa buah kereta ‘tersadai’ di tepi jalan gara-gara terlanggar paku di atas jalan dekat Lebuhraya Guthrie.

Memetik laporan akhbar, terdapat dua kesimpulan dirumuskan terhadap insiden berlaku sama ada paku tersebut ditabur secara sengaja atau tercicir daripada kenderaan lain.

Video kejadian turut tular di media sosial.

Paku di Jalan Skudai – Tampoi (2020)

Insiden paku bertaburan di Jalan Skudai – Tampoi, Johor menyebabkan beberapa tayar kenderaan pancit.

Lebih membahayakan, terdapat kenderaan hampir kemalangan disebabkan kejadian berkenaan.

Berdasarkan kisah dikongsi di Facebook, dua buah kenderaan dilaporkan ‘berpusing’ selepas terlanggar paku berkenaan.

Bagaimana tangani isu tabur paku?

Terdapat pelbagai usaha boleh dilakukan bagi menangani isu tabur paku di jalan raya.

Antara usaha boleh dilakukan termasuk:-

1. Menggunakan penyapu magnet bagi mengutip paku atau serpihan tajam di jalan raya. Negara jiran Indonesia antara menggunakan kaedah ini yang dilihat amat berkesan.

2. Rondaan secara berjadual oleh pihak berkuasa yang ditugaskan khusus memantau keadaan jalan raya.

3. Penguatkuasaan undang-undang. Individu bersalah menyebabkan khianat perlu dikenakan hukuman setimpal termasuk penjara dalam satu tempoh yang lama.

4. Tubuhkan jabatan khas bagi melakukan siasatan menyeluruh membabitkan kes khianat di jalan raya.

5. Gunakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotspot dan memperbanyakan pemasangan lampu jalan di kawasan gelap.

Justeru, pihak berkuasa dan orang ramai perlu sama-sama menangani masalah ini.

Tindakan membuang paku di jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa malah, melanggar etika sebagai rakyat yang berguna.

Jika anda terlihat insiden menabur paku atau lain-lain objek berbahaya di jalan raya, segera laporkan kepada pihak berkuasa.

Kenderaan ‘melayang’ ketika lalu lopak air, apa perlu buat?

PERNAHKAH anda mengalami situasi yang mana kenderaan dipandu seolah-olah ‘terbang’ atau melayang ketika melalui lopak air atas permukaan jalan raya?

Jika ya, pasti ia agak mencemaskan bukan?

Tidak dinafikan, permukaan jalan raya licin atau bertakung boleh menjadi punca berlaku kemalangan.

Ia terjadi apabila tayar kenderaan tidak mengenai permukaan jalan raya akibat terdapat takungan air yang banyak sekaligus menghilangkan cengkaman.

Situasi ini disebut sebagai aquaplaning.

Aquaplaning bukan sahaja membuatkan anda terasa ‘terapung’ malah, stereng kenderaan juga mulai terasa ringan atau kurang responsif.

Jadi, apakah anda perlu lakukan?

Pertama, elak daripada melakukan brek mengejut. Ini kerana kenderaan yang berhenti secara mengejut di atas permukaan takungan air berisiko untuk terbabas.

Kedua, pandu kenderaan dengan perlahan ketika atau selepas hujan. Kajian mendapati kenderaan dipandu melebihi 8okm/j berisiko untuk berdepan aquaplaning.

Ketiga, jangan guna fungsi auto cruise control atau kawalan jelajah ketika dan selepas hujan. Ia menyukarkan anda untuk mengawal kelajuan kenderaan.

Keempat, jangan tinggalkan ketiga-tiga tips yang kami kongsikan di atas. Nescaya, kemungkinan besar untuk anda mengalami aquaplaning adalah sangat tipis.

Sentiasa berhati-hati ketika memandu walau dalam apa jua keadaan.

Ingatlah, peribahasa ‘malang tidak berbau’ itu adalah benar.

Selamat memandu!

 

 

Tekanan angin tayar, jangan ambil mudah

TAYAR merupakan salah satu komponen penting bagi setiap kenderaan. Ia bukan sahaja menentukan prestasi sesebuah kenderaan malah, menjadi penentu bagi keselamatan pemandu dan penumpang. Bagaimana pun, sejauh mana kepekaan orang ramai terhadap aspek penjagaan tayar? Adakah cukup sekadar menilai keadaan tayar hanya daripada ‘bunga’nya sahaja?

Tidak dinafikan, ramai antara kita sering terlepas pandang mengenai keadaan tekanan angin tayar kenderaan. Tanpa disedari, masalah bukan hanya melibatkan tekanan angin rendah sebaliknya, tekanan berlebihan juga mengundang bencana!

Tekanan angin rendah/berlebihan

Tekanan angin tayar terlalu rendah boleh menyebabkan berlaku kebocoran. Keadaan ini berkemungkinan terjadi apabila kenderaan melalui permukaan jalan berbatu atau tidak sekata. Namun, sekiranya tekanan tayar terlalu tinggi, ia akan menyebabkan berlaku keadaan ‘aquaplaning’ (tayar terapung) apabila kenderaan melalui jalan berlopak. Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui tips mendapatkan tekanan angin tayar ideal!

Tekanan angin ideal

Setiap jenis kenderaan mempunyai tahap tekanan angin tayar yang berbeza. Kebiasaannya, maklumat mengenai tekanan angin tayar (tire loading information) boleh didapati pada bahagian dalam bingkai pintu depan sebelah pemandu. Jika kenderaan anda tidak mempunyai maklumat tersebut, berikut informasi yang boleh anda ikuti:-

 

Kereta MPV (Avanza, Ertiga, Alza, dan sebagainya): (30-33) Psi (200-230) Kpa

Kereta Komersial : (30-35) Psi. (200-240) Kpa

Kereta Bandar (Jazz, Yaris, Axia, dan sebagainya): (29 – 32) Psi (200-220) Kpa

Kereta Sedan (Honda Civic, Toyota Corolla, Vios, dan sebagainya): (28-31) Psi (190-210) Kpa

SUV (Fortuner dan Pajero): (35 – 40) Psi (240-275) Kpa

Akhir kata, anda dinasihati sentiasa peka dengan keadaan tekanan angin tayar kenderaan. Ia bukan sahaja menyelamat ‘poket’ tetapi lebih penting mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Oh ya! Jika punya wang lebih, apa kata anda dapatkan alat mengukur tekanan angin (pressure gauge) sama ada di kedai aksesori kenderaan atau…online shopping sudah!

Selamat memandu!