Arkib Tag: tanah runtuh

Tanah runtuh LPT2: Laluan kedua-dua arah kini dibuka semula

INI perkembangan terbaharu untuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berkenaan tanah runtuh yang berlaku pada Isnin lepas (19 Disember). Kemaskini ini dihantar oleh pihak lebuhraya berkenaan.

Gambar oleh: Twitter LPT2 Trafik

Semalam, LPT2 telah dibuka untuk laluan arah selatan iaitu dari Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi laluan arah utara masih ditutup dari Dungun ke Ajil. Hari ini, laluan berkenaan tidak lagi ditutup, bermakna LPT2 kedua-dua arah kini dibuka.

Gambar keadaan cerun runtuh di LPT2 yang tular di media sosial.

Walaubagaimanapun, kerja-kerja masih berjalan dan anda akan perlu memperlahankan kenderaan di kawasan terjejas untuk arah utara. Air banjir telah memasuki beberapa kawasan berdekatan R&R Bukit Besi, jadi laluan kecemasan masih ditutup.

Di kawasan berlakunya tanah runtuh (KM393.4), beberapa lorong telah ditutup, tetapi laluan kontra telah diaktifkan. Jadi, sentiasa peka dengan papan tanda dan arahan petugas lebuhraya.

Dilaporkan juga ada lorong kecemasan ditutup sekitar KM415. Laluan arah selatan semuanya dibuka tetapi anda akan perlu memperlahankan kenderaan kerana terdapat lorong kontra.

Apa pun, selamat memandu, rancang perjalanan anda, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Tragedi tanah runtuh: Jalan Batang Kali ditutup setahun

Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, tempat berlakunya tragedi tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, meskipun kejadian tanah runtuh itu tidak menjejaskan jalan terbabit, namun ia perlu ditutup bagi mengelak sebarang risiko.

Bagaimanapun beliau berkata, JKR ada membuat jalan alternatif untuk laluan pengguna di kawasan terjejas.

“Jalan tu sebenarnya ok, tapi kita tak berani, oleh sebab itu, kita masih tutup hinggalah pembaikan cerun dibuat,” katanya.

“Biasanya pembaikan cerun setahun baru siap, tapi buat masa ni kita ada jalan alternatif… jalan alternatif akan dibuat oleh JKR.”

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh, Wan Ahmad Uzir berkata, ia berlaku disebabkan terdapatnya aliran air bawah tanah yang wujud secara semula jadi.

Katanya, berdasarkan siasatan oleh JKR, tiada sebarang aliran pengairan haram daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Kelmarin, JKR berkata, siasatannya mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh telah meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

Pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

Laluan KM392.4 arah utara LPT2 ditutup akibat cerun runtuh

LEBUHRAYA Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan laluan di Kilometer (KM) 393.4 menghala ke Ajil, daerah Hulu Terengganu susulan kejadian cerun runtuh pada pukul 11.10 malam tadi.

Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi, syarikat itu berkata kejadian itu berlaku di dalam laluan kontra yang telah dibuka lebih awal akibat kejadian banjir lumpur pada sebelah pagi.

“Berhubung dengan kejadian awal banjir lumpur yang telah dilaporkan berlaku pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2022, laluan Kontra telah diaktifkan di KM392.4 – KM394.6 bagi kerja-kerja pembaikan.

Namun begitu, pada jam 11.10 malam, 18 Disember 2022 satu lagi kejadian cerun runtuh telah berlaku di KM393.4 arah Utara menghala ke Ajil dan kejadian tersebut telah berlaku di dalam laluan kontra yang telah diaktifkan sebelumnya,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan serta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak, LPT2 telah mengaktifkan “mandatory exit” di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil.

Ini bermakna, semua kenderaan dari arah Kuantan akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun, manakala kenderaan dari arah Kuala Terengganu akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ajil.

Sementara itu, dalam kemaskini semasa yang dihantar hari ini, LPT2 berkata perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa.

Pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun pula dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.

Tanah runtuh: JKR nasihat guna laluan alternatif

Laluan Jalan Batang Kali–Genting, Hulu Selangor kini ditutup atas arahan pihak polis berikutan insiden tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dengan ketinggian 70 meter.

Sumber: Malay Mail

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.

“Jalan B66 kini telah ditutup atas arahan pihak Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang awam boleh menggunakan laluan seperti lakaran infografik di lampiran sebagai laluan alternatif buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekahan terbuka pada permukaan ‘pavement’ (permukaan) jalan.

“JKR dan pelbagai agensi kini menumpukan kepada misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian,” tambahnya.

Menurutnya, pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima,” ujarnya.

Tanah runtuh: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

JALAN Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup sebelum ini akan dibuka kepada kenderaan awam tidak lama lagi.

Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia dijangka dibuka pada Jumaat ini bergantung kepada kerja-kerja pembersihan jalan berkenaan.

Jelasnya, pihak kontraktor kini sedang giat menyelesaikan kerja pembersihan dan saluran longkang yang terjejas akibat runtuhan tanah pada 2 Disember lalu.

“Pihak konsesi sedang membersihkan jalan dan pembinaan longkang aliran air di tepi jalan bagi mengelakkan pergerakan tanah berlaku,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zolkafly mengingatkan orang ramai berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan yang keadaannya berbukit dan bercerun.

Pada awal Disember lalu, dua maut selepas kenderaan dinaiki iaitu Toyota Alphard dan sebuah lori tertimbus dalam runtuhan tanah.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak juga telah diarah menjalankan kerja pembaikan mendapan tanah di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang.

Difahamkan, ia telah berlanjutan hampir dua bulan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Ia berikutan keperluan mendesak oleh pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa,” katanya lagi.

Jalan raya diancam tanah runtuh, sampai bila nyawa jadi taruhan?

KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai – Blue Valley yang meragut dua nyawa semalam tidak dinafikan menjadi satu catatan hitam buat seluruh rakyat Malaysia.

Persoalan demi persoalan menjelma membabitkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini yang boleh diumpamakan seperti ‘bom jangka’.

Perkara ini terbukti apabila Menteri Kanan Kerja Raya mendedahkan terdapat lebih 1,474 cerun berisiko tinggi di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Selain kejadian semalam, satu insiden tanah runtuh juga berlaku di jalan utama menuju Pos Beswok dekat Kuala Kangsar, Perak, minggu lalu.

Keadaan jalan raya yang rosak akibat tanah runtuh di Kuala Kangsar, Perak. – Foto ihsan Facebook/JKR Kuala Kangsar

Persoalannya, sampai bila pengguna jalan raya perlu berdepan ‘ancaman’ seperti ini?

Cakna aduan masyarakat

Pada pandangan penulis, pihak berwajib seharusnya lebih cakna dan bersikap pro aktif menangani masalah tanah atau cerun berisiko tinggi.

Bukan niat menyalahkan sesiapa namun, sering kali kedengaran pihak berwajib gagal menyelesaikan aduan orang ramai.

Contohnya, dalam insiden tanah runtuh di Kuala Kangsar minggu lalu, penduduk mendakwa pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai keadaan jalan di kawasan terbabit.

Natijahnya, berlaku insiden tanah runtuh sehingga merosakkan struktur jalan raya sekaligus memberi kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Nyawa manusia jadi taruhan apabila berdepan insiden tanah runtuh. – Foto ihsan Facebook/JKR Kuala Kangsar

Penulis mungkin bukan pakar memberi solusi menerusi kajian kejuruteraan tetapi, apa yang boleh dinasihatkan jangan memandang remeh aduan orang ramai.

Apa yang diharapkan pihak berwajib bertindak lebih pantas agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Walau apa pun, kita nantikan laporan akhir insiden tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai – Blue Valley.

Tragedi tanah runtuh di Simpang Pulai

Semalam, dua maut selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Mangsa merupakan pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31.

Seorang lagi mangsa maut merupakan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36.

Operasi menyelamat mengambil masa lebih tujuh jam dan mayat mangsa ditemui dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi proses bedah siasat.

‘Cerun maut’ di jalan ke Pos Yum, penduduk dakwa pernah buat aduan

ORANG ramai dinasihati menggunakan laluan alternatif jika ingin melalui jalan utama Pos Beswok menuju ke penempatan Orang Asli, Pos Yum, Kuala Kangsar.

Hal ini kerana jalan berkenaan ditutup untuk semua jenis kenderaan susulan insiden tanah runtuh, semalam.

Kerosakan jalan melibatkan laluan sepanjang 60 meter dengan kedalaman cerun dianggarkan setinggi antara 10 hingga 15 meter.

Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Kangsar berkata, kerja pembaikan dijangka mengambil masa dalam tempoh 72 jam.

Foto ihsan Facebook/JKR Kuala Kangsar

“Pembinaan dijangka siap dalam tempoh sehari hingga dua hari. Notis penutupan jalan telah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

JKR juga akan melakukan tindakan jangka panjang dengan membina semula cerun di lokasi terbabit.

Sebelum ini, kejadian tanah runtuh tersebut tular di media sosial menerusi laman Facebook.

Penduduk mendakwa, aduan telah lama dibuat kepada pihak berwajib mengenai keadaan jalan tersebut namun, belum ada penyelesaian sepenuhnya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun memberitahu laluan masih boleh digunakan adalah A299 Seksyen 5.9 dan Seksyen 13.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja.

59 peratus pemandu Malaysia tidak mempunyai perlindungan banjir – kajian

ZURICH Malaysia mendapati 50 peratus pengguna jalanraya Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan secukupnya untuk kerosakan akibat banjir.

Perkara ini merupakan salah satu dari hasil kajian mereka dari bancian Impact of Pandemic on Protection.

Hal ini juga perlu dititikberatkan memandangkan Malaysia kerap mengalami musim hujan seperti Monsun Timur Laut yang kini sedang berlaku dari November hingga Mac tahun depan.

Jabatan Meteorologikal telah memberi amaran kepada beberapa negeri yang dijangka dilanda paras hujan lebih tinggi antara 450mm hingga 1,000mm pada November dan Disember ini.

Tambahan lagi, tanah runtuh dan pokok tumbang juga merupakan bencana yang tidak dijangka kebanyakan pengguna jalan raya di Malaysia.

Hanya satu dari tiga pengguna jalan raya (34 peratus) dilaporkan mempunyai perlindugan dari ribut termasuklah pokok tumbang, dan hanya 29 peratus mempunyai perlindungan tanah runtuh.

Bancian itu juga mendapati untuk memperbaharui insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia berhubung dengan ejen. Dari 990 responden, 38 peratus memilih berbuat demikian walaupun adanya portal online.

Walaubagaimanapun, portal online tetap menjadi cara paling popular dengan 43 peratus menggunakannya, menunjukkan kepentingan platform digital hari ini.

Sementara itu, 16 peratus memilih untuk melawati kiosk fizikal untuk memperbaharuinya sendiri.

Bancian ini dibuat pada September 2021 yang melibatkan 1,201 rakyat Malaysia dari semua negeri, dan 990 darinya adalah pemilik kenderaan.

Ianya merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan membentuk pelan perlindungan yang menepati keperluan.

Jalan Tapah- Cameron Highlands ditutup susulan insiden tanah runtuh

LALUAN FT 059 Jalan Tapah – Cameron Highlands ditutup sementara ekoran insiden tanah runtuh, semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands berkata, laluan tersebut ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Setakat ini, pihak JKR sedang giat menjalankan kerja membaiki dan menyelenggara bagi mengelak insiden lebih buruk.

“Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan,” kata kenyataan dikeluarkan JKR.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands.

Ia menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang dan terpaksa ditutup sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripoda orang awam pada 4.25 petang.

“Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam,” katanya.