Arkib Tag: Swift

Suzuki Swift 2024 generasi baharu nampak sebiji macam konsep!

SELEPAS Swift Concept dipertontonkan di acara Japan Mobility Show 2023, Suzuki kini mempersembahkan versi produksi bagi hatchback kompak itu. Ia bakal memasuki pasaran Jepun tidak lama lagi.

Suzuki Swift generasi baharu ini mendapat reka bentuk yang dirombak semula, bahagian dalam baharu, dan platform dinaik taraf dengan janaan kuasa mild hybrid.

Swift baharu ini nampak begitu serupa dengan konsep, malah rim aloi, kemasan luar dan dalam serta warna yang ditawarkan juga sama dengan prototaip yang dipamerkan beberapa minggu lepas.

Lampu LED kini lebih bersegi, terdapat gril seperti ikan, dan garisan karakter tajam di sisi. Versi hibrid boleh dikenal pasti dari kemasan krom lebih tebal di sekeliling gril selain emblem di fender depan. Terdapat sembilan warna ditawarkan termasuk pilihan dwi-tona dengan bumbung hitam.

Bahagian dalam kini mendapat skrin infotainmen 9-inci, tiada paparan instrumen digital kerana ia mengekalkan meter analog. Papan pemuka kini dikemaskan dengan permukaan bertekstur, sementara brek parkir pula kini adalah elektrik, dengan fungsi Auto Hold.

Menurut laman web Suzuki Jepun, Swift baharu ini akan ditawarkan dengan tiga varian iaitu XG, Hybrid MX, dan Hybrid MZ. Versi XG adalah petrol, manakala dua lagi adalah hibrid, seperti namanya.

Suzuki belum mendedahkan sebarang perincian, tetapi mereka berkata enjin 1.2-liter 3-silinder Z12E yang “diperbaharui” kini “sangat cekap” dan “menawarkan tork mencukupi dari kelajuan rendah”.

Semua Swift JDM ditawarkan dengan automatik CVT sebagai standard yang dikatakan lebih ringan, lebih senyap, dan lebih cekap. Kuasa disalurkan ke roda depan, tetapi terdapat juga sistem pacuan semua-roda 4WD sepenuh masa.

Akhir sekali dari segi keselamatan, Swift 2024 dilengkapi dengan Suzuki Safey Support iaitu sistem ADAS yang mempunyai pelbagai sistem aktif seperti Dual Sensor Brake Support.

Suzuki Swift 2024 baharu ini akan mula dieksport ke pasaran lain apabila powertrain ditambah seperti penawaran diesel dan kotak gear manual boleh didapati.

Apa pendapat anda mengenai Swift generasi baharu ini?

Suzuki Swift Concept didedahkan, beri bayangan rupa model generasi keempat

SEDAR tak sedar, sudah hampir tujuh tahun Suzuki Swift generasi ketiga berada dalam pasaran selepas ia dilancarkan pada Disember 2016.

Bagi mereka yang menantikan kehadiran model generasi baharu, ini berita baik untuk anda kerana Suzuki telah mendedahkan Swift Concept lebih awal sebelum model itu membuat penampilan sulungya di Japan Mobility Show pada akhir bulan ini.

Walaupun masih dilabel sebagai kereta konsep, ia nampak sudah bersedia untuk memasuki fasa produksi sebagai Swift generasi keempat.

Seperti yang boleh dilihat, Swift Concept ada iras-iras model yang sedia ada terutamanya pada bahagian hadapan. Bentuk lampunya tidak banyak berubah namun ia kini dihiasi dengna lampu nyalaan siang berbentuk L.

Suzuki Swift generasi ketiga

Gril nampak lebih kecil tetapi ia dikelilingi bingkai yang lebih tebal. Bukan itu sahaja, logo Suzuki juga telah dialihkan dari gril ke bampar.

Sementara itu, bahagian sisi kini diserlahkan dengan kehadiran garisan karakter yang hampir bersambung dengan garisan bonet. Rim juga diberi rekaan baharu manakala kedudukan pemegang pintu belakang telah dialihkan daripada tiang C ke tempat biasa.

Sayangnya, imej belakang dan kabin Swift Concept ini masih belum didedahkan namun kami menjangkakan rekaan yang lebih segar dan moden berbanding model sedia ada.

Promosi beli Suzuki Swift Sport, faedah serendah 1.18 peratus

INFORMASI menarik untuk anda sedang ‘memburu’ kenderaan baharu!

Naza Eastern selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Suzuki di Malaysia kini sedang melakukan promosi jualan bagi model Swift Sport.

Para pelanggan berpeluang mendapatkan Suzuki Swift Sport dengan kadar faedah serendah 1.18 peratus sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Sdn Bhd berkata, setakat ini model Swift Sport mendapat permintaan luar biasa daripada pelanggan.

Jelas Datuk Nik Hamdan Nik Hassan, pihaknya akan terus memberi pengalaman luar biasa kepada para pelanggan menerusi promosi dijalankan ini.

“Kami gembira menawarkan promosi terbaharu kadar faedah rendah untuk Suzuki Swift Sport.

“Pengenalan semula model Swift Sport telah mendapat sambutan memberangsangkan dikalangan peminatnya, jadi kami membawakan promosi yang menarik ini,” katanya.

Foto ihsan Suzuki

Harga bagi Suzuki Swift Sport bermula dari RM139,900 sahaja.

Sementara itu, pelanggan mendapatkan model ini dalam tempoh promosi layak menerima pakej tinted cermin dan body coating bernilai RM4,000.

Suzuki Swift Sport dikuasakan dengan enjin 1.4L Boosterjet yang dapat menghasilkan 140 kuasa kudan dan 230 Nm.

Ia juga mempunyai sistem transmisi automatik enam kelajuan dan berat badan sekitar 970 kilogram.

Jadi, tunggu apa lagi? Jom ramai-ramai dapatkan Suzuki Swift Sport!

Chiow!