Arkib Tag: SUV elektrik

Volvo EX30 punya potensi luar jangkaan – Pandu Uji

Penulis pernah berkesempatan memandu uji beberapa buah model Volvo bersaiz kecil sebelum ini, iaitu Volvo V40 serta crossover Volvo XC40 dan C40.

Kali ini, tiba giliran model produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh pengeluar Scandinavia itu, iaitu Volvo EX30.

Dan ia hadir dalam bentuk crossover berkuasa elektrik, tiada pilihan model enjin pembakaran dalaman.

Biarpun hanya wujud dalam versi EV, EX30 bukanlah satu model yang boleh dipandang rendah.

Ia mempunyai pakej yang mampu memenuhi keperluan setiap pengguna – ada gaya, ruang praktikal, dan prestasi yang mampu mengalahkan SUV saiz besar, terutama sekali apabila anda memilih varian Ultra Twin Performance seperti yang kami pandu uji kali ini.

Berikut merupakan catatan pengalaman kami setelah beberapa hari menikmati pemanduan EX30 yang berharga RM228,888 ini.

 

Rupa luaran

Ya, dari segi rekaan, sukar untuk anda nafikan ia bukan sebuah SUV Volvo.

Lihat saja pada unit lampu utama dengan grafik LED berbentuk tukul Thor, bahagian hadapan tanpa jeriji yang memaparkan logo minimalis Volvo, serta lampu belakang – kesemuanya mirip kepada Volvo EX90.

Saiznya memang agak kompak, dengan ukuran sepanjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm, lebih kecil berbanding kembar XC40 dan C40.

Kecil bukanlah bermaksud EX30 ini kurang praktikal, perinciannya anda boleh baca pada poin seterusnya.

 

Praktikaliti

Volvo nampaknya bijak dalam menyediakan ruang kabin EX30 yang selesa dan praktikal dalam masa yang sama.

Disebabkan tiada sistem pembesar suara (hanya ada sound bar Harman Kardon atas papan pemuka), ia mencipta ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Konsol tengah nampak ringkas, tapi bila cuaca panas anda boleh letakkan minuman sejuk pada ruang pemegang yang boleh ditarik keluar dan disorokkan kembali apabila tidak digunakan.

Tak cukup? Konsol lantai turut disediakan, serta ruang ekstra tersembunyi untuk meletakkan barang yang lebih kecil, serta ruang pada terowong konsol.

Kotak simpanan glovebox pula diposisikan di tengah supaya ia mudah dicapai oleh pemandu dan penumpang hadapan.

Nampak je kecil dari luar, tapi Volvo EX30 menawarkan ruang kargo sebesar 318 liter atau sehingga 718 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata dengan nisbah 60:40.

Cukup besar untuk memuatkan barangan sehingga 1.64 meter panjang dan 0.86 meter tinggi.

Jika anda perlu ke Ikea untuk membeli perabot, boleh rujuk kepada grafik panduan storan yang disediakan pada pintu tailgate belakang.

Tak cukup? Ada ruang frunk yang menawarkan kapasiti tujuh liter.

 

Terlalu minimalis yang boleh bikin kepala pusing

Nak tahu sebab apa Volvo boleh menyediakan ruang sebanyak itu?

Ini kerana Volvo menerapkan tema minimalis ke satu tahap yang lebih tinggi, sehinggakan penulis terpaksa ‘reset’ semula minda setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Butang tingkap telah dialihkan ke bahagian tengah – macam kereta zaman dulu-dulu, dan hanya ada dua sahaja butang disediakan.

Anda perlu menekan satu lagi butang ekstra untuk membuka tingkap penumpang belakang.

Untuk kawal suhu sistem pendingin hawa? Skrin paparan tengah.

Untuk ubah tetapan stereng dan skrin sisi? Skrin paparan tengah.

Mahu buka glovebox? Ya, juga perlu tekan menu dalam skrin tengah.

Mujur juga untuk memulakan perjalanan penulis tidak perlu menatal skrin tengah untuk masuk kepada mod D. Tuil penukaran gear ada disediakan di ruang kolum stereng, lengkap dengan mod kawalan jelajah (hanya perlu tarik tuil ke bawah sekali selepas masuk mod D).

 

Kemasan

Salah satu perkara yang boleh dipuji pada Volvo EX30 ialah penggunaan bahan lestari yang cukup meluas pada ruang kabin.

Seperti contoh, upholsteri tempat duduk, papan pemuka dan pintu diperbuat daripada bahan kitar semula seperti denim, rami dan campuran bulu.

Penggunaan bahan yang disebutkan itu tadi tidak langsung mengorbankan aspek keselesaan sepanjang pemanduan.

Paling penulis suka, tempat duduk yang menyokong penuh bahagian bawah kaki, diikuti dengan panel perehat tangan pada pintu yang cukup selesa.

Cuma jika anda lihat dengan lebih dekat, kemasan plastik pada sesetengah tempat nampak tidak seimbang dengan imej mewah yang cuba ditampilkan pada EX30 ini. Dah namanya pun plastik kitar semula.

 

Pemanduan lincah atas jalan

EX30 varian Ultra Twin Performance ini didatangkan dengan dua motor elektrik berkuasa 422 hp dan daya kilas 543 Nm, membolehkannya memecut sehingga 100 km/j sepantas 3.6 saat dari pegun.

Dengan pakej badan yang kecil dan lincah, tidak sukar untuk EX30 ini memalukan mana-mana kereta sports yang ada di luar sana.

Talaan suspensinya cukup bagus untuk menyerap segala ketidakrataan yang wujud di atas jalan raya, malah talaan respons stereng yang sedap dikendalikan bila sekali sekala ia bertemu dengan selekoh.

Terus terang cakap, penulis berpendapat talaan suspensi yang wujud pada EX30 ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan abang besarnya XC40 dan C40.

Kebanyakan masa, kuasa yang dihamburkan oleh motor belakang itu sudah memadai dan penulis tidak langsung bergantung kepada mod Performance untuk sistem AWD (yang perlu diakses daripada skrin tengah).

Pek bateri NMC 69 kWh pula membolehkan anda mencapai jarak pemanduan sejauh 450 km, cukup sesuai untuk pemanduan urban.

 

Kemampuan off-road yang diluar jangkaan

Ternyata, Volvo EX30 mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk dijadikan sebagai kereta basahan setiap hari.

Namun, satu kelebihan yang tidak dijangka oleh penulis ialah keselesaan yang ditawarkan apabila Volvo EX30 ini dibawa memasuki laluan off-road (lebih sesuai soft-road).

Penulis akui EV ini sudah cukup selesa dipandu atas jalan tar namun saat tayar mencecah laluan berkerikil, sistem suspensi EX30 mampu menapis segala kekasaran jalan yang tidak berturap dengan berkesan.

Sesuai sangat sekiranya EX30 ini dipandu merentas laluan yang tidak bertar untuk anda menikmati aktiviti luar hujung minggu seperti berkelah di tepi sungai atau berkhemah di tepian pantai.

Melihatkan potensi yang luar biasa ini, tidak menghairankan apabila Volvo pada awal tahun yang lalu memperlihatkan EX30 versi Cross Country untuk mereka yang mahu menikmati pemanduan yang lebih lasak di dalam EV kecil ini.

Adakah EX30 Cross Country ini akan direalisasikan kelak? Kita hanya boleh tunggu dan lihat apakah perancangan Volvo untuk SUV elektrik ini.

 

Pengecasan

Bateri NMC 69 kWh yang dibekalkan pada Volvo EX30 ini menyokong pengecasan AC 11 kW, mengambil masa lapan jam untuk cas penuh.

Jika anda tidak mempunyai masa, cas sahaja EX30 di mana-mana stesen pengecasan pantas, memandangkan EV ini menyokong pengecasan DC sehingga 153 kW.

Jadi dalam tempoh masa hanya setengah jam, bateri 69 kWh itu boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus SoC.

Atau pergi sahaja ke mana-mana pusat membeli belah yang mempunyai kemudahan pengecasan pantas, sambil mengecas anda boleh berjalan-jalan mencari barang idaman.

Seperkara yang buatkan penulis suka akan EV ini ialah sistem pemetaan berasaskan Google yang akan memaparkan anggaran kadar SoC bateri sekiranya sudah tiba di destinasi atau selepas melakukan perjalanan dua hala.

 

Keselamatan

Sebagai sebuah Volvo, EX30 mempunyai kelengkapan keselamatan yang hampir menyeluruh dalam pakej yang serba kecil ini.

Antaranya termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, bantuan pengelakan pelanggaran, brek kecemasan autonomi, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, pemantauan titik buta serta araman lintasan trafik belakang.

Ironinya, ia turut mempunyai ciri sistem pemantauan tumpuan pemandu yang akan memberikan amaran sekiranya sistem mendapati pemandu tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas jalan.

Apa yang anda boleh jangkakan daripada sebuah kereta yang menyumbat segala macam tetapan dan fungsi dalam sebuah skrin tunggal bersaiz 12.3 inci itu?

Info penting seperti kelajuan, tahap SoC bateri, notifikasi lampu isyarat dan kedudukan gear pemanduan (RND) semuanya diletakkan pada bahagian atas skrin.

Sepanjang pemanduan, penulis perlu menoleh ke kiri untuk memastikan EV ini dipandu pada kelajuan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Atau setiap kali jari kiri menolak tuil untuk menghidupkan lampu isyarat.

Atau setiap kali penulis rasakan suhu kabin terlalu sejuk dan mahu melaraskan kembali sistem pendingin hawa.

Adalah lebih menyenangkan apabila EX30 ini mempunyai skrin berasingan di belakang stereng, jadi pergerakan mata adalah lebih minima berbanding perlu bergantung sepenuhnya pada skrin tengah.

Memasang terus skrin paparan head-up mungkin sekali lebih adfal.

 

Kesimpulan

EX30 memang sesuai dijadikan sebagai kereta basahan, seronok untuk dipandu, dan paling penting tidak mengorbankan langsung aspek praktikaliti dan elemen keselamatan yang menjadi tunjang utama jenama Volvo.

Untuk sebuah EV kegunaan urban, penulis kira Volvo EX30 sudah mempunyai asas dan pakej rupa yang cukup menarik sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

Itupun jika anda tidak kisah dengan susun atur papan pemuka yang terlebih minimalis dibawakan pada Volvo ini.

Cuba ambil masa untuk biasakan diri, dan ia tidak akan menjadi satu masalah besar.

Cuma untuk pemandu olskool seperti penulis, masih lagi rasa janggal untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan butang dan tombol kawalan fizikal.

Namun jika anda tidak ambil kisah akan prestasi sistem pacuan semua roda atau bumbung kaca panorama, pilih sahaja varian yang lebih rendah (harga dari RM189k) untuk menikmati jarak pemanduan yang lebih jauh.

Spesifikasi Volvo EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888)
Unit pemacu: Dua motor elektrik
Kuasa: 422 hp, 543 Nm
Pecutan: 3.6 saat dari 0-100 km/j
Bateri: NMC 69 kWh
Jarak gerak: 450 km
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Rim: 19 inci
Tayar: Goodyear EfficientGrip Performance SUV, 245/45R19
Ruang kargo: 318 liter, atau sehingga 718 liter

 

Leapmotor C10 2025 hadir dengan naik taraf kelengkapan, harga dari RM125,000

Leapmotor Malaysia mengemas kini spesifikasi SUV elektrik Leapmotor C10 untuk model tahun 2025.

Untuk penawaran terbaharu ini, Leapmotor C10 telah ditambah baik dengan keupayaan pengecasan AC 11 kW bagi menggantikan unit 6.6 kW terdahulu.

Penambahbaikan ini mampu memendekkan tempoh masa pengecasan bateri (30 hingga 80 peratus SoC) dari enam jam kepada empat jam sahaja.

Antara ciri lain yang disediakan termasuklah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) masa nyata, kit pam tayar bermotor, serta upholsteri hitam menggantikan kemasan warna Midnight Aurora untuk ruang kabin.

Bagi model berwarna Glazed Green pula, kemasan kabin warna Criollo Brown pula telah digantikan dengan warna Camel Brown.

Ruang kabin Leapmotor C10 masih lagi mengekalkan penggunaan bahan upholsteri tekstil silikon mesra bayi OEKO-Tex Standard 100®.

Dari segi spesifikasi, Leapmotor C10 masih lagi dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp dan pek bateri 69.9 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (mengikut data WLTP).

Harga jualan turut dikemas kini, di mana Leapmotor C10 2025 boleh didapati pada harga serendah RM125,000, lebih murah berbanding penawaran terdahulu (dari RM159,000).

Setiap model didatangkan dengan jaminan menyeluruh enam-tahun (empat-tahun + lanjutan jaminan dua-tahun) atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan bateri lapan-tahun atau had perbatuan 160,000 km yang mana tiba dahulu.

Tesla Malaysia mula edar Model Y 2025 facelift

Tidak lama lagi, kita dapat melihat kelibat Tesla Model Y 2025 facelift di atas jalan raya.

Ini kerana Tesla Malaysia telah memulakan proses pengedaran bagi model SUV elektrik Tesla Model Y 2025 facelift ‘Juniper’ di tiga lokasi, iaitu Tesla Delivery Centre Cyberjaya, Tesla Service Centre Penang dan Tesla Service Centre Johor.

Dilancarkan secara rasmi pada Februari lepas, Tesla Model Y 2025 tersedia dalam dua varian utama iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range AWD berharga RM242,450.

Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.

Pemilik Tesla boleh menikmati pengecasan percuma di 15 buah stesen pengecas destinasi (70 nozel) selain kadar serendah RM1.19/kWh di 14 buah stesen Supercharger (64 nozel).

Tesla Malaysia turut mengumumkan enam buah stesen Supercharger yang akan didirikan tidak lama lagi pada tahun ini termasuklah di:
• Pavillion Damansara Heights
• Bangsar South
• IPC Shopping Centre
• i-City Finance Avenue
• The Mall, Mid Valley Southkey
• Toppen Shopping Centre

Tesla Malaysia menggalakkan pemilik baharu dan sedia ada untuk mengambil bahagian dalam program Refer & Earn yang menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 setahun.

Selain itu, pelanggan Tesla juga dapat menikmati sokongan pengecasan rumah percuma dan skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah untuk memiliki Tesla, dengan jumlah insentif sehingga RM28,000.

MG S5 EV 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia – tiga varian, dari RM115,900

MG Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model EV terbaharu mereka, iaitu MG S5 EV 2025.

Ia merupakan SUV elektrik dalam segmen C yang bakal memberikan saingan secara terus kepada Proton e.MAS 7 serta BYD Atto 3.

Dari segi dimensi, MG S5 EV berukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 453 liter dan boleh mencapai kapasiti maksimum 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Untuk pasaran tempatan, SUV elektrik ini tersedia dalam tiga varian, iaitu Com, Com Long Range dan juga Lux Long Range.

Varian Com boleh didapati dengan pilihan pek bateri lithium iron phospate (LFP) berkapasiti 49 kWh dengan jarak gerak 340 km, sementara varian Com Long Range pula dilengkapi bateri 62 kWh dengan jarak gerak cecah 430 km.

Sementara varian Lux Long Range pula hanya eksklusif dengan pek bateri 62 kWh.

Namun, kesemua varian secara standard dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 170 PS dan 250 Nm.

Selain itu, MG S5 EV juga menyokong pengecasan AC 7 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux pula diberikan kelebihan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Ini membolehkan MG S5 EV Lux dicas dalam tempoh 26 minit dari 10-80 peratus SoC.

Secara standard, MG S5 EV dilengkapi dengan unit lampu LED berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED, baru lampu LED melintang di belakang, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin kluster digital 10.25 inci serta skrin tengah sebesar 12.8 inci.

Varian Lux pula mendapat kelengkapan tambahan termasuklah rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, upholsteri tempat duduk kulit-fabrik, tempat duduk pemandu boleh laras, pemanas roda stereng, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, pintu tailgate berkuasa, sistem audio dengan enam pembesar suara dan kamera keliling.

Terdapat lima warna tersedia iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.

Harga jualan bermula dari RM115,900 untuk varian Com, RM125,900 untuk varian Com Long Range, sementara varian Lux pula berharga RM135,900.

Untuk 500 orang pelanggan pertama akan menerima manfaat berupa penjimatan sehingga RM6,000 serta pakej pengecas dinding 7kW secara percuma. Ini bermakna, harga jualan MG S5 EV kini bermula serendah RM109,900.

MG S5 EV 2025 (Varian Com)

Toyota bZ Woodland 2026 – SUV elektrik untuk peminat aktiviti luar

Selain model bZ, Toyota Amerika turut melancarkan sebuah lagi model SUV elektrik yang direka untuk peminat aktiviti luar, iaitu bZ Woodland.

Toyota bZ Woodland secara asasnya berkongsi platform yang sama dengan model Subaru Trailseeker yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Berbanding model bZ standard, bZ Woodland membawakan dimensi yang lebih besar berukuran sepanjang 4,830 mm (+140 mm), lebar 1,860 mm, tinggi 1,670 mm (+20 mm) dan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Perubahan dimensi ini menyumbang kepada ruang kargo yang lebih besar, sekitar 850 liter.

Selain itu, jarak kelegaan tanah juga meningkat 2.54 mm kepada 210 mm terima kasih kepada penggunaan suspensi yang lebih tinggi.

SUV saiz pertengahan ini boleh menunda beban seberat 1,588 kg, dan boleh dilengkapi dengan tayar All-Terrain.

Toyota juga meringkaskan penawaran model bZ Woodland ini, di mana ia hanya didapati dalam tetapan dua motor elektrik berkuasa 375 hp.

Prestasi pecutan tidak didedahkan, namun untuk makluman Subaru Trailseeker boleh memecut sepantas 4.4 saat dari 0-96 km/j.

Sistem pacuan semua roda (AWD) itu dibantu dengan pilihan mod pemanduan X-Mode serta ciri Grip-Control untuk prestasi off-road yang lebih berkeupayaan.

Pek bateri 74.7 kWh pula membenarkan SUV ini dipandu sejauh 418 km, selain menyokong palam NACS untuk pengecasan di rangkaian Tesla Supercharger.

Pengecasan pantas DC hanya mengambil masa 30 minit dari 10 hingga 80 peratus SoC.

Penampilan luaran bZ Woodland ini menyamai apa yang ditawarkan pada model bZ standard, kecuali plastik pelindung badan berwarna hitam, rim aluminium bersaiz 18 inci dengan pelindung yang boleh dibuka, serta rel bumbung.

Bahagian belakang pula menampilkan perumah lampu yang lebih minimalis, diikuti lencana Woodland pada pintu tailgate.

Ruang kabin bZ Woodland menempatkan skrin tengah bersaiz 14 inci, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, port pengecasan USB Type-C, serta tempat duduk balutan SofTex dengan fungsi pemanas untuk baris hadapan.

Terdapat juga pakej Premium yang menambah sistem audio JBL, bumbung kaca panorama, cermin pandang belakang digital, serta fungsi pengudaraan tempat duduk hadapan.

Akhir sekali, ciri keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi fungsi seperti sistem pra-pelanggaran (PCS), kawalan jelajah radar dinamik (DRCC), amaran keluar lorong (LDA), bantuan papan tanda (RSA), bantuan suluhan tinggi (AHB), pemantauan titik buta (BSM), amaran keluar selamat (SEA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.

Honda e:N1 2025 rasmi di Malaysia – jarak gerak 500 km, harga dari RM149,900

Kenderaan elektrik (EV) pertama Honda Malaysia, iaitu Honda e:N1 kini sudah rasmi dilancarkan.

Biarpun mempunyai rupa paras iras Honda HR-V, e:N1 tidak berkongsi platform yang sama.

Sebaliknya, e:N1 ini dibina berdasarkan pelantar e:N Architecture F dengan motor elektrik yang memacu roda hadapan, berkuasa 201 hp dan 310 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

Dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 68.8 kWh, SUV elektrik ini boleh bergerak sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

EV ini menyokong pengecasan AC 10 kW (tempoh pengecasan penuh enam jam) dan DC sehingga 78 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 45 minit.

Dari segi dimensi, Honda e:N1 berukuran sepanjang 4,380 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,592 mm, jarak antara roda 2,610 mm serta jarak kelegaan tanah 142 mm.

Antara kelengkapan standard termasuklah rim aloi 18 inci, unit lampu LED, lampu membelok LED jenis sekuential, perumah lampu belakang jernih dengan efek asap, spoiler belakang dan antena sirip jerung.

Untuk ruang kabin, e:N1 dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit, skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah menegak sebesar 15.1 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Konsol tengah pula menempatkan butang PRND, tempat meletak cawan, butang pemilihan mod pemanduan serta brek parkir elektronik.

Ciri keselamatan Honda Sensing terdiri daripada amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS), kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran keluar lorong (LDW), sistem migitasi keluar jalan (RDM), bantuan kekal lorong (LKAS), sistem peringatan pergerakan kenderaan hadapan (LCDN) dan bantuan suluhan tinggi (AHB).

Selain itu, terdapat juga sistem informasi titik buta (BSI) dan juga sistem pemantauan lintasan trafik (CTM).

Terdapat tiga pilihan warna, iaitu Aqua Topaz Metallic dengan tema warna kelabu untuk ruang kabin, serta Urban Gray Pearl dan Platinum White Pearl dengan tema warna hitam untuk ruang kabin.

Untuk pasaran tempatan, Honda e:N1 dijual pada harga RM149,900 atas jalan tanpa insurans.

Jetour pamer SUV elektrik segmen B di Shanghai, bakal guna nama baharu

Selain SUV keluarga berenjin seperti Dashing dan VT9, Jetour turut mempamerkan sebuah SUV elektrik segmen B dengan nama yang agak sama dengan sebuah lagi SUV segmen B yang popular di Malaysia.

Namun menurut info daripada Jetour Malaysia, SUV ini bakal dikenali dengan nama baharu – pendekatan sama yang digunakan pada model VT9.

SUV elektrik ini telah pun muncul di pasaran Indonesia beberapa bulan lepas.

Berdasarkan spesifikasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 164 hp/280 Nm, dipadankan dengan pek bateri 53.6 kWh untuk jarak pandu sejauh 401 km.

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,100 mm, lebar 1,831 mm, tinggi 1,653 mm dengan jarak antara roda 2,705 mm.

Antara kelengkapan luaran SUV elektrik ini termasuklah port pengecasan di bahagian hadapan, rim 18 inci, serta lampu LED depan dan belakang.

EV RHD ini turut mendapat kelangkapan dalaman seperti skrin kluster digital, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit, kamera 360 darjah, bumbung suria, dan ruang kargo sebesar 368 liter.

Seperti teaser yang dipertontonkan semasa pelancaran Dashing tempoh hari, SUV elektrik ini juga dijangka akan masuk Malaysia dalam jangka masa terdekat, berkemungkinan besar menggunakan nama baharu dan bukannya nama rasmi yang digunakan pada ketika ini.

Adakah SUV elektrik Jetour ini bakal menjadi alternatif terbaik kepada SUV lain seperti BYD Atto 3, Chery Omoda E5, Honda e:N1 dan smart #1?

Honda e:N1 2025 – Tempahan kini dibuka, pelancaran Q2 tahun ini

Berita baik buat mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan elektrik jenama Jepun.

Honda Malaysia kini membuka tempahan bagi model SUV elektrik pertama mereka, iaitu Honda e:N1 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) 2025.

Dibina berdasarkan platform e:N Architecture F, Honda e:N1 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 201 hp dan 310 Nm.

Pek bateri lithium-ion 68.8 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,380 mm, tinggi 1,592 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm, menyamai saiz HR-V versi petrol.

Antara ciri yang dimuatkan pada e:N1 termasuklah rim aloi dua tona 18 inci, unit lampu LED depan dan belakang, slot pengecasan pada jeriji hadapan, lencana Honda berwarna putih dan emblem perkataan ‘Honda’ di belakang.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termasuklah informasi titik buta (BSI), sistem pemantauan trafik lintang (CTM), berserta sembilan fungsi keselamatan termaju Honda SENSING.

Para pelanggan Honda boleh membuat tempahan e:N1 di laman web https://prebook.honda.com.my/ atau menerusi aplikasi HondaTouch.

Honda Malaysia turut melantik lapan pusat pengedar sah untuk mengendalikan sebarang urusan berkenaan e:N1 seperti berikut:

Mazda kini ada SUV elektrik baharu EZ-60

Selepas menghasilkan model sedan elektrik EZ-6, kerjasama antara Mazda dan pengeluar automotif Changan diteruskan dengan kehadiran sebuah lagi model crossover baharu – Mazda EZ-60.

Sama seperti sedan EZ-6 yang telah diperlihatkan sebelum ini, Mazda EZ-60 secara asasnya menggunakan pelantar modular EPA1 yang dibangunkan oleh Changan.

Bermakna, ia juga turut berkongsi spesifikasi yang hampir serupa dengan crossover Deepal S07.

Reka bentuk luaran Mazda EZ-60 adalah selari dengan pendekatan bahasa rekaan moden Kodo yang digunakan oleh Mazda.

Antara ciri yang boleh dikesan termasuklah struktur jeriji dan logo hadapan bercahaya, rekaan lampu utama terpisah, diikuti dengan pemegang pintu yang tersorok dan kehadiran kamera sisi.

Lebih mencuri tumpuan ialah kehadiran liang udara pada bahagian tiang C bertujuan untuk mengurangkan kadar pekali seretan, sekaligus membantu dari segi jarak gerak yang lebih jauh.

Pendekatan minimalis turut dibawakan pada bahagian belakang, di mana Mazda EZ-60 ini menonjolkan unit lampu LED yang memanjang ke tengah, serta perkataan MAZDA yang menggantikan penggunaan logo.

Berdasarkan dimensi, besar kemungkinan Mazda EZ-60 ini berkongsi ukuran yang hampir serupa dengan SUV Deepal S07 seperti yang telah dipertontonkan oleh pihak Bermaz pada awal tahun yang lalu.

Dari segi dimensi, Deepal S07 membawakan ukuran sepanjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Di pasaran China, Deepal S07 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp atau 258 hp.

Terdapat dua pilihan pek bateri NMC, iaitu 66.8 kWh dengan jarak gerak 520 km atau 79.97 kWh dengan jarak gerak cecah 620 km (data CLTC).

Lebih banyak info berkenaan SUV elektrik ini bakal diketahui menjelang acara Shanghai Auto Show 2025 yang akan berlangsung pada bulan ini.

MGS5 EV 2025 dipertontonkan di Malaysia – jarak pandu 430 km, harga anggaran RM115k

MG Motor Malaysia baru-baru ini mempertontonkan sebuah model SUV elektrik yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu MGS5 EV.

Dari segi dimensi, MGS5 EV membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.

Ruang kargo pula adalah sebesar 452 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

MGS5 EV dipacu oleh motor elektrik pacuan roda belakang  berkuasa 170 PS dan 250 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu 49 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 340 km, atau bateri 62 kWh dengan jarak pandu sejauh 430 km.

MGS5 EV menyokong pengecasan AC 11 kW, pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, selain fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 6.6 kW.

Untuk ruang kabin, MGS5 EV dilengkapi dengan skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Varian yang lebih premium mendapat ciri tambahan seperti rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, pintu belakang berkuasa, tempat duduk balutan kulit dan fabrik berliang, fungi pemanas roda stereng, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, sistem audio premium dengan enam pembesar suara dan kamera keliling 360 darjah.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti tujuh beg udara serta kelengkapan ADAS.

Terdapat lima warna menarik, iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.

Bakal dilancarkan tidak lama lagi, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.

Tesla Model Y facelift rasmi di Malaysia, dari RM195 ribu

Setelah muncul buat kali pertama di Singapura pada bulan lepas, Tesla Model Y 2025 versi facelift ini akhirnya rasmi mendarat di pasaran Malaysia.

Berdasarkan spesifikasi yang dibekalkan oleh Tesla Malaysia, SUV elektrik ini boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range All Wheel Drive (AWD) berharga RM242,450.

Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.

Pembeli boleh mendapatkan pilihan rim Crossflow bersaiz 19 inci, atau naik taraf kepada rim Helix 2.0 bersaiz 20 inci (RM10,000). Terdapat juga lima pilihan warna iaitu Stealth Gey, Pearl White Multi-Coat (+RM5,000), Glacier Blue (+RM7,500), Quicksilver dan Ultra Red (+RM11,000).

Terdapat beberapa perubahan yang terdapat pada Tesla Model Y facelift ini:

• bar lampu LED melintang depan dan belakang yang diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck
• kaca dwi-lapis untuk ruang kabin yang lebih senyap
• lapisan filem perak pada bumbung kaca panorama untuk mengurangkan kesan UV dan haba
• rekaan baharu rim dan diffuser belakang untuk mengurangkan rintangan udara, menjadikan pemanduan lebih stabil dan senyap
• ruang kabin dapat sistem pencahayaan ambien, tempat duduk berventilasi, dan skrin paparan baris kedua – sama macam Tesla Model 3

Untuk pasaran Malaysia, terdapat juga Tesla Model Y Launch Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.

Ia menampilkan lencana unik pada bahagian belakang, lampu lopak berlogo, perkataan Launch Series pada plet ambang pintu, trim suede vegan serta kemasan khas pada konsol pengecasan dan alas lantai.

Ciri Autopilot asas dibekalkan secara standard, namun pembeli boleh mendapatkan kelengkapan Enhanced Autopilot (+RM16,000) yang menambah fungsi Navigate on Autopilot, Auto Lane Change, Autopark, Dumb Summon dan Actually Smart Summon.

Kelengkapan Full Self Driving (FSD) pula berharga RM32,000, merangkumi fungsi-fungsi yang terdapat pada Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot, serta penambahan fungsi Autosteer, Traffic Light & Stop Sign Control.

Xiaomi YU7 tawar jarak gerak 760 km, bakal beri saingan sengit kepada Tesla Model Y

Beberapa minggu yang lepas, Xiaomi mendedahkan model EV kedua yang bakal dilancarkan pada tahun ini, dikenali sebagai YU7.

SUV elektrik Xiaomi ini dijangka mampu memberikan saingan sengit kepada EV popular Tesla Model Y.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada laman kementerian kerajaan China, Xiaomi YU7 membawakan ukuran sepanjang 4,999 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,600 mm dan jarak antara roda 3,000 mm – menjadikan SUV ini lebih besar berbanding Model Y.

Xiaomi YU7 versi pacuan semua roda (AWD) berkuasa 691 PS boleh didapati dalam versi jarak gerak 670 km, 750 km dan 760 km.

Buat masa ini, Xiaomi masih belum mendedahkan jarak gerak rasmi untuk varian RWD (320 PS), serta kapasiti pek bateri NMC (nickel manganese cobalt) yang bakal ditawarkan untuk setiap varian.

Harga jualan juga masih lagi belum ditentukan, namun media tempatan mencadangkan harga Xiaomi YU7 akan bermula sekitar RMB250,000 (RM151,958), menjadikannya jauh lebih murah berbanding Tesla Model Y yang bermula dari RMB263,500 (RM160,163).

Deepal S07 dipertontonkan di Malaysia oleh Bermaz, bakal dilancarkan tahun ini?

Selain daripada MPV Xpeng X9, Bermaz Auto turut memperlihatkan sebuah lagi model crossover elektrik, iaitu Deepal S07.

Di pasaran China, Deepal merupakan sebuah syarikat subsidiari yang dimiliki oleh Changan Automobile, di mana model S07 ini dibangunkan menerusi kerjasama dengan Huawei dan CATL.

Dari segi dimensi, Deepal S07 membawakan ukuran sepanjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Ini menjadikan saiz Deepal S07 menyamai crossover elektrik Xpeng G6 yang turut sama dijual oleh Bermaz.

Di pasaran China, Deepal S07 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp atau 258 hp.

Terdapat dua pilihan pek bateri NMC, iaitu 66.8 kWh dengan jarak gerak 520 km atau 79.97 kWh dengan jarak gerak cecah 620 km (data CLTC).

Rupa luaran Deepal S07 membawakan imej yang agresif, dengan bampar hadapan yang sporti, unit lampu dengan corak tiga kelopak bunga pada depan dan belakang, rekaan bumbung terapung dan rim 20 inci.

Ruang kabin pula menempatkan skrin tunggal 15.6 inci di bahagian tengah papan pemuka yang minimalis, roda stereng dua jejari, konsol tengah yang tinggi, serta kawalan sistem pendingin hawa berasingan untuk penumpang baris kedua.

Sama seperti Xpeng X9, pihak Bermaz masih belum mendedahkan perincian spesifikasi, tarikh pelancaran serta tanda harga yang bakal diletakkan pada Deepal S07 ini.

Lotus Eletre raih dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of the Year 2024

Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cukup bermakna buat Lotus Cars Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, Lotus Malaysia telah berjaya menjual sebanyak lebih 200 unit SUV elektrik Lotus Eletre, diikuti 20 unit kereta sports Lotus Emira.

Bukan itu sahaja, Lotus Eletre juga berjaya mengungguli bukan satu, tapi dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of The Year 2024 (MCOTY), iaitu SUV of The Year (atas RM500k) dan xEV of the Year 2024 (atas RM300k).

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, Lotus Eletre merupakan SUV elektrik pertama jenama Lotus yang membawakan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Dengan padanan pek bateri 112 kWh, Lotus Eletre mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 600 km atau 490 km untuk Eletre R.

Dua pilihan rebat bernilai RM10,000 untuk Leapmotor C10 sempena CNY

Leapmotor Malaysia mengumumkan promosi istimewa bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk rakyat Malaysia yang ingin memiliki model Leapmotor C10.

Untuk tempoh terhad sehingga 28 Februari 2025, pelanggan Leapmotor akan diberikan dua pilihan rebat bernilai RM10,000 seperti berikut:
Pilihan 1
-Pengecas dinding (RM3,000)
-Kredit pengecasan (RM2,000)
-Sokongan insurans (RM5,000)

Pilihan 2
-Rebat tunai RM10,000

Selain itu, Leapmotor Malaysia turut menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke pusat pameran bermula 17 Januari hingga 9 Februari 2025 untuk memandu uji dan menempah SUV elektrik C10, selain menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.

Leapmotor C10 dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp yang dipadankan dengan pek bateri LFP 69.9 kWh untuk jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).

Selain ruang kabin yang cukup luas, Leapmotor C10 menampilkan penggunaan bahan upholsteri OEKO-Tex yang premium dan lebih mesra bayi, serta ciri keselamatan yang melayakkan SUV ini mendapat penarafan lima bintang Euro NCAP.

Leapmotor C10 dijual pada harga RM159,000, lengkap dengan jaminan menyeluruh selama enam tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km untuk komponen bateri.

Pakej Power Pack, rebat RM4,000 Proton e.MAS 7 kini dilanjutkan kepada 3,000 pelanggan tambahan

Proton menerusi anak syarikat Pro-Net melanjutkan pakej Power Pack yang ditawarkan untuk SUV elektrik Proton e.MAS 7 kepada 3,000 pelanggan seterusnya, bersama-sama dengan rebat RM4,000.

Untuk makluman, pakej pelancaran Power Pack tersebut terdiri daripada:
• Power Home: Pengecas 7kW Home Charger Percuma bernilai RM 1,500
• Power Plus: V2L Adaptor Percuma bernilai RM 500
• Power Online: 5-Tahun Data Internet Tanpa Had bernilai RM 1,800
• Power Thru: Jaminan Kenderaan Jarak Tanpa Had selama 6 tahun, dan jaminan Bateri dan Komponen Bervoltan Tinggi 8-Tahun / 160,000km
• Power Exchange: Rebat Eksklusif Proton Owner Trade-In bernilai RM 1,200

Dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Disember yang lalu, Proton e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 215 hp dan 320 Nm, dengan jarak gerak yang mampu mencecah sehingga 345 km untuk varian Prime, atau sehingga 410 km untuk varian Premium.

Harga jualan Proton e.MAS 7 bermula dari RM105,800.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, “Disebabkan permintaan luar biasa, kami dengan gembira melanjutkan tawaran ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai Proton e.MAS 7 dan manfaat memiliki EV.”

“Pencapaian ini menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap kami serta kesungguhan mereka untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau.”

Kia EV9 menang anugerah Electric Car of the Year

Kia EV9 berjaya merangkul dua anugerah di dalam Star Carsifu Editors’ Choice Awards 2024 yang dianjurkan baru-baru ini.

SUV elektrik dengan tiga baris tempat duduk itu meraih anugerah Kereta Electric Terbaik (Electric Car of the Year) serta Kenderaan 3-baris tempat duduk Elektrik Terbaik (Best Electric Luxury 3-row seating Vehicle).

Menurut Pengarah Urusan Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Wong Kin Foo berkata, “kami akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan Kia dalam memilih model yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia.”

Kia EV9 membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia pada Mei 2024, dengan membawakan ciri seperti tetapan dua motor elektrik berkuasa 380 hp dan 700 Nm, serta pek bateri 99.8 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 505 km.

SUV elektrik ini dibina berdasarkan pelantar Electric Global Modular Platform (E-GMP), selain membawakan falsafah rekaan Opposites United yang menggandingkan elemen seperti Digital Tiger Face, Digital Pattern Lighting Grille, unit lampu menegak serta sistem pencahayaan LED Star Map.

Ruang kabin Kia EV9 menyediakan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk yang luas dan selesa, diikuti dengan susun atur papan pemuka minimalis yang menampilkan skrin sentuh berkembar 12.3 inci dan penggunaan bahan yang lestari.

Harga jualan Kia EV9 bermula dari RM368,888 untuk versi 7-tempat duduk dan RM373,888 untuk varian 6-tempat duduk.

Proton e.MAS 7 vs BYD Atto 3: Yang mana satu pilihan hati?

Minggu lalu, Proton telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Proton e.MAS 7 2025 dengan pakej harga dan rupa paras yang cukup mencuri tumpuan.

Terdapat dua varian yang diumumkan, iaitu Prime dan juga Premium, namun dalam artikel ini kami akan memfokuskan kepada varian Premium yang mempunyai kelengkapan yang jauh lebih baik.

Sekiranya anda berdepan dengan persimpangan untuk memilih antara e.MAS 7 dan sebuah lagi SUV elektrik popular BYD Atto 3 Extended Range, boleh cuba baca perbandingan yang kami buat di bawah ini:

 

1. Dimensi

Dari segi saiz, Proton e.MAS 7 memiliki ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 4,615 mm kali lebar 1,901 mm kali tinggi 1,670 mm, berbanding BYD Atto 3 (4,455 x 1,875 x 1,615 mm).

Jarak antara roda e.MAS 7 juga 30 mm lebih panjang (2,750 mm) berbanding Atto 3 (2,720 mm), menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.

Selain itu, e.MAS 7 juga mempunyai kelebihan ruang kargo yang lebih besar, iaitu 461 liter sementara Atto 3 pula sekitar 440 liter sahaja.

 

2. Kuasa

Kedua-dua SUV ini dibekalkan dengan motor elektrik tunggal secara standard.

Namun, hamburan kuasa agak berbeza, di mana e.MAS 7 mampu menjana kuasa setinggi 215 hp dan daya kilas 320 Nm, berbanding Atto 3 berkuasa 201 hp dan 310 Nm.

Perbezaan itu menjadikan prestasi pecutan e.MAS 7 lebih pantas (6.9 saat) berbanding Atto 3 (7.3 saat).

 

3. Jarak pandu

BYD Atto 3 yang telah dikemaskini beberapa bulan lepas didatangkan dengan pek bateri LFP berkapasiti 60.48 kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 420 km.

Pengecasan DC dipertingkatkan kepada 88 kW, membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam tempoh 40 minit.

Bagi e.MAS 7, ia menawarkan jarak pandu 410 km, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.

Namun, dengan pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, pek bateri e.MAS 7 boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.

 

4. Luaran

Untuk bahagian luar, kedua-dua SUV ini dilengkapi dengan unit pencahayaan projektor LED, lampu belakang LED, serta cermin sisi yang dilengkapi dengan lampu indikasi membelok.

Tatkala Atto 3 hanya datang dengan rim bersaiz 18 inci dibaluti tayar Continental EcoContact 6, e.MAS 7 pula hadir dengan rim 19 inci dibaluti getah Goodyear Efficient Grip Performance SUV.

Dari segi estetika, Proton e.MAS 7 nyata ada kelebihan yang tersendiri, dimana rekaannya lebih malar segar berbanding Atto 3 yang sudah berusia dua tahun sejak diperkenalkan di pasaran global.

Namun, kecantikan sesebuah model itu tertakluk kepada pandangan mata masing-masing.

 

5. Kabin

Tidak banyak perubahan dibawakan pada susun atur papan pemuka Atto 3, melainkan skrin infohibur tengah kini bersaiz 15.6 inci yang boleh diubah orientasinya, diikuti skrin kluster lima inci, sistem audio sembilan pembesar suara serta kemasan warna dua tona.

Satu kelebihan yang wujud pada Atto 3 ialah sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Proton e.MAS 7 pula membawakan susun atur yang lebih minimalis, namun dengan skrin kluster sebesar 10.2 inci, skrin tengah 15.4 inci, sistem audio enam pembesar suara serta fungsi ventilasi pada tempat duduk hadapan.

Terdapat persamaan kelengkapan antara kedua-dua model ini, seperti contoh sistem pendingin hawa zon tunggal, bumbung kaca panorama, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, slot pengecasan jenis USB, dan kamera keliling 360 darjah.

 

6. Keselamatan

Kedua-dua Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3 mempunyai sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi fungsi penting seperti brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan fungsi berhenti & mula, bantuan pengekalan tengah lorong (LCA), sistem pemantauan titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran dan peringatan tali pinggang keledar.

Tatkala e.MAS 7 hanya dilengkapi dengan enam beg udara, BYD Atto 3 menawarkan sehingga tujuh beg udara secara standard.

 

7. Harga

Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari RM123,800 manakala BYD Atto 3 Extended Range pula berharga dari RM149,800.

BYD Atto 3 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun/150,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun/160,000 km, serta jaminan unit pacuan selama lapan tahun atau 150,000 km.

Sementara Proton e.MAS 7 pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan untuk komponen bateri bervoltan tinggi sehingga lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km.

Yang mana satu lebih berbaloi? Terpulang kepada tuan empunya diri untuk menilai.

Proton e.MAS 7 skor lima bintang penuh ASEAN NCAP

Serentak dengan pelancaran rasmi SUV elektrik Proton e.MAS 7 ke pasaran Malaysia, organisasi ASEAN NCAP turut sama mengumumkan skor yang diperoleh SUV tersebut dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Secara keseluruhan, e.MAS 7 berjaya meraih skor lima bintang dengan jumlah markah 92.57 mata.

EV pertama jenama Proton itu dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
• Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 39.00/40.00
• Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) – 17.32/20.00
• Bantuan Keselamatan (SA) – 20.00/20.00
• Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 16.25/20.00

 

Secara standard, e.MAS 7 dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), serta peringatan tali pinggang keledar (SBR).

Ciri keselamatan termaju yang dimuatkan termasuklah sistem brek kecemasan autonomi (AEB) bandar dan inter-urban, pengesanan titik buta (BSD), bantuan suluhan tinggi (AHB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), bantuan pengekalan lorong (LKA), amaran keluar lorong (LDW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sistem brek lintasan trafik belakang (RCTB).

Proton e.MAS 7 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dipadankan dengan dua pilihan pek bateri LFP iaitu 49.52 kWh (jarak gerak 345 km) atau 60.22 kWh dengan jarak gerak 410 km.

Harga jualan e.MAS 7 bermula dari RM105,800 untuk tempoh masa terhad.

Proton e.MAS 7 2025 – 2 varian, jarak gerak 410 km, dari RM105,800

Leapmotor C10, ada ruang untuk segalanya – Pandu uji ringkas

Sebagai sebuah nama besar yang menaungi jenama-jenama popular seperti Alfa Romeo, Citroen, Maserati dan Peugeot, pastinya kedengaran agak pelik apabila jenama Leapmotor duduk di bawah naungan Stellantis.

Untuk makluman, Leapmotor (atau Ling Pao) sebenarnya merupakan sebuah syarikat automotif China yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Hanya pada tahun 2023, Stellantis memperoleh 20 peratus pegangan dalam Leapmotor untuk meletakkannya sama baris dengan jenama-jenama Eropah yang disebutkan tadi.

Tidak perlu menunggu dengan lebih lama, Stellantis Malaysia pada April 2024 mengumumkan kehadiran Leapmotor untuk pasaran tempatan, diposisikan sebagai jenama EV mampu milik.

Model pertama yang dijual ialah sebuah SUV segmen D, Leapmotor C10 yang telah dilancarkan secara rasmi enam bulan selepas itu, dengan harga jualan RM159,000.

Baru-baru ini pihak Stellantis Malaysia mengajak para pengamal media automotif untuk merasai sendiri pemanduan Leapmotor C10 menuju ke Gambang, Pahang.

Berikut merupakan catatan ringkas kami selepas memandu SUV ini selama dua hari:

 

1. Dimensi

Tidak seperti model-model EV (rata-rata hatchback, SUV atau sedan) yang ada di pasaran, Leapmotor C10 lebih sesuai dikategorikan sebagai kenderaan elektrik untuk kegunaan keluarga.

Saiznya yang agak besar, dengan ukuran sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda 2,825 mm.

Dalam julat harga yang sama, Leapmotor C10 bersaing dengan model berenjin pembakaran seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Saiz yang hampir sama namun C10 didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk, berbanding tujuh pada dua model yang disebutkan tadi.

2. Kuasa

Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di Malaysia, dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 320 Nm.

Nampak macam tinggi, tapi selepas kami memandu uji SUV elektrik ini, pecutan yang diberikan tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.

Namun, ia bukanlah bermakna C10 ini sebuah ‘anak gajah’ yang malas untuk bergerak, cuma anda boleh jangkakan hamburan kuasa yang lebih lancar untuk memastikan tiada seorang pun ahli keluarga mengadu sakit leher semasa memulakan perjalanan.

Bahkan di atas lebuh raya, penulis tidak mempunyai masalah untuk memastikan SUV elektrik ini mampu memintas mana-mana lori treler yang perlahan di lorong kiri dengan selamat tanpa menyebabkan kereta yang laju di belakang menyalakan lampu suluhan tinggi – walaupun sarat dengan penumpang.

Dengan pek bateri 69.9 kWh, Leapmotor C10 boleh bergerak sejauh 420 km untuk sekali cas penuh.

Berdasarkan pemanduan yang dibuat, kami berjaya sampai ke destinasi dengan jarak gerak tersisa sekitar 112 km dan purata penggunaan tenaga sekitar 20.1 kWh/100 km, tinggi sedikit berbanding angka rasmi 19.8 kWh/100 km.

 

3. Pemanduan

Kami mengambil kesempatan untuk menguji tahap pengendalian SUV ini semasa merentasi laluan lebuh raya KL-Karak dan Genting Highlands.

Mengejutkan apabila penulis dapati SUV bersaiz besar ini juga boleh dikendalikan dengan baik di setiap selekoh dan laluan mendaki di jalan yang sangat popular itu.

Untuk kembali semula ke kelajuan yang diinginkan juga tidak mendatangkan masalah tanpa menyebabkan penumpang rasa pening dengan pecutan yang mendadak.

Cuma, walaupun C10 dilengkapi dengan sistem suspensi yang bekerja baik menyerap segala hentakan dengan cemerlang dan tayar Dunlop e-Sport Maxx yang memastikan SUV ini melekat sepanjang masa di selekoh, ia tidak diseimbangkan dengan respons stereng yang memuaskan.

Kebanyakan masa ia mampu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pemandu, namun keadaan menjadi kurang menyenangkan apabila sistem ADAS seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) cuba masuk campur.

Sistem yang disebutkan itu tadi akan bertindak agresif untuk membetulkan arah putaran stereng sekiranya mendapati pemandu tidak memandu kereta dengan betul.

‘Gangguan’ yang berterusan itu akan membuatkan pemandu lebih penat berbanding kebiasaan disebabkan perlu untuk melawan apa yang cuba dibetulkan oleh sistem.

Jadi, lebih senang untuk penulis matikan sahaja fungsi tersebut sejak dari awal, dan membiarkan fungsi yang lebih penting terus bekerja untuk memastikan SUV ini selamat atas jalan raya.

Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal, di mana pemandu tidak perlu untuk membuang masa lebih lama menatap menu di skrin setiap kali perlu memandu C10 ini keluar.

Satu perkara yang membuatkan pemanduan C10 kurang meyakinkan ialah respons pedal brek yang rasa kosong.

Perkara tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan berkelajuan tinggi, di mana sistem brek beroperasi dengan baik, namun pada kelajuan rendah, ada ketikanya SUV ini rasa seperti tidak mahu berhenti biarpun pedal brek ditekan rapat ke lantai.

Seolah-olah tiada titik gigit brek dirasakan, kosong. Takkan lah setiap kali nak berhenti perlu bergantung kepada sistem brek kecemasan, kan?

4. Dalaman

Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis memulakan perjalanan dengan duduk sebagai penumpang di baris kedua.

Kebiasaannya, penulis akan rasa cepat rasa pening dan mual apabila tidak bertugas memegang roda stereng namun kali ini penulis mampu berehat (dan tidur sebentar) dengan selesa sepanjang perjalanan.

Ini kerana penumpang boleh melaraskan sudut sandaran bagi tempat duduk belakang (ada dua sudut) supaya lebih selesa sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali penggunaan upholsteri kulit silikon yang dinamakan sebagai Oeko-Tex banyak menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa, disebabkan struktur bahan yang lembut dan mesra punggung.

Ia juga mempunyai ciri kalis air dan tidak mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada golongan bayi – satu ciri yang sangat berguna untuk kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anak kecil.

Selain ruang kaki yang cukup besar, penumpang di belakang juga tidak rasa lemas kerana ia menawarkan ruang kepala yang cukup besar, terima kasih kepada bumbung panorama yang cukup luas dan mempunyai tirai untuk menghalang sinaran mentari panas tengah hari.

Upholsteri berwarna hitam mungkin kedengaran sudah agak biasa, jadi terdapat opsyen untuk mendapatkan kemasan warna Criollo Brown yang lebih cerah, itu pun jika anda berminat dengan warna Glazed Green yang cukup cantik itu.

Aspek NVH juga memuaskan, boleh dikatakan bunyi bising angin daripada luar ditapis dengan baik, bunyi bising tayar juga kurang kedengaran dari dalam kabin.

Kelebihan lain yang wujud ialah ruang kargo sebesar 435 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

 

5. Papan pemuka terlalu minimalis

Untuk seorang yang sudah terbiasa dengan kewujudan pelbagai jenis butang dan tombol fungsi pada sesebuah kenderaan, masuk ke dalam Leapmotor C10 mewujudkan satu perasaan yang kurang senang.

Ini kerana susun atur papan pemuka yang terlalu ringkas dan minimalis, selain banyak bergantung sepenuhnya kepada menu yang tertanam pada skrin paparan akan membuatkan tumpuan pemandu lebih mudah terganggu di atas jalan.

Jadi, jika anda berminat dengan C10, cuba elakkan memandu seorang diri, dan anda akan hargai setiap bantuan yang diberikan ketika anda mahu sesebuah tetapan diubah.

Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, mahu mematikan suluhan lampu utama, atau sekadar mahu mematikan fungsi tertentu dalam sistem ADAS.

Lebih menyedihkan apabila tetapan cermin sisi juga perlu diakses menerusi skrin utama.

Mujur Leapmotor tidak meniru perangai Tesla dengan menghilangkan terus tuil lampu isyarat membelok dan menggantikannya dengan butang di stereng.

Lagi satu, jika anda sudah terbiasa dengan menekan butang pandu mula, anda perlu pelajari cara baharu pada C10 dengan mengimbas kunci berbentuk kad pada bahagian konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi ke arah posisi D.

Ya, setiap kali sebelum anda memulakan perjalanan.

Satu lagi kelemahan yang kami sukar untuk terima ialah ketiadaan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

 

6. Ada mod ‘healing’

Satu fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu selepas setiap kali pemanduan ialah Nap Mode.

Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh menikmati bunyi-bunyi persekitaran seperti hujan, aliran air sungai, cengkerik dan pukulan ombak di persisiran pantai semasa sedang berehat.

Anda juga boleh menetapkan tempoh masa tidur yang diperlukan, dan sistem akan mengejutkan anda setelah sesi tersebut tamat.

Dengan fungsi pengudaraan pada tempat duduk, ia akan menjadikan sesi tidur sebentar anda lebih selesa sementara menunggu masuk waktu solat atau isteri anda selesai membeli belah.

Di penghujung hari, dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan pelbagai jenis model EV, Leapmotor C10 nyata boleh lebih menonjol dengan kelebihan ruang yang ditawarkan, sesuai untuk kegunaan keluarga setiap hari.

Itu pun jika anda tidak kisah dengan rekaan papan pemuka yang terlalu minimalis, serta rutin yang perlu dibuat setiap hari, setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Dengan harga jualan bawah RM160,000, bolehkah Leapmotor C10 ini jadi satu pembelian yang berbaloi? Mungkin sekali ya.

 

Spesifikasi Leapmotor C10

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda belakang (RWD)
Kuasa: 215 hp, 320 Nm
Pecutan: 7.5 saat (0-100 km/j)
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: LFP 69.9 kWh
Jarak gerak: 424 km (data WLTP)
Suspensi: MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah: 180 mm
Kargo: 435 liter/1,410 liter

 

Leapmotor C10 warna Glazed Green