Arkib Tag: subsidi bersasar

Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel akan dilaksanakan secara berfasa

DALAM pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan.

Menurut Anwar, harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada RM2.15 berbanding harga pasaran RM3.75 seliter, bermakna kerajaan menanggung RM1.60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya.

Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019, tetapi kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus.

Ia menunjukkan kemungkinan terdapat ketirisan dan aktiviti penyeludupan susulan harga diesel yang murah, kata Anwar.

“Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.

“Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” katanya lagi.

Penganalisis ramal harga RON95, diesel naik secara berperingkat akhir tahun ini

SILING subsidi untuk RON95 dan diesel, yang kini ditetapkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin tertakluk kepada semakan dan berpotensi meningkat secara beransur-ansur kemudiannya pada akhir tahun ini.

Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora, berkata harga sebenar RON95 dijangka mencecah kira-kira RM3.22 seliter jika tanpa subsidi petrol berbanding RM2.05 seliter ketika ini.

“Selain itu, kami menganggarkan bahawa penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan, dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

“Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” katanya baru-baru ini.

Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 3.3 peratus pada April 2023 berbanding 3.4 peratus pada Mac 2023, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Manakala, kadar inflasi teras meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.6 peratus pada April berbanding 3.8 peratus pada Mac.

Subsidi bersasar: Kerajaan akan guna data bersepadu, bukan cc semata-mata

KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisma pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Gambar oleh: Malay Mail

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham yang mengatakan kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (cc) kenderaan sahaja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

“Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan,” tambahnya.

Menurutnya, memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Kami kemudian ada menambah bahawa pemberian subsidi bersasar berdasarkan kuasa kuda (cc) sahaja tidak tepat, malah kuasa kuda juga tidak sama dengan cc. Dua perkara berbeza.

Diharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan akan dapat mencari solusi terbaik dan paling tepat agar hanya golongan yang layak sahaja mendapat subsidi petrol bersasar ini.