Arkib Tag: subsidi bahan api

Subsidi pukal bahan api tidak adil kepada kumpulan sasar – Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat yang optimum.

Timbalan Perdana Menteri itu memetik Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih, yang mengatakan bahawa kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 pula menggunakan RM243 sebulan.

Justeru, beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan yang disifatkan sebagai tidak adil kepada kumpulan sasar.

“Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat ‘value for money’ kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, telah turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap,” kata Zahid dalam teks ucapan yang dibaca oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Teks tersebut dibaca oleh Armizan ketika mewakili Ahmad Zahid merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen, IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Kerajaan akan laksana program subsidi bersasar RON95 pada 2024

KERAJAAN mengumumkan ia akan mula melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada 2024 sebagai langkah untuk mengoptimumkan sumbernya kepada golongan yang paling memerlukannya.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang berkata sebuah negara apabila T20 menerima 53 peratus daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama.

“Usaha ini sejajar dengan kedudukan kerajaan dalam meluaskan paradigma fiskal. Berdasarkan kewangan awam kita yang mengalami defisit fiskal lebih 5.0 peratus selama tiga tahun berturut-turut, kita perlu mencari kaedah baharu untuk menggerakkan sumber kita dan mengurangkan pembaziran dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, melaksanakan program penyasaran semula subsidi pada akhir 2024 akan segera membawa kepada kedudukan fiskal yang lebih baik untuk negara.

Penganalisis ramal harga RON95, diesel naik secara berperingkat akhir tahun ini

SILING subsidi untuk RON95 dan diesel, yang kini ditetapkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin tertakluk kepada semakan dan berpotensi meningkat secara beransur-ansur kemudiannya pada akhir tahun ini.

Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora, berkata harga sebenar RON95 dijangka mencecah kira-kira RM3.22 seliter jika tanpa subsidi petrol berbanding RM2.05 seliter ketika ini.

“Selain itu, kami menganggarkan bahawa penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan, dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

“Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” katanya baru-baru ini.

Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 3.3 peratus pada April 2023 berbanding 3.4 peratus pada Mac 2023, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Manakala, kadar inflasi teras meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 3.6 peratus pada April berbanding 3.8 peratus pada Mac.

Tengku Zafrul: Golongan T20 nikmati RM8 bilion subsidi bahan api

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa golongan T20 menikmati kira-kira RM8 bilion subsidi bahan api, RM2 bilion lebih tinggi berbanding jumlah yang dimanfaatkan oleh golongan B40.

Tengku Zafrul, yang sebelum ini pernah berkata bahawa subsidi menyeluruh lebih menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin, berkata kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bahan api yang lebih bersasar.

Dalam jawapan bertulis parlimen, beliau berkata mekanisme tersebut itu sedang diuji.

“Ujian (awal) akan disusuli dengan ujian yang lebih meluas,” katanya sambil menambah kerajaan mahu memastikan kebolehlaksanaan mekanisme itu di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia (ujian) dijangka mengambil masa antara tiga dan enam bulan sebelum sistem baharu itu dilaksanakan di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai apa yang kerajaan lakukan untuk memastikan subsidi disasarkan dengan lebih baik.

Tambah Tengku Zafrul lagi, mekanisme subsidi bahan api bersasar akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia tidak menyebabkan inflasi atau menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tahun ini, subsidi bahan api dijangka mencecah RM30 bilion.