Arkib Tag: stesen pengecasan

BMW Malaysia & UM dirikan stesen pengecasan peranti pintar guna bateri EV terpakai

BMW Group Malaysia dan University Malaya (UM) mendirikan stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar menggunakan bateri EV terpakai.

Ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama disiapkan di bawah inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x University Malaya.

Reka bentuk projek ini dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD beliau di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

Komponen sistem

Ia terdiri daripada pek bateri EV dan panel solar yang digunakan semula (hayat kedua), disokong oleh:

  • pengawal pengecas solar
  • penyongsang fotovoltaik
  • sistem pengurusan bateri (BMS)
  • pengecas pantas USB

Penyimpanan tenaga

Sistem 1.5 kWh ini terdiri daripada tiga modul bateri BMW, setiap satu berusia kira-kira 10 tahun.

Pasukan Dr. Tan melakukan ujian penilaian dan pengubahsuaian dengan teliti bagi memulihkan 30-40% daripada kapasiti asal bateri.

Port pengecasan

Stesen ini mempunyai empat port pengecasan, terdiri daripada tiga port USB Type-C dan satu port Lightning.

Gabungan output ialah 200W, dengan maksimum 100W bagi setiap satu port.

Jangka hayat

Sistem ini dijangka kekal beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira perkara berikut:

  • keadaan semasa bateri
  • jangkaan penggunaan dan nyahcas
  • corak penggunaan sebenar

Untuk makluman, stesen pengecasan ini menggunakan pek bateri EV berkapasiti rendah yang sesuai untuk keperluan pengecasan yang lebih ringan.

Sementara pek bateri berkapasiti lebih besar pula lebih sesuai digunakan untuk pemasangan akses elektrik luar grid, seperti di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.

Setelah bateri tersebut tamat hayat keduanya, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula bateri tersebut dalam projek stesen pengecasan telefon pintar hayat ketiga.

Ia bagi melengkapkan kitaran hayat bateri tiga peringkat sepenuhnya, daripada EV kepada kediaman luar bandar dan seterusnya kepada pengecas awam.

 

Kineta, Charge+ umum kerjasama perluas jaringan pengecasan EV serantau

Kineta Sdn Bhd selaku penyedia penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik mengumumkan kerjasama strategik dengan pengendali titik pengecasan Asia Tenggara Charge+ dalam usaha untuk meluaskan lagi infrastruktur pengecasan EV di rantau ini.

Di bawah kerjasama strategik ini, Kineta akan memainkan peranan penting bagi Charge+ untuk meluaskan jaringan pengecasan di Malaysia.

Selain daripada itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk memacu pertumbuhan dan tahap kebolehcapaian ekosistem pengecasan EV baik di dalam negara mahupun di rantau ini.

Menurut Sunny Lee selaku Pengarah Urusan Kineta berkata, “Kerjasama strategik ini merupakan satu pencapaian utama dalam misi kami untuk mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia, dan dalam masa yang sama membuka jalan untuk pengalaman pengecasan rentas sempadan yang lebih lancar.

“Kami bukan sahaja membina infrastruktur, kami mahu menjadikan pemilikan kenderaan elektrik yang lebih ringkas dan mudah diakses kepada semua pihak,” jelasnya.

Kineta memiliki pasukan jurutera bertauliah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), antara yang terbesar di Malaysia.

Dengan lebih 9,000 pengecas terjual dan lebih 6,000 pemasangan di kawasan runcit dan komersial berskala besar, Kineta juga mempunyai pasukan tersendiri yang merangkumi khidmat pelanggan, sokongan selepas jualan, bantuan teknikal, penyelidikan dan jaminan.

Charge+ yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 2018 kini memiliki jaringan pengecasan melebihi 3,000 lokasi di enam buah negara termasuklah Kemboja, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Dengan misi untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti yang lebih lestari, Charge+ menyasarkan penyediaan sehingga 30,000 titik pengecasan menjelang 2030.

Goh Chee Kiong selaku Ketua Pegawai Eksekutif Charge+ berkata, “Menerusi kerjasama strategik ini, Charge+ dan Kineta komited untuk menyediakan pengalaman pengecasan yang lancar dan dipercayai, selain mengurangkan perasaan kebimbangan jarak di kalangan pemandu EV di Malaysia dan rantau ini.”

“Kerjasama ini juga memudahkan misi Charge+ untuk membina jaringan pengecasan DC sejauh 5,000 km di lebuh raya merentas Asia Tenggara,” jelasnya.

Stesen pengecasan DC 180 kW Shell Recharge kini tersedia di R&R Paka LPT2

Pengguna Lebuhraya Pantai Timur yang mahu menuju ke Kelantan dan Terengganu, terutama pemilik EV kini boleh menggunakan stesen pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell Recharge di dua lokasi baharu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Lokasi HPC yang dimaksudkan itu ialah di Shell R&R Paka (kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu).

Dengan kemudahan pengecasan pantas sehingga 180 kW, ia mampu menjadikan perjalanan ke Pantai Timur yang lebih lancar dan boleh mengurangkan isu kebimbangan jarak untuk komuniti EV yang semakin berkembang.

 


Buat masa ini, pihak Shell masih lagi berusaha untuk menyiapkan stesen pengecasan di Shell R&R Temerloh (Arah KL), Lebuhraya Pantai Timur 1.

Apabila stesen ini siap kelak, ia bakal melengkapkan lagi rangkaian stesen HPC yang terdiri daripada 13 buah stesen di Semenanjung Malaysia, membolehkan EV yang serasi dicas 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit.

Selain infrastruktur pengecasan, Shell juga mahu memastikan pemilik dan pemandu EV mempunyai akses kepada kemudahan penting seperti ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman di Shell Café untuk perjalanan yang lebih menyenangkan.

Bersempena dengan musim perayaan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif untuk pemilik EV yang menggunakan Shell Recharge di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

Bermula 24 Mac hingga 4 April, pemandu EV yang menggunakan aplikasi ParkEasy di lokasi HPC akan menerima ganjaran seperti berikut:
• Rebat kredit 100 peratus untuk ahli Platinum
• Rebat kredit 50 peratus untuk ahli Gold dan Standard (pay-per-use)

Rebat tersebut akan dikreditkan dalam tempoh tujuh hari selepas kempen berakhir, tertakluk kepada terma dan syarat.

Berikut merupakan senarai stesen pengecasan HPC Shell Recharge di seluruh negara:

1. Highlands Hotel, Genting Highlands
2. Shell R&R Tangkak PLUS (arah Selatan)
3. Shell R&R Pagoh PLUS (arah Utara)
4. Shell R&R Seremban PLUS (arah Utara)
5. Shell R&R Seremban PLUS (arah Selatan)
6. Shell RTC, Simpang Pulai PLUS
7. Shell R&R Tapah (arah Selatan)
8. Shell D’Alpinia LDP
9. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah Timur)
10. Shell R&R Paka LPT2 (arah Kuala Terengganu)
11. Shell R&R Paka LPT2 (arah KL)
12. Shell R&R Perasing LPT2
13. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah KL) – bakal dibuka

 

Lee Motors laksana majlis pecah tanah bilik pameran baharu di Alor Setar

LEE Motors baru-baru ini mengadakan upacara memecah tanah bagi bilik pameran Auto Care baharu miliknya di Alor Setar, Kedah yang dijangka mula beroperasi menjelang suku pertama tahun 2024.

Fasiliti berkeluasan 50,000 kaki persegi ini memiliki ruang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar berbanding lokasi mereka yang sebelumnya dan akan direka suai berdasarkan konsep BMW Retail NEXT terkini. Ia beralamat di 218, Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan Mergong II, 05150, Alor Setar, Kedah.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa amat teruja untuk mengalu-alukan pembangunan bilik pameran Lee Motors di Alor Setar, serta penyebarluasan rangkaian infrastruktur pengecasan kita melalui fasiliti-fasiliti BMW i Charging baharu yang telah didirikan di Kelab Kedah Diraja.

Pembangunan bilik pameran Lee Motors yang baharu dan bersaiz lebih besar juga merupakan bukti pertumbuhan pasaran yang kukuh bagi segmen premium di rantau ini. Sehubungan itu, kami yakin bahawa Lee Motors dapat membekalkan standard Pengalaman Pemilikan Premium yang tertinggi bagi para pelanggan kita di sini.”

Bilik pameran Lee Motors Auto Care yang baharu dapat mempamerkan sebanyak 16 buah kenderaan baharu dan terpakai daripada portfolio BMW dan BMW Premium Selection.

Ia juga menempatkan dua ruang penghantaran, lapan ruang kerja (berpotensi untuk ditingkatkan kepada 12 ruang pada masa akan datang) serta dua ruang untuk khidmat resepsi di kereta (RATC).

Dikuasakan oleh RExharge, fasiliti-fasiliti BMW i Charging baharu di Kelab Kedah Diraja kini dibuka untuk kegunaan awam. Ia menampilkan pengecas AC 11 kW berserta dua fasiliti pengecasan pantas DC, masing-masing membawakan output berjumlah 60 kW.

Kos pengecasan yang dibuat melalui pengecas pantas DC adalah berkadar RM 1.40 per minit, manakala kos pengecas AC pula berkadar RM 0.15 per minit, bersamaan dengan RM 9.00 sejam.