Arkib Tag: stesen pengecas

Auto Bavaria, DC Handal jalin kerjasama perluas rangkaian pengecasan EV

Auto Bavaria, rangkaian pengedar terbesar BMW Group Malaysia, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal) untuk memperluas kemudahan pengecasan pantas serta menggalakkan penggunaan penyelesaian pengangkutan lestari untuk masa depan.

Menerusi kerjasama ini, Auto Bavaria akan bekerjasama rapat dengan DC Handal bagi menyediakan kemudahan pengecasan pantas kepada 10 tapak pengecasan di kawasan-kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan rancangan untuk menambah lagi lokasi pada masa depan.

Pelanggan boleh membayar untuk khidmat pengecasan dengan mudah menggunakan kad kredit dan juga kad debit serta kemudahan bayaran elektronik di terminal pembayaran OCBC dan juga menerusi platform aplikasi dengan JomCharge dan ChargEV.

Menurut laporan paultan.org, stesen pengecasan yang terletak di Bamboo Hills mempunyai empat pengecas DC Kempower berkapasiti 200 kW dengan kadar bayaran RM1.50 setiap kWj. Lebih menarik lagi, ia terbuka kepada semua jenama kenderaan elektrik.

Sashi Ambihaipahan, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian bagi BMW Group Malaysia berkata, “Kami sukacita untuk menjalin pakatan dengan DC Handal menerusi rakan pengedar utama kami Auto Bavaria untuk terus membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di negara ini.

“Sebagai pembekal utama kenderaan elektrik premium di Malaysia setakat ini, kerjasama ini menunjukkan kesungguhan kami untuk mengubah sama sekali persekitaran EV di Malaysia, dan juga menetapkan piawaian baharu bagi meningkatkan capaian dan tahap kemudahan bagi para pemilik EV,” katanya.

Lim Chern Chuen, Pengarah DC Handal, semasa mengulas mengenai pakatan ini berkata, “Memandangkan dunia automotif kini beralih kepada tenaga elektrik, kerjasama dengan Auto Bavaria mencerminkan komitmen kami bukan sahaja untuk membolehkan pelanggan memanfaatkan teknologi EVSE terbaik, tetapi juga memberikan pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah menerusi rangkaian kami.”

GoCar, EV Connection bekerjasama untuk luaskan jaringan stesen pengecasan di Malaysia

GOCAR Malaysia dan syarikat penyedia perkhidmatan pengecasan EV bersepadu iaitu EV Connection telah menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

Kerjasama itu akan membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam.

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecas DC ini bersifat universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV.

“Menerusi integrasi ini, kami percaya bahawa pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun.

GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. Baru-baru ini, syarikat telah menambah Hyundai Kona ke dalam rangkaian GoEV dan berhasrat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 100 unit EV menjelang akhir tahun ini.

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000km. Bagi lebih 90 peratus pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV.

EV Connection ialah satu-satunya penyedia perkhidmatan EV yang memiliki portfolio dari segi perkakasan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan, perkhidmatan awan dan sokongan kereta elektrik yang bersepadu.

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk ABB dan Hager, serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Tenaga National Berhad dan MyHijau. Ia juga pemasang pengecas EV yang diiktiraf TÜV SÜD.

GoCar dan EV Connection turut merancang untuk meneroka peluang-peluang lain seperti kitar semula bateri EV, penyelesaian pengecas EV, perkongsian data dan banyak lagi.