Arkib Tag: SPRM

SPRM buru 100 kereta mewah yang dibawa keluar dari Langkawi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam usaha menjejaki sebanyak 100 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik-pemilik kenderaan itu dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Sumber mengatakan terdapat 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.

Kata sumber itu lagi, ada di antara kenderaan itu yang dibeli pada 2015 lagi dan sudah bertukar pemilik asalnya hingga pemilik ketiga.

“SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” katanya.

SPRM akan mengesan individu yang bersubahat dengan sindiket untuk mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah dari Langkawi.

Dalam fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara ini pada 13 Julai lalu, SPRM berjaya menyita 20 kereta mewah dan menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Operasi itu menyaksikan seramai tujuh individu ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu.

“Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam,” kata sumber.

SPRM tahan 11 individu disyaki terlibat sindiket diskaun saman trafik

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu termasuk pegawai polis dan penjawat awam kerana disyaki terbabit dalam sindiket diskaun saman trafik melibatkan transaksi bernilai lebih RM5 juta sejak 2016.

Mereka yang ditahan ialah empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam, masing-masing berusia antara 40 hingga 50 tahun.

Menurut sumber SPRM, modus operandi sindiket itu adalah mencari individu yang ingin menjelaskan saman mereka dengan jumlah yang lebih rendah berbanding nilai saman.

“Selepas menerima wang, sebahagian daripada bayaran akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan beberapa suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Suspek kemudiannya akan memadamkan nama individu tersebut daripada sistem PDRM,” kata sumber itu.

Sumber gambar: BERNAMA

Difahamkan bahawa SPRM telah membekukan sebanyak 60 akaun bank suspek dengan deposit berjumlah kira-kira RM184,000.

Susulan penahanan itu, sembilan daripada suspek direman tiga hari mulai 5 Oktober lalu bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu. Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“SPRM tidak menolak kemungkinan lebih ramai pegawai dan anggota polis serta orang awam akan dipanggil bagi membantu siasatan,” tambah beliau.

Kes rasuah RM85 juta: Bos MARii antara sembilan yang ditahan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan laporan BebasNews berkenaan sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut automotif.

Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang wanita dipercayai ditahan merupakan empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang  penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi. Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula semalam dikeluarkan oleh Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 34 hingga 58 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya.

Sumber berkata, dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek sebagai balasan  bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020.

BebasNews hari ini memetik sumber melaporkan ‘orang kuat’ Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii),  Datuk Madani Sahari  dan beberapa pegawai lain bakal ditahan reman selepas  SPRM melakukan sebuah ke atas institut itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM,  Dato’ Tan Kang Sai yang dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kes kartel tender kerajaan: Ferrari, Lamborghini antara dirampas SPRM

RAKYAT Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tangkapan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan individu berprofil tinggi.

Memetik laporan media tempatan, agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan beberapa individu bagi menyiasat sindiket melibatkan tender kerajaan.

Serbuan SPRM terhadap beberapa suspek membawa kepada penemuan wang tunai lebih RM3.5 juta selain beberapa kenderaan mewah.

Apa yang menarik perhatian kami di EnGear, suspek-suspek terbabit dipercayai memiliki beberapa kenderaan mewah.

Berikut antara kenderaan mewah disita pihak berkuasa untuk dijadikan bahan bukti:-

  • Nissan Skyline GTR 35
  • Range Rover Sport Autobiography
  • Mclaren 720S 4.0 Performance
  • Toyota Alphard 3.5 V6
  • Range Rover Sport SVR 2020
  • Mercedes CLA 45 AMG
  • Ford Mustang GT 5.0 V8
  • Porsche Carrera 911 4S Turbo
  • Mercedes Benz GLA 45 AMG
  • Lamborghini Urus 4.0
  • Ferrari 458 Italia
  • Benimar Tessoro (Rumah bergerak)
Gambar hiasan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam reaksinya kesal dengan perkara berlaku, lapor Berita Harian.

Justeru, Mohd Zuki mengingatkan penjawat awam agar mengekalkan integriti dan maruah diri daripada terlibat dengan kegiatan rasuah.