Arkib Tag: SJR

KJ: Rakyat marah jika ada SJR selepas rentas negeri dibenarkan

TIADA lagi sekatan jalan raya (SJR) bagi memeriksa status vaksinasi selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.

Ia bukan sahaja akan menimbulkan kesesakan lalu lintas luar biasa malah, merumitkan pergerakan rakyat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, SJR juga dibimbangi akan menimbulkan kemarahan sebilangan besar pengguna jalan raya.

“Jika itu (SJR) dibuat saya rasa rakyat akan marah jika berlaku kesesakan jalan.

“Mereka sudah menunggu untuk balik ke kampung dan tiba-tiba ada SJR,” katanya.

Khairy ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terdahulu, Khairy berkata prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tetap akan dilaksanakan seperti biasa.

Jelasnya, ia bagi mengelak individu yang masih belum mengambil vaksin bergerak bebas tanpa mematuhi SOP.

“Jika semua jalan masuk di seluruh negara ingin diperiksa ini sangat mustahil tetapi prosedur operasi standard (SOP) akan terus diguna.

” SOP sedia ada tidak membenarkan mereka yang belum divaksin ‘dine in‘ di kedai makan akan tetap terpakai,” katanya lagi.

Sementara itu, pihak polis akan terus melaksanakan Op Patuh bagi memantau restoran secara rawak.

Kempen ‘Melakan Visit Melaka’, polis tamatkan SJR antara daerah

POLIS menamatkan kesemua tujuh operasi sekatan jalan raya (SJR) di tiga daerah di Melaka bermula tengah malam ini.

Ia berikutan peralihan negeri Melaka ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali bagaimanapun berkata, SJR di pintu masuk negeri berkenaan masih dikekalkan.

“Penutupan SJR terlibat berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan.

“SJR di semua pintu masuk negeri bagaimanapun masih kekal kerana Melaka masih menutup pintu masuknya kepada pelancong luar negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM7.2 juta kepada 2,226 individu, perbadanan dan syarikat.

Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun hingga 3 September lepas.

Sebanyak 3.54 juta kenderaan diperiksa dengan 6,603 daripadanya diarah berpatah balik.

“Bagi Fasa Dua PPN yang bermula 4 September hingga semalam pula, sebanyak 387,405 kenderaan telah diperiksa dan 1,138 daripada jumlah itu diarah berpatah balik.

“Manakala 64 permohonan rentas negeri daripada 26,143 keseluruhan permohonan yang diterima terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya lagi.

Tiada lagi SJR seluruh Pahang, polis ingatkan penduduk patuh SOP

TIADA lagi sekatan jalan raya (SJR) antara daerah di seluruh negeri Pahang mulai hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Penamatan SJR itu dibuat selepas Pahang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, penamatan SJR ini bukan menjadi ‘tiket’ untuk orang ramai tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Usaha dan tanggungjawab bersama mampu mencegah penularan pandemik COVID-19 daripada terus berleluasa,” kata Ramli dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pahang antara tiga negeri beralih ke fasa PPN.

Ia dibuat berdasarkan penilaian risiko terkini oleh Kementerian Kesihatan dan MKN.

Selain Pahang, Negeri Sembilan turut memasuki Fasa Empat dan Johor dari Fasa Satu ke Fasa Dua.

Peralihan fasa itu berkuat kuasa hari ini.

Pekerja hanya punya surat pengesahan kementerian, agensi dibenar lepasi SJR

INDIVIDU hanya mempunyai surat pengesahan daripada kementerian dan agensi tertentu dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) untuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peraturan itu akan berkuatkuasa mulai esok.

Jelasnya, surat itu adalah sebagai bukti untuk membenarkan pergerakan pekerja dari kediaman ke tempat kerja.

“Orang ramai diingatkan agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang telah disenaraikan ketika melalui SJR.

“Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu gagal mematuhi arahan itu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Surat kebenaran ke tempat kerja dikeluarkan beberapa kementerian seperti senarai di bawah:

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
  • Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)
  • Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
  • Perusahaan Perladangan dan Komoditi
  • Kementerian Dalam Negeri
  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
  • Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Suruhanjaya Sekuriti (SC)
  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)Terdahulu Acryl berkata, sebarang dokumen pengesahan perlu bermula pada tarikh 1 Jun 2021.

    Individu tidak mempunyai sebarang dokumen sah atau telah tamat tempoh akan diarah berpatah balik.

    Sementara itu, Acryl berkata polis akan mengeluarkan surat kebenaran bergerak bagi individu bekerja sendiri kepada mereka yang memohon.

    Bagaimanapun, surat itu hanya diberikan secara sekali dalam tempoh 1 hingga 14 Jun ini.

ATM tambah anggota bantu polis lakukan rondaan, sekatan jalan

HARI kedua pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown menyaksikan kawalan lebih ketat diadakan pasukan keselamatan.

Ini terbukti apabila lebih 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua anggota berkenaan akan terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) seluruh negara.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, anggota terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Malaysia dikenakan total lockdown oleh kerajaan bermula semalam sehingga 14 Jun ini.

Pelaksanaan total lockdown bertujuan mengawal penularan pandemik Covid-19 seluruh negara yang kian mencatatkan angka membimbangkan.

Terdahulu, Affendi berkata pihaknya turut melakukan kerjasama dengan semua agensi keselamatan bagi mengawal kawasan sempadan negara.

Kawalan ini termasuk laluan ‘tikus’ yang digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini.

“Seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh dijangka akan menyebabkan pergerakan keluar masuk PATI meningkat.

Sehubungan itu, ATM akan terus meningkatkan kawalan bagi mengelak kemasukan PATI ke negara ini.

‘Lockdown’: Jangan tipu polis, surat kebenaran pergerakan punya kod QR

HARI ini bermula pelaksanaan ‘lockdown’ seluruh negara selama dua minggu sehingga 14 Jun.

Keputusan itu dibuat kerajaan susulan penularan pandemik Covid-19 kian membimbangkan dengan peningkatan kes saban hari.

Bagaimanapun, beberapa sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ‘lockdown’ dengan syarat mendapat kebenaran pihak berwajib.

Bagi tujuan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan surat kepada majikan sebagai bukti kebenaran beroperasi.

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC M V  Srikumar M Nair berkata, surat berkenaan dilengkapi kod respon pantas (QR).

Jelasnya, ia bukan sahaja memudahkan pihak polis menjalankan tugas namun, paling penting bagi mengelak sebarang kes penipuan.

“Apabila kod berkenaan diimbas (pautan berkenaan) akan meminta satu nombor kod yang mana hanya pihak polis sahaja mempunyai kod tersebut.

“Apabila kita memasukkan nombor kod itu, maka kita akan dapat tahu sama ada surat itu betul tally (selaras) dengan pemegang surat,” katanya.

Srikumar berkata demikian dalam program Ruang Bicara PDRM, semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan demi mengawal penularan Covid-19.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan negara terpaksa berdepan ‘lockdown’ selama dua minggu.

Katanya, hanya sektor ekonomi tertentu dibenarkan beroperasi terutama yang melibatkan perkhidmatan penting atau essential service.

Senarai sektor ekonomi dibenarkan beroperasi

Makanan dan minuman

Penjagaan kesihatan dan perubatan

Klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar

Air

Tenaga

Keselamatan (security and safety)

Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan

Pengangkutan

Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan dan lapangan terbang

Media, telekomunikasi dan internet

Pos dan kurier

Perbankan dan insuran

E-dagang dan teknologi maklumat

Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir

Hotel dan penginapan hanya bagi tujuan kuarantin

Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal

Perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar

Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu

Perkhidmatan p-hailing antara yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 'lockdown'.

Peraturan keluar rumah ketika ‘lockdown

Hanya dua individu untuk setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

Tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenar keluar mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan keselamatan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan rumah.

Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang sahaja dan disyaratkan duduk di bahagian belakang.

Aktiviti sukan dan rekreasi dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal.

SJR: Jangan ‘main’ redah, hormati petugas barisan hadapan negara

UMUM mengetahui esok bermula pelaksanaan ‘total lockdown’ seperti diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Ini bermakna tiada individu dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing tanpa urusan penting.

Bagaimanapun, masih terdapat individu terpaksa keluar bekerja terutama bagi yang berkecimpung dalam bidang perkhidmatan perlu atau essential service.

Secara tidak langsung individu terlibat pasti akan menempuh sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa.

Artikel ini berkongsi adab atau cara sopan ketika berdepan SJR pihak berkuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan demi mengawal penularan Covid-19.

Adab ketika melalui SJR

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Justeru, sikap murni ini perlu diamalkan juga ketika melalui SJR.

Berikut adalah adab ketika anda melalui SJR:

Wajib perlahankan kenderaan

Perlahankan kenderaan ketika melalui SJR.

Selain memudahkan pemeriksaan dilakukan, ia juga penting agar tidak terlanggar anggota keselamatan.

Buka tingkap

Ada pemandu sengaja tidak membuka tingkap ketika melalui SJR. Elak daripada melakukan perkara ini!

Hal ini kerana pihak berkuasa sukar untuk membuat pemeriksaan. Silap hari bulan, kenderaan anda akan ‘ditarik’ ke tepi untuk pemeriksaan lanjut.

Bertutur dengan berhemah

Pastikan anda bertutur secara berhemah dengan anggota keselamatan apabila diajukan soalan.

Jika anda berdepan anggota yang terlebih ‘mesra’ jangan timbulkan provokasi. Cuba untuk kekal tenang.

Dapatkan maklumat anggota keselamatan seperti nombor badan, dan laporkan kepada pihak berkenaan jika wujud salah laku.

Patuhi undang-undang jalan raya mampu mengelakan anda daripada kemalangan jalan raya. - Foto ihsan Malay Mail

Elak tular video insiden tidak diingini

Seakan menjadi trend setiap insiden berlaku ditularkan di media sosial.

Tanya soalan ini kepada diri sendiri, “apakah ia memberi manfaat kepada umum?”.

Ada banyak cara atau kaedah lain untuk memberi peringatan kepada masyarakat.

Ingat! Tindakan tular video tanpa maklumat sahih bukan sahaja melanggar undang-undang malah, boleh menimbulkan fitnah.

Berikut antara adab murni yang boleh diamalkan ketika berdepan SJR.

Nasihat kami, jika anda tidak mempunyai sebarang urusan penting maka elak daripada meninggalkan kediaman.

Terus patuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Gagal patuhi SOP ditetapkan menyebabkan anda boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tujuh ditahan cuba rentas negeri, polis perketat SJR menjelang lockdown

TINDAKAN dua lelaki cuba merentas negeri membawa padah apabila ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) dekat Plaza Tol Bentong, kelmarin.

Tidak cukup dengan kesalahan itu, kedua mereka juga didakwa memalsukan borang rentas negeri untuk ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, lelaki berumur 25 dan 34 tahun ditahan pada 6.30 petang.

Penahanan mereka dibuat selepas anggota polis bertugas meragui nombor siri terdapat pada borang dikemukakan.

“Anggota bertugas juga meragui kesahihan cap dan tandatangan ketua balai yang didakwa meluluskan borang itu menyebabkan pegawai polis di lokasi menghubungi balai polis terlibat.

“Semakan mengesahkan nombor siri itu tidak wujud selain polis di balai berkenaan tidak pernah menerima permohonan daripada kedua-dua lelaki tersebut,” katanya seperti dilaporkan, Bernama.

Kedua-dua lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Setakat kelmarin, tujuh individu ditahan di SJR Bentong bagi membantu siasatan memalsukan borang rentas negeri.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan arahan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Ia dibuat selepas berlaku peningkatan penularan kes Covid-19 yang setakat ini mencecah lebih 565,533 secara keseluruhan.

Perintah ‘lockdown’ seluruh negara

Sementara itu, negara bakal menjalani ‘total lockdown’ selama dua minggu bermula esok.

Berdasarkan pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, semua pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh lockdown.

Secara tidak langsung, arahan itu turut terpakai kepada pasangan jarak jauh (PJJ) yang mana sebelum ini dibenarkan merentas negeri.

Bagaimanapun, kenderaan melibatkan sektor ekonomi tertentu dibenarkan beroperasi.

Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk kompaun.

Polis tambah 50 SJR di Johor elak cubaan rentas daerah, negeri

MENJELANG beberapa jam seluruh umat Islam negara ini meraikan Hari Raya Aidilfitri, polis Johor terus memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR).

Terkini, terdapat lebih 50 SJR diadakan seluruh Johor berbanding hanya 35 sebelum ini.

Memetik kenyataan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, terdapat banyak laluan tikus di negeri itu terutama di lokasi sempadan daerah.

Jelasnya, antara laluan tikus banyak dikesan membabitkan kawasan ladang kelapa sawit di daerah Segamat.

“Laluan tikus banyak bertumpu di Segamat iaitu laluan yang digunakan di ladang-ladang kelapa sawit.

“Jadi kita harus meningkatkan lagi kawalan di lokasi berkenaan. Selain itu, kita juga kesan laluan tikus di kawasan laut di bawah Op Benteng.

“Oleh kerana itu, jumlah SJR daripada 35 sebelum ini ditingkatkan lagi sehingga 50 untuk memastikan tiada yang lolos,” katanya kepada media, hari ini.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat melibatkan SJR di laluan tikus.

Untuk rekod, polis Johor menerima lebih 25,222 permohonan rentas negeri sejak 5 hingga 11 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 24,693 diluluskan manakala 529 yang lain ditolak.

PKP: Jumlah kenderaan cuba rentas negeri tinggi, polis arah patah balik

JIKA anda berhasrat merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri minggu ini, sila lupakan niat itu.

Ini kerana polis telah mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula 12 Mei ini.

Setakat semalam, polis telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa laluan utama seluruh negara termasuk lorong ‘tikus’ di kawasan tertentu.

Berdasarkan statistik polis, Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah kenderaan diarah berpatah balik.

Terdapat kira-kira 1,426 kenderaan diarah berpatah balik membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.

Sementara itu, polis telah mengadakan lebih 24 SJR di Negeri Sembilan bagi memantau pergerakan orang ramai.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan cubaan merentas negeri.

“Saya menasihatkan supaya mereka (orang ramai) untuk tidak berbuat demikian (rentas negeri) kerana ini akan mengundang padah.

“Sekiranya mereka melanggar arahan ini tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Di Selangor, polis juga telah mengadakan lebih lima sekatan jalan raya di bawah jajaran sempadan kawasan Kuala Selangor.

SJR diadakan di kawasan mempunyai pergerakan serta kepadatan penduduk yang tinggi.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan mengenakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Orang ramai dinasihati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Antara SOP dikenakan termasuk hanya tiga individu dibenarkan berada dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Jumlah itu termasuk pemandu kenderaan.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti kunjungan Aidilfitri dan ziarah kubur 1 Syawal nanti.