Arkib Tag: sepang racing team

Ini maksud sebenar nama RNF Racing, bukan Razlan N Friends!

SELEPAS pengumuman penjenamaan semula nama Sepang Racing Team (SRT) kepada RNF Racing bermula musim 2022, ramai berteka-teki maksud sebenar nama baharu itu.

Ezpeleta, CEO Dorna (kiri) bersama Razlan Razali. Sumber: Motorsport.com

Menurut prinsipal pasukan itu, Datuk Razlan Razali, sering me­ninggalkan keluarga tercinta mencetuskan inspirasi kepadanya untuk menggunakan nama tiga anaknya dalam entiti baharu MotoGP, RNF Racing MotoGP Team musim depan.

Jelas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, nama RNF satu bentuk penghormatan kepada keluarga dan tiga lagi anaknya.

“Apa maksud RNF? Ini satu penghormatan kepada keluarga dan anak-anak saya. Semua tahu, bila kita bekerja di MotoGP, kita banyak bergerak dan tiada di rumah,” katanya.

“Satu pengorbanan besar sebagai ayah kepada keluarga dan saya fikir ini masa yang sesuai untuk saya memberi penghormatan kepada anak-anak saya dengan menggunakan huruf nama mereka sebagai nama pasukan bagi tahun depan,” tambah Razlan.

Jadi, jelaslah maksud sebenar nama RNF Racing ini ya, bukan Razlan N Friends atau maksud lain seperti yang diperkatakan.

SRT beberapa hari lepas telah mengumumkan mereka akan dijenamakan semula menjadi RNF Racing menjelang 2022 dan akan terus bersaing dalam MotoGP hingga 2026.

Pasukan itu telah menyertai Moto3 sejak 2015 sebelum mara ke Moto2 pada 2017 dan MotoGP pada 2019.

Pengumuman ini ialah susulan dari pengesahan Petronas bahawa mereka tidak lagi menaja pasukan itu menjelang akhir musim 2021.

Berkenaan nama penunggang, Razlan berkata pelumba bagi tahun depan seperti yang diumumkan Yamaha iaitu Andrea Dovizioso manakala pelumba kedua masih dalam perbincangan.

“Dalam tempoh sebulan lagi saya akan umumkan rakan penaja utama yang baharu dan juga rakan lain yang akan menyertai saya bagi musim depan,” tambahnya.

Sepang Racing Team akan ditukar nama menjadi RNF Racing untuk MotoGP

SEPANG Racing Team telah mengumumkan mereka akan dijenamakan semula menjadi RNF Racing menjelang 2022 dan akan terus bersaing dalam MotoGP hingga 2026.

Pasukan itu pada bulan lepas mengumumkan akan menarik diri dari kesemua tiga kelas kejuaraan MotoGP pada penghujung musim 2021. Sepang Racing Team setelah menyertai Moto3 sejak 2015 sebelum mara ke Moto2 pada 2017 dan MotoGP pada 2019.

Pengumuman ini ialah susulan dari pengesahan Petronas bahawa mereka tidak lagi menaja pasukan itu menjelang akhir musim 2021.

SRT yang tamat di tempat kedua dalam kejuaraan penunggang pada 2022 dengan Franco Morbidelli dan menang enam dari tujuh perlumbaan Yamaha tahun lepas, akan dijanamakan semula menjadi RNF Racing tahun depan.

Mereka masih akan diterajui oleh Razlan Razali dan Johan Stigefelt dan akan kekal dalam MotoGP sehingga 2026 selepas memeterai perjanjian baharu dengan Dorna Sports.

Walaubagaimanapun maklumat terperinci tajaan, barisan penunggang dan perjanjian terbaharu dengan Yamaha masih belum didedahkan. Andrea Dovizioso pula akan menunggang dengan pasukan itu dengan M1 pada 2022 (sekurang-kurangnya).

Ezpeleta, CEO Dorna (kiri) bersama Razlan Razali. Sumber: Motorsport.com

“Saya berterima kasih kepada Carmelo (Ezpeleta, CEO Dorna) di atas sokongan dan kepercayaan berterusannya serta keyakinan terhadap saya untuk memulakan lembaran baharu untuk MotoGP dalam lima tahun akan datang,” kata Razlan.

“Untuk musim depan, dengan entiti baharu RNF MotoGP Racing, pasukan ini akan meneruskan cara kami yang terbukti membuahkan kejayaan sebelum ini.”

Tiada lagi Petronas dan SIC dalam pasukan SRT, bakal bergerak solo tahun depan?

SELEPAS Petronas menamatkan kerjasama sebagai penaja Sepang Racing Team (SRT), disahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga akan mengikut jejak langkah syarikat petroleum negara itu.

Perkembangan itu diumumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu sidang media.

Menurut Shafriman, SRT atau Sepang Racing Team akan bergerak secara bersendirian bermula musim 2022 dan perkara berkenaan sudah diputuskan menerusi perbincangan dengan Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali.

“Pada tahun depan, pasukan yang ada sekarang bawah Datuk Razlan akan bergerak secara persendirian dan SIC tidak akan menyokong lagi pasukan berkenaan selepas ini,” kata Shafriman.

“Ini bermakna pasukan SRT akan bergerak asing daripada SIC. Jadi SIC tidak ada pasukan di MotoGP pada tahun depan. Mungkin akan ada proses penjenamaan semula tetapi ia masih dalam perbincangan,” tambahnya.

Petronas mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak selaku penaja utama SRT selepas mula bekerjasama pada 2018 dalam saingan Moto2 dan Moto3.

Ia kemudian disusuli dengan penubuhan pasukan yang beraksi di kelas elit, MotoGP sebagai pasukan satelit Yamaha iaitu Petronas Yamaha SRT pada 2019. Mereka menggunakan khidmat pelumba Fabio Quartararo serta juara dunia Moto2 2017, Franco Morbidelli.