Arkib Tag: Sepang 1000KM

Toyota Vios dominasi perlumbaan Sepang 1000KM

TOYOTA kembali ke perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM dengan prestasi mengagumkan, memperoleh kemenangan tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan sembilan jam itu.

Tiga Toyota menamatkan perlumbaan dalam lima kelompok teratas keseluruhan dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).

Di tempat pertama ialah jenteraToyota Gazoo Racing Malaysia #37 dipandu oleh duta TGR, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan juara Sporting Class, Naquib Azlan.

Mereka menamatkan perlumbaan 181 pusingan itu 6.2 saat di depan pesaing terdekat mereka, Yaris #39 pasukan Wing Hin Motorsports yang dipandu Hayden Haikal dan Jwan Hii.

Tempat ketiga diduduki oleh Hi Rev Dream Chaser (Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony), manakala tempat keempat ialah Yaris #38 Wing Hin Motorsports (Boy Wong dan Dannies Ng).

Melengkapkan tempat lima teratas ialah Honda City dari R Engineering HMRT, dipandu oleh Lee Wee Sing dan Leon Khoo Beng Koon.

“2021 adalah mengenai pembelajaran dan memberikan pendedahan litar untuk membangunkan Vios dan Yaris bagi bersaing dalam cabaran 1000KM ini,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

“Kami telah mempunyai program menyeluruh dan hampir memenangi perlumbaan tetapi terpaksa menerima penalti yang menyebabkan kami tamat di tempat ketiga dalam MTC Class.

“Memenangi perlumbaan tahun ini dan melakukannya bukan sahaja menamatkan perlumbaan, tetapi juga dengan tiga kereta dalam tempat lima teratas lebih dari mencukupi untuk menggantikan ‘kekurangan’ tadi,” tambahnya.

Sebanyak 77 kereta bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000KM edisi ke-14 yang berlangsung selama lebih sembilan jam dan 180 pusingan.

Toyota sasar kemenangan di Sepang 1000KM hujung minggu ini

SELEPAS membuat kemunculan sulungnya pada Sepang 1000KM edisi 2020, Toyota kini menetapkan sasarannya untuk memenangi perlumbaan ketahanan berprestij itu menerusi model Vios.

Untuk tahun ini, Sepang 1000KM akan berlangsung selama lebih sembilan jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 20 November 2022.

UMW Toyota Motor dan Gazoo Racing Malaysia akan berentap dalam kelas MTC dan SP2. Dua pelumba akan menggalas cabaran dalam kelas MTC untuk merebut gelaran juara keseluruhan, manakala 15 pelumba dari kelas SP2 akan bersaing dalam Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang terbuka untuk semua generasi model yang bertanding dalam Vios Challenge dan siri Vios Sprint Cup.

Saingan tahun lalu menyaksikan Toyota menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat dalam kelas MTC. Hayden Haikal dan Timothy Yeo berjaya melepasi garisan penamat di kedudukan pertama dan tiga pusingan di hadapan pesaing terdekat mereka namun malangnya pasangan tersebut dikenakan penalti yang menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan keempat keseluruhan dan ketiga dalam kelas MTC.

Sementara itu, gandingan kedua Toyota iaitu Boy Wong dan Dannies Ng yang memandu Vios berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dalam kelas MTC dan keenam keseluruhan. Tiga buah Toyota juga berjaya menduduki lima kedudukan teratas daripada 39 penyertaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata Gazoo Racing Vios Enduro Cup bakal menjadi acara penutup kepada musim perlumbaan yang sangat berjaya buat Toyota.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dengan juara keseluruhan akan membawa pulang RM10,000. Naib juara akan mendapat RM8,000, manakala pemenang tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.

Slot penyertaan Gazoo Racing Vios Enduro Cup adalah terhad. Untuk pendaftaran, pasukan dan pelumba yang berminat boleh menghubungi wakil Pengurusan Perlumbaan UMW Toyota Motor, Janet di talian 016-367 3300.