Arkib Tag: sema

Nissan Patrol 1,000 hp hasil tangan Forsberg Racing curi tumpuan di SEMA 2025

Di acara SEMA Show 2025 yang sedang berlangsung di Las Vegas, Nissan bersama pasukan Forsberg Racing tampil dengan sesuatu yang cukup luar biasa iaitu sebuah Nissan Patrol klasik dengan 1,000 hp.

Dihasilkan berasaskan Patrol generasi Y60, SUV ini bukan sekadar ubah suai biasa, tetapi satu penghormatan kepada kenderaan off-road Nissan yang cukup popular itu.

Projek ini diketuai oleh Chris Forsberg, juara tiga kali Formula Drift dan rakan kerjasama Nissan selama 17 tahun. Forsberg bukan nama baru di SEMA, sebelum ini dia pernah hasilkan pelbagai jentera hebat termasuk model Z dan trak berprestasi tinggi.

Berbalik kepada Patrol Forsberg Racing, jantungnya ialah enjin TB48 4.8-liter enam sebaris yang digunakan pada Patrol generasi lebih baharu.

Cuma kali ini, enjin itu ditala habis-habisan dengan turbo Garrett G42-1200, manifold pengambilan udara billet Hypertune, dan unit kawalan enjin Link Fury, membolehkan kuasanya melonjak hingga 1,000 hp.

Kuasa itu disalurkan ke roda melalui transmisi manual yang diperkuatkan lagi dengan klac berkembar ACT yang direka khas.

Untuk tampung kuasa sebesar itu, sistem gantungan dan tayar turut dipertingkatkan. SUV ini menggunakan rim beadlock Nismo Axis bersaiz 17 inci, dibalut dengan tayar Yokohama Geolandar 35 inci.

Sistem suspensi pula adalah jenis Nismo Off-Road yang dilengkapi tabung reservoir bagi memberikan kawalan hentakan lebih baik, sesuai digunakan di atas tanah mahupun trek lurus.

Dari luar, rupa Racing Patrol ini memang garang habis. Ia menampilkan lengkuk fender hitam, gril gelap, serta livery merah, putih dan biru Mobil 1 yang menyerlahkan warisan motorsport Nissan.

Bahagian depan pula lengkap dengan lampu sorot dan limpah Nismo, digandingkan bersama lampu utama Holley RetroBright yang bergaya retro tetapi berteknologi moden.

Masuk ke kabin, kerusi bucket Recaro Sportster memastikan Forsberg kekal kemas di tempat duduk. Ini sangat penting apabila memandu SUV tahun 90-an yang kuasanya setanding dengan supercar.

Selain itu, terdapat juga stereng kulit Grip Royal dengan tapak quick-release OMP dan penyambung stereng NRG, sekali gus melengkapkan suasana kabin yang berinspirasikan jentera lumba.

SEMA: Jaguar E-Type ini dikacuk dengan komponen Amerika dan Eropah

JAGUAR E-Type dikira antara kereta paling cantik pernah dibuat, sama seperti Mercedes 300SL Gullwing dan Lamborghini Miura.

Tetapi apa yang anda dapat lihat ini sudah tentu bukanlah versi biasa E-Type. Untuk pameran SEMA 2023, ia telah melalui transformasi yang boleh mencetuskan kontroversi.

Ini kerana Jaguar E-Type ini telah disumbat dengan enjin 2JZ-GTE Toyota Supra berserta pengecas turbo Borg Warner. Kuasa pula disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 5-kelajuan ZF dari BMW M3 E36.

Projek ini dibina oleh DevSpeed Motorsports dan dipamerkan di ruang pameran Eneos, iaitu jenama minyak dan pembekal cecair enjin serta transmisi dari Jepun.

Jaguar E-Type unik ini juga mendapat brek depan dari Chevrolet Corvette C5 2003, sementara brek belakang dari BMW 5-Series E60 2010. Subframe dan differential belakang juga dari BMW E60 ini.

Rim pula adalah Rotiform 17-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza 225/45/R17 di depan dan 255/40/R17 di belakang.

Untuk memuatkan tayar-tayar yang gemuk ini, fender telah dikembangkan dan direka dengan pencetak 3D sebelum gentian karbon ditambah untuk menguatkan panel badan.

Banyak lagi komponen kacuk yang ada pada Jaguar Frankenstein seperti suspensi depan kustom, spring Silvers, sangkar guling DevSpeed, stereng OMP, tempat duduk Tillett dengan tali pinggang Schroth, dan kotak pedal OBP.