Arkib Tag: satelit

Cuaca buruk, pelancaran roket bawa NanoDragon Vietnam tertangguh

USAHA Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA) melancarkan roket ke angkasa tergendala akibat masalah cuaca.

Keadaan angin kencang dibimbangi mengundang risiko tinggi untuk meneruskan pelancaran roket tersebut.

Memetik laporan Agensi Berita Vietnam (VNA), Roket diberi nama Epsilon-5 itu turut membawa sembilan satelit kecil termasuk NanoDragon Vietnam.

Minggu lalu, agensi itu turut melaporkan berlaku masalah pada peralatan radar darat yang memantau kedudukan dan kelajuan Epsilon-5.

NanoDragon, satelit seberat 3.8 kilogram dibangunkan Pusat Angkasa Vietnam di bawah Akademi Sains dan Teknologi Vietnam.

Satelit itu dihantar ke Jepun dan diuji di Pusat Angkasa Uchinoura di wilayah Kagoshima.

Ia kemudian secara rasmi dipindahkan ke JAXA untuk dilancarkan di bawah program  demonstrasi teknologi satelit inovatif ke-2.

Bilik pelancaran roket Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA). – Foto ihsan JAXA

Fakta mengenai satelit NanoDragon Vietnam

Penciptaan satelit NanoDragon memperlihatkan usaha Vietnam meningkatkan kawalan keselamatan.

Selain itu, ia juga menjadi batu loncatan kepada Vietnam untuk meneroka industri aeroangkasa sekaligus menjana ekonomi, sosial dan kewujudan peluang pekerjaan.

Satelit ini antara paling ringan pernah dihasilkan dan menggunakan teknologi terkini dalam mengumpul data dari ruang angkasa.

Antara negara yang pernah melancarkan satelit seperti NanoDragon Vietnam termasuk Australia, Norway, Belanda, Poland, Turki dan Colombia.

Honda perluas bidang perniagaan, sasar lancar satelit pada 2030

TIDAK cukup menghasilkan kenderaan, syarikat Honda Motor Co. tampil dengan idea baharu iaitu melancarkan satelit sendiri pula.

Memetik kenyataan dikeluarkan syarikat itu, proses pembangunan dan penyelidikan serta pelancaran satelit akan dilakukan menjelang tahun 2030.

Honda Motor Co. mempunyai alasan tersendiri di sebalik pelancaran satelit itu dan segalanya berkaitan dengan teknologi pembangunan kenderaan.

Satelit terbabit dikatakan bertujuan menjadi platform menghubungkan kenderaan dengan jaringan internet.

Selain itu, Honda Motor Co. juga sedang meneliti mengembangkan perniagaan dengan pemasangan satelit yang dibangunkan oleh syarikat lain.

Setakat ini, Honda telah menceburi bukan sahaja perniagaan automotif malah meliputi pembangunan robotik selain bidang aeroangkasa iaitu HondaJet.

Terbaharu, Honda turut bercadang membangunkan teknologi eVTOL di Amerika Syarikat sebelum memperluaskannya di Jepun dan negara Asia lain.