Arkib Tag: rx-7

Mazda RX-7 buat hal, geng Hyundai i30 N yang kena

SESI pemanduan santai sekumpulan pemilik Hyundai i30 N di Hong Kong berakhir dengan kemalangan besar selepas salah seorang daripada mereka terpaksa brek secara mengejut.

Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam kemalangan itu, termasuk lima pemandu, namun tiada kecederaan serius.

Rakaman dashcam menunjukkan kemalangan berpunca daripada sebuah Mazda RX-7 dari arah bertentangan yang memasuki laluan yang dilalui oleh konvoi i30 N itu untuk memotong.

Ini menyebabkan pemandu kereta yang berada paling hadapan terpaksa brek secara mengejut. Jarak yang terlalu rapat antara peserta konvoi i30 N itu menyebabkan mereka tidak sempat berhenti lalu merempuh antara satu sama lain. Pemandu RX-7 itu pula dilaporkan lari dari tempat kejadian.

Gambar-gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan tujuh buah i30 N terlibat dalam perlanggaran ini, dengan laporan menyebut terdapat sembilan buah kereta yang terbabit.

Melihat kepada gambar-gambar tersebut, kerosakan yang dialami oleh kereta-kereta itu boleh dikatakan agak teruk. Kebanyakannya kelihatan mempunyai peluang yang cerah untuk diselamatkan namun tidak mustahil jika ada yang diisytihar total lost.

Bagi penulis, ada dua pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian ini. Yang pertama, pastikan keadaan betul-betul selamat dan anda mempunyai ruang yang cukup sebelum memotong kenderaan di hadapan.

Yang kedua, jika anda menyertai sesi pemanduan santai atau Sunday drive seperti ini, pastikan anda tidak mengekori rapat kenderaan di hadapan kerana kemungkinan untuk anda bertindak balas sekiranya berlaku kecemasan adalah sangat tipis.

Mazda RX-7 Spirit R ini nampak cun, rupanya ada ‘kisah silam’!

HARGA kenderaan JDM tahun 90an kini semakin menggunung, siap sedia dengan seguni wang jika anda mahu yang dalam keadaan baik. Begitu juga dengan sebuah Mazda RX-7 Spirit R yang dijual di CarSales.com.au ini.

Walaubagaimanapun, beberapa orang dari komuniti AusRotary.com serta-merta nampak sesuatu yang tidak kena. Kereta ini ialah sebuah Mazda RX-7 Spirit R Type A 2022, dilengkapi dengan enjin twin-rotor 13B, twin-turbo yang menjana 276hp berserta kotak gear manual 5-kelajuan.

Model Type A ini dikatakan versi Spirit R paling diburu. Mazda semasa pelancarannya berkata, “Spirit R Type A ialah RX-7 terulung, memberikan prestasi pemanduan paling menakjubkan dalam sejarahnya.” Hanya 1,044 unit Spec A pernah dihasilkan dari keseluruhan 1,500 Spirit R.

Iklan yang menyatakan kereta yang “sangat terjaga” dan “sangat bersih” ini adalah unit bernombor 315 dari 1,500, dan hanya mempunyai dua pemilik. Ia telah diimport ke Australia dan diluluskan pada Disember 2018.

Dikatakan dalam keadaan standard, penjualnya mendakwa tiada sebarang modifikasi dibuat pada kereta itu, malah bahagian seperti rim dan unit infotainmen padanya masih original. Ia diiklankan dengan harga AUD149,000 (RM447,636).

Dengan beberapa maklumat, seorang ahli di AusRotary itu terus memeriksa latar belakang kereta ini. Menurut semakannya, Spirit R no.315 itu telah dibeli dari lelongan di Jepun pada Jun 2018 dalam keadaan yang teruk, siap dengan kemik. Ia tidak menerima gred kualiti rasmi negara itu.

Ia kemudian dibaiki dan dilelong semula pada Oktober 2018 dengan tanda ‘R’, bermaksud ia telah dibaiki selepas kemalangan.

RX-7 ini kemudian dieksport ke Australia pada Disember tahun sama dan menurut AusRotary, kerosakan teruk itu sepatutnya tidak melayakkannya untuk lulus pemeriksaan.

Menurut polisi kerajaan Australia, sesebuah kenderaan yang telah mempunyai kerosakan struktur tidak boleh diberikan Used Import Plate. Bengkel berdaftar RAW (Registered Automotive Workshop) mesti menilai setiap kerosakan kenderaan mengikut garis panduan ditetapkan.

Tambahan lagi, jika kenderaan itu tidak menepati piawaian-piawaian ini, ia mesti dieksport keluar atau dimusnahkan, tidak kira sama ada kerosakan itu telah dibaiki atau boleh dibaiki.

Posting di AusRotary.com itu mendakwa bengkel yang meluluskan kereta itu telah terlibat dengan banyak RX-7 serupa yang telah dibaiki selepas kemalangan atau pernah mengubah odometer.

Lebih memburukkan keadaan, RX-7 yang diiklankan dikatakan hanya dimiliki oleh individu. Tetapi penjual nampaknya telah menjual banyak Spirit R, bermakna kereta itu sebenarnya dimiliki oleh syarikat, dan bukan individu.

Kemudian  posting itu juga berkongsi bahawa RX-7 ini asalnya telah dimodifikasi, cuma telah dikembalikan kepada keadaan standard, bukannya standard dari mula seperti yang diiklankan.

Head unit (radio) padanya bukanlah original juga, sebaliknya dipasang dengan model Mazda domestik Australia, mungkin dari Mazda 323.

Seperti yang ramai katakan di Facebook, mereka tidak kisah membeli Mazda RX-7 yang telah dibaiki dengan baik. Masalahnya ialah kereta itu telah dibaik pulih namun diiklankan dengan meragukan.

Mazda RX-7 itu didakwa standard kilang, mempunyai perbatuan rendah, dalam keadaan baik, maka diletakkan harga sebegitu.

Ini salah satu sebab kenapa kita kena sentiasa buat pemeriksaan latar belakang sebelum kita membeli kereta yang mahal begini.