fbpx

Mazda RX-7 Spirit R ini nampak cun, rupanya ada ‘kisah silam’!

mazda rx-7 spirit r australia 01

HARGA kenderaan JDM tahun 90an kini semakin menggunung, siap sedia dengan seguni wang jika anda mahu yang dalam keadaan baik. Begitu juga dengan sebuah Mazda RX-7 Spirit R yang dijual di CarSales.com.au ini.

Walaubagaimanapun, beberapa orang dari komuniti AusRotary.com serta-merta nampak sesuatu yang tidak kena. Kereta ini ialah sebuah Mazda RX-7 Spirit R Type A 2022, dilengkapi dengan enjin twin-rotor 13B, twin-turbo yang menjana 276hp berserta kotak gear manual 5-kelajuan.

Model Type A ini dikatakan versi Spirit R paling diburu. Mazda semasa pelancarannya berkata, “Spirit R Type A ialah RX-7 terulung, memberikan prestasi pemanduan paling menakjubkan dalam sejarahnya.” Hanya 1,044 unit Spec A pernah dihasilkan dari keseluruhan 1,500 Spirit R.

Iklan yang menyatakan kereta yang “sangat terjaga” dan “sangat bersih” ini adalah unit bernombor 315 dari 1,500, dan hanya mempunyai dua pemilik. Ia telah diimport ke Australia dan diluluskan pada Disember 2018.

Dikatakan dalam keadaan standard, penjualnya mendakwa tiada sebarang modifikasi dibuat pada kereta itu, malah bahagian seperti rim dan unit infotainmen padanya masih original. Ia diiklankan dengan harga AUD149,000 (RM447,636).

Dengan beberapa maklumat, seorang ahli di AusRotary itu terus memeriksa latar belakang kereta ini. Menurut semakannya, Spirit R no.315 itu telah dibeli dari lelongan di Jepun pada Jun 2018 dalam keadaan yang teruk, siap dengan kemik. Ia tidak menerima gred kualiti rasmi negara itu.

Ia kemudian dibaiki dan dilelong semula pada Oktober 2018 dengan tanda ‘R’, bermaksud ia telah dibaiki selepas kemalangan.

RX-7 ini kemudian dieksport ke Australia pada Disember tahun sama dan menurut AusRotary, kerosakan teruk itu sepatutnya tidak melayakkannya untuk lulus pemeriksaan.

Menurut polisi kerajaan Australia, sesebuah kenderaan yang telah mempunyai kerosakan struktur tidak boleh diberikan Used Import Plate. Bengkel berdaftar RAW (Registered Automotive Workshop) mesti menilai setiap kerosakan kenderaan mengikut garis panduan ditetapkan.

Tambahan lagi, jika kenderaan itu tidak menepati piawaian-piawaian ini, ia mesti dieksport keluar atau dimusnahkan, tidak kira sama ada kerosakan itu telah dibaiki atau boleh dibaiki.

Posting di AusRotary.com itu mendakwa bengkel yang meluluskan kereta itu telah terlibat dengan banyak RX-7 serupa yang telah dibaiki selepas kemalangan atau pernah mengubah odometer.

Lebih memburukkan keadaan, RX-7 yang diiklankan dikatakan hanya dimiliki oleh individu. Tetapi penjual nampaknya telah menjual banyak Spirit R, bermakna kereta itu sebenarnya dimiliki oleh syarikat, dan bukan individu.

Kemudian  posting itu juga berkongsi bahawa RX-7 ini asalnya telah dimodifikasi, cuma telah dikembalikan kepada keadaan standard, bukannya standard dari mula seperti yang diiklankan.

Head unit (radio) padanya bukanlah original juga, sebaliknya dipasang dengan model Mazda domestik Australia, mungkin dari Mazda 323.

Seperti yang ramai katakan di Facebook, mereka tidak kisah membeli Mazda RX-7 yang telah dibaiki dengan baik. Masalahnya ialah kereta itu telah dibaik pulih namun diiklankan dengan meragukan.

Mazda RX-7 itu didakwa standard kilang, mempunyai perbatuan rendah, dalam keadaan baik, maka diletakkan harga sebegitu.

Ini salah satu sebab kenapa kita kena sentiasa buat pemeriksaan latar belakang sebelum kita membeli kereta yang mahal begini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved