Arkib Tag: roma

Ferrari Roma Spider denga bumbung fabrik boleh dibuka – 612hp, 750Nm, 0-100 3.4s

FERRARI Roma kini ditawarkan dalam bentuk badan Spider, iaitu versi convertible. Ia menggabungkan gaya retro yang ada pada versi coupe dengan bumbung fabrik yang boleh dilipat. Mekanisma bumbungnya boleh dibuka/ditutup dalam masa 13.5 saat, pada kelajuan sehingga 60km/j.

Rekaan bumbung fabrik ini juga sedikit berbeza dimana pereka Ferrari telah mengubah bahagian tingkap belakang. Dek belakang mempunyai panel warna badan yang menjadikan kawasan ini sebagai dua bahagian berbeza, memberi ruang untuk simpanan bumbung. Bahagian bawah pula diintegrasi dengan spoiler belakang aktif gentian karbon.

Anda yang membeli Ferrari Roma Spider akan dapat memilih fabrik dan jahitan pada bumbung ini. Terdapat deflektor angin di antara dua perehat kepala di tempat duduk yang boleh dinaikkan untuk memastikan kabin senyap semasa bumbung dibuka.

Sama seperti versi coupe, Roma Spider juga mempunyai output 612hp pada 5,750 hingga 7,500rpm dan 750Nm tork dari enjin 3.9-liter V8 twin turbo. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear 8-kelajuan dwi-klac.

Ferrari berkata Roma Spider mampu memecut ke 100km/j dalam masa 3.4 saat, manakala 200km/j dicapai dalam masa 9.7 saat. Untuk perbandingan, versi coupe memecut ke 100km/j dalam masa yang sama, tetapi lebih pantas ke 200km/j, iaitu dalam 9.3 saat. Kelajuan maksima adalah serupa pada 320km/j.

Ferrari Roma Spider mempunyai berat tambahan 84kg, kebanyakannya dari sistem komponen convertible padanya. Deflektor angin juga menambah berat.

Ciri lain termasuklah tempat duduk dengan pelarasan 18-arah, pemanas leher, semuanya untuk memberikan keselesaan dalam perjalanan jauh. Terdapat juga panel instrumen digital dan paparan tengah bersaiz 8.4-inci.

Harga belum diumumkan, tapi kita boleh jangkakan Roma Spider tiba ke pasaran Malaysia dalam tahun ini.

Ferrari Portofino M kini di Malaysia – 612hp, 0-100 3.5 saat, kotak gear baharu, RM998k sahaja

NAZA Italia – pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Ferrari di Malaysia – hari ini mempersembahkan kehadiran Portofino M di negara ini.

Jentera convertible/spyder hardtop (bumbung keras) dengan V8 twin-turbo ini diperbaharui dengan rupa lebih terkini, Manettino dengan lima mod, dan kotak gear 8-kelajuan baharu.

Ya, Ferrari Portofino bukanlah model baharu sepenuhnya. Jadi, apa bezanya pada Portofino M ini? M bermaksud ‘Modificata’ yang mana menurut Ferrari untuk model-model yang melalui evolusi yang meningkatkan prestasinya.

Berkenaan prestasi, Ferrari Portofino M mendapat janaan kuasa dari enjin 3.9-liter V8 twin-turbo yang kini menjana 612hp dan 760Nm, iaitu 19hp lebih dari sebelum ini.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan menggantikan unit 7-kelajuan sebelum ini, membolehkan Portofino memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.45 saat dan mencapai 200km/j dalam hanya 9.8 saat. Untuk pengetahuan, kotak gear baharu ini dikongsi dengan model terkini yang lain seperti Roma, SF90 Stradale dan Spider.

Rupa luaran diberi sedikit perubahan dan dapat dilihat dari bampar baharu, ruang kemasukan udara sisi baharu, gril, dan aliran udara dalam gerbang roda untuk kecekapan aerodinamik lebih baik.

Bahagian belakang menampilkan diffuser baharu, dan perumah ekzos yang direka semula untuk rekaan lebih kemas. Diffuser ini boleh dipilih dari bahan gentian karbon jika anda mahu.

Penambahbaikan juga dilakukan pada sistem brek untuk rasa yang lebih kemas dan responsif serta keseluruhan sistem ekzos yang menggunakan geometri baharu serta memberikan bunyi lebih sporti.

Tiada perubahan besar pada ruang dalaman Portofino M ini, dan ia masih mengekalkan susunan panel instrument meter rev di tengah serta dua paparan TFT di sisi, selain skrin infotainmen 10.25-inci.

Pada suis Manettino di stereng, kini terdapat mod RACE baharu, menjadikan lima tetapan semuanya. Ferrari Portofino M juga kini dilengkapi dengan ADAS iaitu sisyem bantuan pemandu termaju seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Predictive Emergency Brake System dan banyak lagi.

Berapa harga untuk roadster Ferrari terbaharu ini? Kurang RM1 juta, iaitu cuma RM998,000 sahaja sebelum insurans, cukai, dan segala macam pilihan menarik yang boleh diberikan padanya. Jika anda tempah hari ini, penghantaran akan bermula awal tahun depan.