Arkib Tag: replika

Toyota akhirnya pamerkan koleksi model skala 1:5 istimewa untuk orang awam

PAMERAN “Toyota 75” yang diadakan di Toyota Automobile Museum di Jepun pada 2013 bukan sahaja menampilkan barisan model terawal yang mewarnai sejarah perkembangan syarikat itu, malah ada satu bahagian khas yang menempatkan sebuah koleksi yang sebelum itu tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai.

Koleksi yang dimaksudkan ialah 50 unit model diecast berskala 1:5 yang dibawa khas dari Toyota Design Centre. Jadi apa yang menariknya mengenai model-model skala ini?

Bagi mereka yang tidak meminati kereta, ia mungkin kelihatan seperti permainan untuk kanak-kanak ‘dewasa’.

Namun bagi si kaki kereta dan peminat jenama Toyota khususnya, melihat model-model skala ini tersusun rapi di dalam bekas kaca boleh dianggap sebagai satu keistimewaan yang hanya dapat dirasakan sekali seumur hidup.

Ini kerana kebiasaannya model-model skala ini diletakkan di satu bahagian di ibu pejabat Toyota yang dikenali sebagai Design Dome. Akses untuk ke bahagian ini dikatakan sangat terhad, dengan kebanyakan kakitangan syarikat itu tidak mempunyai kebenaran untuk memasukinya, apatah lagi orang awam.

Jadi bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-75, Toyota untuk pertama kalinya mengambil keputusan mengeluarkan model-model skala tersebut dari Design Dome dan mempamerkannya bersama-sama dengan kolekasi kereta bersaiz sebenar mereka untuk masa yang terhad.

Penghasilan model skala merupakan satu perkara biasa dan sudah menjadi sebahagian daripada proses pembangunan sesuatu model baharu. Untuk model skala Toyota ini, setiap satu daripadanya dihasilkan dengan tangan dan digunakan bukan sahaja untuk tujuan penyelidikan reka bentuk, malah juga untuk diarkibkan.

Model-model yang dipamerkan merangkumi nama-nama yang sering menjadi sebutan peminat JDM seperti Supra, Celica, MR-2 dan MR-S, serta model-model yang sudah jarang didengari seperti Corona, Crown, Cressida dan Cresta.

Oleh kerana model skala ini didatangkan dalam skala 1:5 yang boleh dikatakan agak besar, setiap elemen rekaan luaran dan dalaman dihasilkan dengan penuh terperinci dan dapat dilihat dengan jelas dengan mata kasar.

Malah, jika dilihat dalam gambar-gambar ini, ia tidak ubah seperti kereta bersaiz sebenar. Ini tidak lain tidak bukan ialah bukti ketelitian yang tinggi dan komitmen pereka-pereka Toyota yang terlibat dalam penghasilannya.

Sumber gambar: Speedhunters.com

Ferrari Testa Rossa J ini ialah replika bersaiz 3/4 dari kereta sebenar, tapi bukan untuk budak-budak!

SEMUA tahu bahawa Ferrari 250 GTO dan Testa Rossa merupakan antara kereta termahal di dunia. Kini, ada satu versi yang lebih mampu milik, perkenalkan, Ferrari Testa Rossa J.

Ianya sebuah replika yang dibina dengan kerjasama The Little Car Company yang sebelum ini pernah menghasilkan Bugatti Baby II. Testa Rossa J ini berskala 3/4 sahaja dari kereta sebenar dan tidak mempunyai enjin V12, sebaliknya dipacu oleh motor elektrik yang dikuasakan oleh tiga bateri di depan.

Malah Ferrari turut memberikan rekaan dan skematik Testa Rossa original untuk casis dan suspensi supaya replika ini menjadi dapat dihasilkan serealistik yang boleh.

Badannya dari aluminium yang dibentuk dari tangan, tempat duduknya dari kulit dan cukup besar untuk seorang dewasa dan remaja. Untuk pemandu, terdapat roda stereng Nardi sebenar untuk mengemudi kereta.

Selain itu, Testa Rossa J dilengkapi dengan rim wayar 12-inci, tayar Pirelli, dan papan pemuka dengan susunan meter sebenar. Cuma bacaan minyak dan suhu diganti dengan penyukat suhu bateri dan motor elektrik.

Sistem elektrik ini bukanlah untuk kereta merangkak perlahan. Terdapat empat mod pemanduan, dan dalam mod Sport atau Race, ia boleh dipandu dengan kelajuan hingga 60km/j. Menurut Ferrari, replika ini ditala dan diluluskan oleh pemandu uji mereka sendiri di litar Fiorano.

Dah nama pun Ferrari, mesti lah tidak murah, bukan? Testa Rossa J akan dijual pada harga bermula 93,000 Euro (RM4.6 juta), dan hanya 299 unit akan dihasilkan. Walaupun bersaiz kerdil, ia bukanlah untuk budak-budak.

Khas untuk pengumpul Ferrari, Testa Rossa J ditawarkan dengan pilihan14 livery dengan 53 warna.