Arkib Tag: Renault Captur

Mitsubishi ASX 2024 dikemaskini, masih lagi model rebadge Captur facelift

Tidak lama selepas Renault melancarkan Captur facelift, tiba giliran Mitsubishi mengemaskini penawaran model crossover ASX untuk model tahun 2024.

Tipikal untuk sebuah model tukar lencana (rebadge), Mitsubishi ASX mengekalkan reka bentuk Captur namun dengan beberapa perincian yang berbeza.

 

Seperti contoh, rekaan jeriji yang lebih agresif, kemasan hitam berkilat pada bampar hadapan, sementara bahagian belakang pula terpampang perkataan MITSUBISHI.

Keempat-empat sudut gerbang roda telah dipadankan dengan set rim aloi hitam bersaiz 18 inci untuk penampilan sporti.

Susun atur ruang kabin juga tidak banyak berubah berbanding Captur facelift.

 

Secara standard, ASX datang dengan skrin Smartphone-link Display Audio (SDA) sebesar 10.4 inci, diikuti dengan roda stereng berlogo Mitsubishi.

Mitsubishi ASX juga merupakan model Mitsubishi yang pertama dilengkapi dengan sokongan aplikasi Google, seperti Google Assistant, Google Maps, dan juga Google Play Store.

Dengan menggunakan aplikasi mudah alih, pemilik juga boleh menentukan lokasi sebenar ASX ini diparkir.

 

 

Di pasaran Eropah, Mitsubishi ASX boleh didapati dalam versi petrol, hibrid ringan dan hibrid penuh (HEV).

Versi petrol datang dengan nadi 1.0 liter turbo (89 hp) yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, sementara versi hibrid ringan pula menggandingkan enjin 1.3 liter turbo berkuasa 138 hp dengan kotak gear manual, atau versi 158 hp dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

Versi hibrid penuh pula membawakan enjin 1.6 liter 143 hp yang dipadankan dengan dua motor elektrik, kotak gear automatik berbilang mod, dan pek bateri berkapasiti 1.2 kWh.

 

Menurut Mitsubishi, ASX HEV ini mempunyai mod penyimpanan cas bateri E-SAVE yang boleh digunakan kemudian untuk pemanduan sifar emisi, dengan syarat bateri mempunyai tahap cas 40 peratus dan ke atas.

Ciri keselamatan yang dimuatkan pada ASX termasuklah sistem parkir automatik Park Assist, sistem pemantauan keliling Around View Monitor, serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

 

Renault Captur versi facelift tampak lebih premium

 

Mitsubishi ASX 2024

Renault Captur versi facelift tampak lebih premium

Generasi kedua crossover subkompak Renault Captur telah pun berada di pasaran sejak Julai 2019 lagi.

Untuk menjadikan penawarannya lebih malar segar seiring dengan peredaran masa, Renault Captur telah diberikan kemaskini pertengahan kitaran, membawakan penampilan yang lebih premium, serta bebas daripada bahan kulit dan krom.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan Renault Captur 2024:

 

Rupa paras lebih malar segar

 

Tidak seperti model-model Renault terdahulu, Captur telah diberikan rupa paras yang nampak lebih premium.

Muka depan Captur 2024 ini dilihat menyamai rekaan yang wujud pada Scenic E-Tech dan Rafale, dengan unit lampu LED penuh, diikuti dengan lampu nyalaan siang pada penghujung bampar.

Unit lampu belakang juga telah disemak semula.

Akhir sekali, Renault Captur menampilkan logo Renault baharu, diikuti dengan padanan 14 warna dan pilihan rim bersaiz 17 hingga 19 inci.

 

Skrin infohibur lebih besar, perisian Android Automotive 12

 

Untuk ruang kabin pula, Captur facelift telah menerima naiktaraf berupa skrin kluster digital sebesar 10.25 inci, serta skrin tengah sebesar menegak 10.4 inci yang dilengkapi sistem operasi Android Automotive 12.

Selain itu, ciri lain termasuklah port pengecasan USB-C, pad pengecasan peranti tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien, serta opsyen sistem audio Harman Kardon dengan sembilan pembesar suara.

 

Platform CMF-B kekal, dan ditambahbaik

 

Secara asasnya, Renault Captur facelift masih lagi mengekalkan penggunaan platform CMF-B.

Namun, pihak jurutera telah mengubah beberapa komponen seperti geometri suspensi, penyerap hentak serta kalibrasi stereng, bertujuan untuk menjadikan aspek pengendalian yang lebih baik.

Selain itu, SUV sepanjang 4,239 mm ini masih lagi mampu menawarkan ruang kargo sebesar 484 hingga 616 liter, terima kasih kepada tempat duduk belakang yang boleh diluncurkan kedudukannya.

 

Unit rangkaian kuasa – ICE dan hibrid ringan

 

Bergantung kepada spesifikasi, Renault Captur boleh dilengkapi dengan pilihan rangkaian kuasa seperti berikut:

-nadi tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo TCe petrol (89 hp) + transmisi manual enam kelajuan
-nadi tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo TCe LPG (99 hp) + transmisi manual enam kelajuan
-nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo TCe (138 hp) + sistem mild-hybrid 48V + transmisi manual enam kelajuan
-nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo TCe (158 hp) + sistem mild-hybrid 48V + transmisi automatik EDC
-nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo TCe (153 hp) tanpa sistem hibrid ringan

Kesemua versi Renault Captur facelift hanya dibekalkan dengan sistem pacuan roda depan (FWD).

 

Captur Hybrid – paling cekap!

 

Selain daripada tetapan yang disenaraikan di atas, Renault Captur juga boleh didapati dalam varian hibrid penuh E-Tech.

Ia menggandingkan enjin 1.6 liter aspirasi semula jadi (NA) dengan dua motor elektrik, pek bateri 1.2 kWh dan sistem transmisi automatik berbilang mod yang memacu roda depan.

Sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 143 hp, dan antara tetapan yang paling cekap ditawarkan oleh Renault.

 

Mod pemanduan

 

Renault Captur facelift datang dengan sistem mod pemanduan Multi-Sense, merangkumi pilihan mod Eco, Sport, Comfort, dan MySense.

Terdapat mod tambahan Extended Grip (Snow/All-Terrain) yang dapat menambahbaik kadar cengkaman semasa menempuh laluan off-road yang ringan.

Selain itu, Renault Captur menawarkan sehingga 28 ciri ADAS termasuklah Active Driver Assist dan Hybrid Predictive Driving.

 

Varian baharu

 

Untuk menggantikan varian RS Line, Renault memperkenalkan trim baharu Esprit Alpine sebagai varian paling premium.

Ia boleh dibezakan dengan kemasan Slate Gray pada bampar, kemasan hitam berkilat, serta set rim spesifik bersaiz 19 inci.

Untuk ruang kabin pula, terdapat kemasan fabrik mampan, emblem bendera Alpine dan Perancis, jahitan biru pada papan pemuka dan pedal aluminium.

 

Baik beli?

Renault Captur bakal bersaing dengan pelbagai model crossover/SUV segmen B di Eropah, termasuklah Ford Puma, Nissan Juke, Peugeot 2008, Skoda Kamiq dan Volkswagen T-Cross.

 

Renault Captur 2024 (facelift)

Mitsubishi ASX 2023 tampil dengan reka bentuk Renault Captur

MITSUBISHI telah memperkenalkan crossover kompak generasi baharunya iaitu ASX untuk pasaran Eropah. Jangan gosok mata anda kerana reka bentuknya memang saling tak tumpah seperti Renault Captur. Ini kerana ia menggunakan platform CMF-B oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Juga dikenali sebagai RVR atau Outlander Sport di pasaran-pasaran lain, ASX akan dipasang di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol dan akan memasuki pasaran Eropah bermula Mac 2023.

Dari segi reka bentuk, tiada perbezaan ketara dapat dilihat antara ASX dan Captur, selain penggunaan lencana Mitsubishi pada gril. Bagaimanapun, tiada logo syarikat itu pada tailgate. Ia digantikan dengan perkataan ‘MITSUBISHI’, ditemani dengan ‘ASX’ dan ‘PHEV’ pada bahagian bawah.

Di dalam, pelanggan boleh memilih sama ada untuk mendapatkan kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dengan navigasi 3D, skrin 7.0 inci atau pun meter analog dengan skrin 4.2 inci di tengah-tengah. Skrin sistem infohibur pula boleh didapati dalam versi 7.0 inci atau 9.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pasaran Eropah, ASX akan ditawarkan dengan lima pilihan enjin seperti berikut:

  • 1.0-liter tiga silinder dengan manual enam kelajuan – 90 hp/160 Nm
  • 1.3-liter empat silinder mild-hybrid dengan manual enam kelajuan – 138 hp/260 Nm
  • 1.3-liter empat silinder mild-hybrid dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan – 156 hp/270 Nm
  • 1.6-liter empat silinder hibrid – 141 hp/148 Nm
  • 1.6-liter hibrid plug-in – 160 hp/144 Nm

Varian 1.6-liter hibrid didatangkan dengan bateri kecil berkapasiti 1.3 kWh manakala varian 1.6-liter hibrid plug-in pula mempunyai bateri 10.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 49 km.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada teknologi Mi-Pilot yang menggabungkan Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Centering Assist (LCA) untuk bantuan pemanduan di lebuh raya. Turut disertakan adalah Emergency Brake Assist, Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition dan Parking Assist.