Mforce Bike Holdings mengumumkan pembangunan model baharu bersesaran 200 cc yang dikenali sebagai “Skuchai”.
Sebanyak RM10 juta telah dilaburkan oleh Mforce merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kejuruteraan reka bentuk.
Selain itu, ia turut meliputi ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa.
Skuchai – konsep tiga-dalam-satu
Konsep yang pertama di dunia ini menggabungkan tiga elemen berbeza, iaitu:
- reka bentuk skuter
- enjin kapcai
- sistem CVT automatik
Antara kelebihan model “Skuchai” ini termasuklah:
- aspek ergonomik dan keselesaan ala skuter
- struktur yang ringan macam kapcai
- transmisi CVT untuk tunggangan lebih praktikal dalam bandar
- sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan tunggangan santai
Jurutera Malaysia sumbang idea konsep awal
Pembangunan model ini merupakan hasil kerjasama Mforce bersama rakan teknologi di China.
Ia merupakan langkah awal dalam memperkukuh rangkaian pembangunan global kumpulan Mforce, khususnya dalam aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi.
Jurutera tempatan turut sama memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, lakaran reka bentuk, serta pembangunan model tanah liat sebelum memasuki fasa pengeluaran.
Gabungan kreativiti tempatan dan kepakaran antarabangsa memastikan model yang dihasil bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau.
Unit prototaip sudah siap, bakal lancar 2027
Menurut Asri Ahmad selaku Ketua Pengawai Operasi Mforce, model prototaip “skuchai” ini telah siap sepenuhnya dan kini dalam fasa penghasilan unit pra-pengeluaran untuk ujian ketahanan dan penilaian prestasi menyeluruh.
Beliau menambah, “skuchai” ini akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama di Malaysia Bike Show 2026 pada Mei akan datang.
Pelancaran rasmi dijangka dibuat pada suku pertama tahun 2027.
Maklumat lanjut berkenaan spesifikasi penuh serta harga rasmi akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran kelak.
