Arkib Tag: rare

Kereta ‘rare’ RM5,000 – Ada Mercedes, Citroen, Daihatsu, kisah sedih pun ada!

KALI ini, Tenyeh Enterprise ditugaskan mencari kereta ‘rare’ bawah RM5,000. Tetapi maksud ‘rare’ itu sendiri cukup luas, boleh jadi kerana kereta susah dijumpai, atau keadaannya yang agak unik. Mercedes, Citroen, BMW semua ada, malah kisah sedih pun ada.

1. Volkswagen Beetle (RM3,800)

Aduh, yang pertama ni dah la bumbung kena potong. Macam mana ni ye? Katanya ‘project car’. Ya betul, California style mungkin, tiada bumbung langsung.

Tapi tak berguna juga. Abang Syamsul pun pening. Jadikan alat ganti? Setidak-tidaknya biar lah cukup, tapi ni bumbung pun tiada. Nasib baik pintu ada lagi. Timbang kati je lah kot?

2. Mini Clubman (RM3,800)

Yang ini pula, kami tak tahu enjin masih hidup atau tidak. Kalau ada geran, kira ok lah. Kalau tiada geran dan semata-mata untuk alat ganti, hm kasi tenyeh…

3. Volvo 244 2.3GL (RM2,200)

Volvo 244 dengan harga ini, seeloknya biarlah boleh dipandu. Katanya working and driving conditions.

Tapi jika dilihat pada badannya dengan cat terkopak sana-sini, entahlah. Macam banyak juga kena ‘bikin’.

4. Mazda 323 (RM3,500)

Nampak gaya macam dimiliki oleh peminat kereta. Hud depan tu macam, “wow, ada turbo.” Unik, kalau minat version turbo memang menarik. Enjin tak tahu macam mana, tengok dalam macam tak teruk sangat.

5. Mitsubishi Galant (RM2,600)

Sebenarnya Mitubishi yang orang simpan ialah Lancer. Tapi kalau minat juga model Mitsubishi kereta eksekutif, ok juga yang ini. Tahun 1995, full sticker job katanya. Mungkin dia ‘balut’ kereta dengan pelekat sebagai alternatif untuk cat.

Aircond ada, boleh tukar nama, bagus. Boleh tenyeh sikit lagi kata Abang Syamsul.

6. Citroen Xantia (RM5,000)

Keunikan Citroen model ini ialah suspensi menggunakan hydro-pneumatic. Ia boleh melaras ketinggian kereta, jadi pemanduannya memang lazat.

Tapi bila dia ‘koyak’, dengan anda semua sekali ‘koyak’. Tapi dalam senarai ini, Citroen ini palikn elok, paling Syamsul suka. Kalau anda ada ‘pomen’ yang boleh jaga Citroen ni, memang ngam.

7. Fiat Ulysse (RM4,500)

Ceritanya, siap-siap dah ada masalah kotak gear. Syamsul kata tenyeh baik punya, sebab kotak gear itu dah susah cari, kereta pun dah lama.

Fiat Ulysse ni dulu ada kembar iaitu Citroen Evasion dan Peugeot 806. Kereta yang sama, kilang sama, cuma tukar trim luar dalam sikit. Kalau peminat Fiat, boleh simpan ni.

8. Daihatsu Charade 1.6 (RM4,500)

Seterusnya Daihatsu Charade. Kereta ini boleh dipandu, pendingin hawa pun sejuk. Kereta tak begitu cantik, biasa sahaja. Tetapi untuk guna seharian, elok sahaja.

9. Kia Carnival (RM3,500)

Ini sebuah MPV menarik. Dah la lawa, selesa, sedap dipandu. Tapi sayang ada masalah enjin. Menurut iklan, tabung ekzos pun tiada.

Kalau tahu mana nak cari atau baiki dengan harga munasabah, boleh ambil.

10. Toyota Ipsum (RM5,000)

Satu lagi MPV menarik dan ‘rare’. Enjin tak boleh hidup katanya. Mungkin enjin ok, cuma tak boleh hidup mungkin disebabkan masalah kecil seperti bateri.

Pemiliknya suruh datang bawa mekanik dan lori tunda. Kalau boleh ‘bikin’, memang boleh pakai 3-4 tahun lagi.

11. Mercedes-Benz E240 2.4 V6 (RM4,999)

Haa Mercedes pun ada, jangan main-main. ‘Rare’ sebab enjin V6 ni tak banyak masuk, tapi enjin ni macam-macam penyakit. Kalau nak kena repair, silap-silap dengan kita sekali masuk hospital.

Boleh tengok, tapi selidik habis-habis. Kalau ok, kasi on.

12. BMW 318i E36 (RM4,950)

Model yang agak popular, ramai budak-budak muda minat untuk bikin. BMW 318i ini dengan enjin 1.8, merupakan model CKD, tahun 1995.

Antara BMW moden terawal dengan elektronik. Tengok keadaan macam masih banyak untuk dibaiki. Tapi pelik dia cakap pembeli Sabah dan Sarawak dialu-alukan, padahal kereta di Negeri Sembilan.

13. Nissan Serena 1.5 (RM3,000)

Alamak yang ini dia buat kisah sedih pula. Jual untuk beli susu anak katanya. Tapi masalahnya kereta dia ‘togel’ sana sini.

Lampu tiada, gril tiada, papan pemuka dalam pun macam dah lompong. Rasanya berbaloi kalau beli scrap untuk alat ganti. Geran ada, tapi tak boleh tukar nama. Aiyo..

14. Mahindra Scorpio 2.0 (RM5,000)

Menurut Abang Syamsul, sepanjang pengalamannya, ini boleh dikatakan 10 kereta paling tak sedap dipandu. Kalau beli untuk lanyak masuk hutan, buat kerja, ok lah. Running condition, cuma pendingin hawa bermasalah.

Amacam senarai kali ini? 14 kereta kami kasi. Kalau nak tengok Abang Syamsul sembang penuh, boleh tonton video di bawah:

Minat model ‘rare’ Toyota? Ketahui lima ‘besi buruk’ bawah RM5,000

ADA pelbagai sebab mengapa terdapat pengguna memilih untuk memiliki kenderaan terpakai.

Antara alasan utama diberikan sudah pasti melibatkan faktor kewangan memandangkan harga kenderaan terpakai tidak semahal model baharu di pasaran.

Namun, tidak dinafikan juga ada pengguna membeli kenderaan terpakai bagi memenuhi keperluan hobi.

Justeru, untuk artikel kali ini Engear ingin kongsikan lima kenderaan terpakai jenama Toyota yang boleh didapati dalam pasaran Malaysia.

Jom check it out!

Toyota Camry (1996)

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Toyota Camry generasi pertama ini merupakan varian GX menggunakan enjin 2.0 yang mana reka bentuk badan kelihatan sedikit besar berbanding model sebelumnya.

Menerusi pencarian di internet, model ini boleh didapati hanya serendah RM4,500 sahaja!

Namun, walaupun harganya tidak begitu mahal adalah dinasihatkan untuk anda memeriksa dengan teliti agar tiada sebarang kerosakan besar pada kenderaan ini.

Toyota Corona (1995)

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Nama Toyota Corona sering menjadi sebutan bagi kebanyakan ‘kaki’ kereta sekitar tahun 90-an.

Harga model Corona ini boleh dimiliki serendah RM4,900 sahaja.

Antara tips membeli kereta terpakai adalah pastikan komponen pada kenderaan tersebut masih original dan berada pada keadaan standard.

Bukan apa, cuma ingin pastikan kenderaan tersebut tidak pernah berdepan kemalangan atau mengalami kerosakan serius.

Toyota LiteAce

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Toyota LiteAce merupakan antara kenderaan jenis van yang popular suatu ketika dahulu.

Pencarian di internet mendapati LiteAce boleh dimiliki pada harga RM4,500 sahaja.

Kini, terdapat ramai individu yang gemar mengubah suai van menjadi sebuah kenderaan ‘camping’ bagi tujuan riadah.

Jadi, jika berminat mungkin boleh pertimbang untuk membeli sebuah LiteAce terpakai untuk merealisasikan hobi anda.

Toyota Corolla KE 70

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Model Corolla KE 70 mungkin boleh dianggap sebagai antara model terbaik pernah dihasilkan oleh syarikat Toyota.

Reka bentuk kelihatan klasik menjadikan model ini sangat ‘rare’ ketika ini.

Sebuah Toyota Corolla KE 70 boleh didapati serendah RM3,500. Amacam?

Toyota TE 71

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Corolla TE7 Liftback penah sangat popular sekitar tahun 1970-an.

Model ini sangat sesuai untuk ‘kaki’ kereta melakukan projek ubah suai kerana ia bukan sahaja memiliki reka bentuk menarik tetapi alat gantinya yang masih mudah didapati.

Menerusi pencarian Engear di internet, sebuah Toyota TE 71 boleh dibeli pada harga RM5,000.

Itu antara lima kenderaan terpakai ‘besi buruk’ Toyota kurang daripada RM5,000 di pasaran Malaysia.

Jika anda tahu model Toyota lain yang dijual sekitar harga tersebut, sila kongsi dengan kami di platform disediakan.

Kita jumpa lagi di artikel seterusnya di lain waktu!

BMW 700 Coupe yang rare dan ikonik ini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, Kuching

Sebuah kereta klasik istimewa BMW 700 Coupe kini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, iaitu bilik pameran BMW di Kuching, Sarawak. Ia dipamerkan di sudut Heritage di bilik pameran flagship itu.

Apa yang menarik mengenai BMW 700 Coupe ini? Menurut Gavin Tay, Prinsipal Pengedar di Regas Premium Auto Kuching, “BMW 700 Coupe merupakan jentera BMW yang pertama menampilkan struktur monocoque, dan ia telah membantu BMW keluar daripada kancah kemuflisan pada tahun 1959.

“Malah, model ini juga telah membina sebuah legasi dalam dunia automotif bagi kenderaan kecil, sporti dan bertaraf premium yang masih digemari oleh ramai peminat BMW, walaupun 50 tahun sudah berlalu sejak keluaran terakhirnya.”

BMW 700 merupakan legasi Wolfgang Denzel, iaitu seorang jurutera automotif dan wakil pengedar bagi jenama ini di Austria.

Denzel telah bekerjasama dengan pereka berbangsa Itali, Giovanni Michelotti untuk merekabentuk konsep kenderaan tersebut berdasarkan casis jentera BMW 600 pada waktu itu.

Berbekalkan casis dan suspensi BMW 600 yang telah mantap penggunaannya, termasuk transmisi empat kelajuan ‘all-synchromesh’, diferential gear serong, unit kuasa berkembar – yang pada asalnya digunakan pada motosikal BMW, kemudian telah ditingkatkan saiznya daripada 600cc kepada 700cc.

Model konsep ini telah diluluskan pada Oktober 1958, dan ia telah menjurus kepada pengeluaran varian Coupé dan Sedan oleh BMW.

Pada 9 Jun 1959, Lembaga Pengurusan BMW yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Dr. Heinrich Richter-Brohm telah melancarkan BMW 700 Coupé yang baharu kepada orang ramai di Feldafing, Munich.

Ketibaannya telah diraikan di serata dunia kerana ia mampu mengekalkan tahap kelajuan dan pecutan yang tertinggi seperti model yang terdahulu – malah ia juga mampu melakukannya dengan ruang yang lebih besar tanpa berat berlebihan.

Pengeluar kenderaan premium ini berjaya menyerahkan lebih daripada 35,000 kenderaan pada tahun 1960, dan BMW 700 mencakupi 58 peratus daripada seluruh pendapatan jenama ini. Penyerahan jentera BMW 700 telah mencecah 190,000 unit menjelang akhir tahun 1965.

Meskipun hanya dikeluarkan selama enam tahun, jentera rare dan unik ini memperoleh status ikonik yang berkekalan dalam sejarah BMW Group, dan ia masih menambat hati ramai peminat jenama Bavaria itu hingga hari ini.

Jika anda tinggal di Kuching dan kawasan berdekatan, bolehlah melihat BMW ikonik ini di Regas Premium Auto.

Layari https://www.bmw-regas.com.my/ atau hubungi 082-467777 untuk mendapati butiran mengenai waktu kunjungan bagi seksyen Heritage ini dan membuat temujanji.

Mercedes CLK DTM AMG yang rare ini terjual di Malaysia, hanya 100 unit seluruh dunia!

SEBUAH Mercedes-Benz CLK DTM AMG baru-baru ini telah mendapat tuan baru setelah dijual oleh Naza Automall. Difahamkan unit itu hanya mempunyai kira-kira 90km perbatuan pada odometernya.

Untuk yang belum tahu, Mercedes CLK DTM AMG adalah antara model paling istimewa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu. Ia merupakan versi jalanan untuk jentera perlumbaan DTM (Deutsche Tourenwagen Masters) iaitu siri perlumbaan Touring Car popular di Eropah.

CLK DTM AMG ini dikeluarkan pada 2004 dan hanya 100 unit pernah dibina untuk seluruh dunia, menjadikan model ini sangat rare! Dari jumlah itu pula, hanya 40 unit adalah versi pemanduan stereng kanan (RHD). Agaknya berapa unit ada di Malaysia?

Sebenarnya tanpa perlu mengetahui dengan lebih mendalam, anda pasti tahu CLK DTM AMG ini satu model istimewa berdasarkan kit badannya yang sangat agresif.

Dari bampar depan dengan ruang kemasukan udara besar, gerbang roda lebar yang terkeluar dari badan, dan spoiler belakang, semuanya dibangunkan dari DTM. Dan sama seperti versi jentera lumba, kereta ini juga mendapat banyak komponen dari gentian karbon untuk luar dan dalam.

AMG mungkin terkenal dengan enjin turbonya hari ini, tetapi CLK DTM dikuasakan oleh unit 5.4-liter V8 supercharge yang menjana sekitar 580hp dan 800Nm tork.

Sudah tentu output ini disalurkan ke roda belakang, dan ia menggunakan kotak gear semi-auto 5-kelajuan, serta hadir dengan LSD (Limited-Slip Differential) dan Electronic Stability Control yang ditala semula.

Pecutan 0-100 boleh dibuat kurang dari 4 saat dan ia mampu mencapai kelajuan maksima melebihi 320km/j.

Satu fakta menarik mengenai Mercedes CLK DTM AMG juga ialah ia mempunyai kumpulan pemilik elit seperti bekas pelumba Formula Satu, Jenson Button dan Takuma Sato.

Berkenaan unit CLK DTM AMG yang dijual oleh Naza Automall ini pula, tiada sebarang harga didedahkan tapi sudah tentu harganya akan ‘keras’.

Untuk rujukan, beberapa CLK DTM AMG di luar negara pernah terjual pada harga melebihi USD200,000 (RM837,700) dan jika ditambah dengan segala cukai dan kos lain, kami yakin harganya di sini sekitar RM2 juta.

Sumber foto: Naza Automall, Carpixel, Autocar, Autoevolution