Arkib Tag: range rover sport

Range Rover Sport generasi ketiga kini di Malaysia – RM1.7 juta

SELEPAS melancarkan Range Rover L460 dan Range Rover Velar, kini Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan satu lagi model SUV ke pasaran tempatan iaitu Range Rover Sport.

Untuk pasaran Malaysia, Range Rover Sport generasi ketiga ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu P400 Dynamic yang menampilkan enjin petrol turbo.

Range Rover Sport membawakan penampilan luar serba mewah dengan gabungan DNA Range Rover seperti lampu depan LED digital (paling langsing pada Range Rover setakat ini), tingkap dan pemegang pintu yang sama rata dan bumbung yang dipasang dengan teknik kimpalan laser.

Elemen-elemen ini membantu model ini dari aspek aerodinamik, dengan kadar pekali seretan serendah 0.29 Cd. Gaya mewahnya dilengkap kan menerusi rim Style 5127 berukuran 22 inci yang didatangkan dalam warna kelabu gelap satin, dan pintu soft-close.

Ruang dalaman tidak jauh berbeza dengan Range Rover, menampilkan sistem infohibur Pivo Pro dengan skrin sentuh melengkung 13.1 inci, paparan pemandu interaktif 13.7 inci, head-up display dan sistem audio Meridian 400W.

Kelengkapan lain turut disertakan termasuk sistem Terrain Response 2, cermin pandang belakang digital ClearSight, pencahayaan ambien, pendingin hawa empat zon dan sistem penapis udara Cabin Air Purification Pro.

‘Nadi’ Range Rover Sport P400 adalah enjin 3.0-liter turbo mild-hybrid (MHEV) yang menghasilkan 400 PS dan 550 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

SUV ini dibina menggunakan platform MLA-Flex yang dikatakan 35 peratus lebih tegar berbanding platform terdahulu. Ia dipadankan dengan sistem suspensi udara dinamik yang mempunyai fungsi Automatic Access Height.

Untuk sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, terdapat ciri-ciri seperti Emergency Braking, 3D Surround Camera, Wade Sensing, ClearSight Ground View, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Condition Response, Lane Keep Assist dan Traffic Sign Recognition.

Harga jualan Range Rover Sport bermula dari RM1,698,000 termasuk cukai dan duti.

Range Rover Sport 2023 kini dengan pembuka pintu pop-out, pilihan petrol dan diesel, sehingga 530hp

LAND Rover nampaknya sedang aktif memperbaharui barisan kenderaan mereka. Pada 2019, syarikat itu memperkenalkan Defender generasi baharu, manakala Oktober tahun lalu pula menyaksikan kemunculan model flagship Range Rover generasi kelima. Kini, tiba pula giliran Range Rover Sport untuk hadir dengan pelbagai pembaharuan.

Kini dalam generasi ketiga, Range Rover Sport menampilkan rekaan yang lebih moden dan sofistikated, digabungkan dengan elemen-elemen yang dipinjam daripada Range Rover dan Evoque seperti lampu hadapan yang nipis dan pemegang pintu pop-out.

Bagaimanapun, perbezaan reka bentuk antara ketiga-tiga model ini lebih ketara pada bahagian belakang, di mana kluster lampu dan lencana “Range Rover” ditempatkan di dalam jalur hitam di bawah cermin. Pemegang nombor plat pula diletakkan betul-betul di antara tailgate dan bampar.

Masuk ke ruang kabin, anda akan menemui susun atur kokpit yang sama dengan Range Rover namun skrin sistem infotainmen pada versi Sport dicondongkan sedikit. Skrin melengkung berukuran 13.1-inci itu menyediakan akses kepada sistem infohibur Pivi Pro. Terletak di belakang stereng pula adalah paparan pemandu interaktif 13.7-inci.

Pivi Pro menyokong sistem pengecaman suara Alexa daripada Amazon, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta kemas kini atas udara (OTA) yang membolehkan pemilik mengemas kini 63 modul elektronik dengan mudah. Meridian pula menyediakan sistem audio premium yang menawarkan sehingga 29 pembesar suara, subwoofer baharu dan amplifier 1,430W.

Selain itu, Range Rover Sport juga boleh didapati dengan tempat duduk dengan rekaan ergonomik bagi meningkatkan ruang lega kaki dan lutut, sistem penapis udara dengan teknologi nanoe X yang dikatakan dapat mencegah virus COVID-19, serta pengecas wayarles 15W.

Dibangunkan menggunakan platform MLA-Flex, Range Rover Sport ditawarkan dengan empat pilihan trenkuasa petrol, dengan tiga daripadanya menggunakan enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris. Dalam varian P360 dan P400, enjin berkenaan digandingkan dengan sistem hibrid ringkas bagi menghasilkan 360PS/500Nm dan 400PS/550Nm.

Dalam varian P440e pula, enjin Ingenium itu mendapat sistem hibrid plug-in dengan 440PS dan 620Nm. Varian tertinggi iaitu P530 dikuasakan oleh enjin 4.4-liter V8 dengan turbo berkembar yang mampu menghasilkan 530PS dan 750Nm. Beberapa pilihan enjin diesel turut tersedia.

Namun apa yang lebih menarik, barisan Range Rover Sport akan diperkembangkan dengan varian elektrik pada 2024.

Prestasi off-road model ini diperhebatkan lagi menerusi sistem Terrain Response 2 yang akan mengubah tetapan kenderaan berdasarkan kondisi jalan raya dan situasi pemanduan. Sistem itu kini mempunyai Adaptive Off-Road Cruise Control yang secara asasnya merupakan sistem kawalan pelayaran namun untuk jalan tidak berturap.

Untuk keselamatan pula, terdapat sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi Emergency Braking, kamera 3D dengan Manoeuvring Lights , Wade Sensing, ClearSight Ground View, Driver Condition Monitor, Lane Keep Assist dan Traffic Sign Recognition.