Arkib Tag: radar

Produksi Geely RADAR RD6 kini bermula, trak pikap EV untuk gaya hidup outdoor

GEELY telah memulakan pemasangan dan pengeluaran trak pikap elektrik RADAR RD6 yang mula diperkenalkan kira-kira empat bulan lalu. Ia merupakan trak pikap China pertama yang menggunakan platform EV sepenuhnya.

Trak pikap ini menggunakan binaan unibody Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely. Jadi dari aspek ini, RD6 lebih dekat dengan Proton Arena atau Honda Ridgeline berbanding Toyota Hilux yang menggunakan casis ladder-frame.

Radar RD6 dilengkapi dengan pakej kuasa “tiga-dalam-satu berkuasa-tinggi” 200kW, yang mampu memberikannya pecutan 0-100km/j dalam 6 saat.

Ia menggunakan bateri Ni55 dengan ketumpatan kuasa yang tinggi, membolehkannya mencapai jarak pemanduan sejauh 610km dan mempunyai daya caj maksima sehingga 120kW. Ini bermakna baterinya mampu memberikan jarak 120km selepas mengecaj selama hanya 15 minit.

RADAR RD6 menggunakan suspensi independent di kesemua empat roda, dengan ukuran panjang hampir 5.3 meter, diameter belokan 12.2 meter, dan mendapat sunroof panoramik sebesar 55-inci.

Untuk versatiliti, trak pikap EV ini juga menampilkan tiga ruang kargo utama, termasuk kotak simpanan tersorok di depan bersaiz 70 liter, ruang simpanan di tempat duduk belakang 48 liter, dan ruang kargo utama belakang 1,200 liter.

Terdapat soket nyah-caj berkuasa tinggi 6kW di ruang kargo belakang untuk kegunaan perkakasan dan aksesori elektrik.

Dari segi teknologi, RADAR RD6 dilengkapi dua skrin besar 12.3-inci di kabin dan sebuah skrin 9-inci untuk fungsi head-up dispay (HUD) yang juga menyokong fungsi arahan suara.

Aktiviti luar kini menjadi trend di China, maka pengenalan RADAR ini dikatakan sangat bertepatan dengan permintaan semasa.

Di masa depan juga, jenama ini akan memfokus kepada kenderaan seperti trak pikap EV pelbagai saiz, SUV untuk off-road, ATV, dan sebagainya.

Geely RADAR – Trak pikap elektrik pesaing Tesla Cybertruck?

BAGI mereka yang masih belum tahu, Geely mempunyai sub-jenama baharu yang mengkhususkan dalam segmen trak pikap iaitu RADAR. Model pertama di bawah jenama ini merupakan sebuah trak pikap elektrik yang dijadualkan untuk pelancaran pada bulan hadapan.

Sedikit maklumat mengenai RADAR, ia mula menjadi sebutan pada November tahun lalu dan pada bulan berikutnya, khabar angin mengenai kewujudan jenama itu menjadi lebih kukuh apabila Geely dilaporkan telah memfailkan paten untuk sebuah trak pikap elektrik. Kemudian pada Mei lalu, nama RADAR buat pertama kalinya tertiris dalam talian.

Menurut laporan, RADAR dioperasikan oleh dua buah syarikat yang bernaung di bawah Hangzhou Geely Automobile Research and Development iaitu Geely Pickup Truck Auto Parts (Shandong) dan Geely Pickup Truck Auto Sales (Shandong). Hangzhou Geely Automobile Research and Development pula dimiliki sepenuhnya oleh Zhejiang Geely Holding Group.

Berdasarkan pembentangan rasmi yang dibuat baru-baru ini, RADAR akan diposisikan sebagai jenama trak pikap EV untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan gaya hidup ‘outdoor’.

Apa yang menarik, setiap huruf dalam nama RADAR membawa maksud tersendiri. R untuk Rational, A untuk Alone, D untuk Discovery, A untuk Accompany dan R untuk Romantic.

Pengenalan jenama ini dilihat sebagai langkah Geely untuk mengambil kesempatan ke atas populariti trak pikap yang semakin meningkat di China. Ini berikut pembatalan larangan ke atas kenderaan itu yang diumumkan oleh beberapa bandar seperti Hebei, Liaoning, Yunnan dan Xinjiang.

Berbalik kepada trak pikap tersebut, gambar yang tertiris pada pembentangan tersebut menunjukkan ia mempunyai lampu seakan Geely Hao Yue, dengan jalur LED bersambung sehingga ke gril ala Volkswagen. Rekaan bampar hadapan pula tidak ubah seperti Bo Yue (X70).

Setakat ini, masih tiada perincian teknikal mengenai trak pikap berkenaan namun menurut Ash Sutcliffe, pengurus perhubungan awam luar Geely, saiznya hampir sama dengan Toyota Hilux. Ini bermakna ia mempunyai ukuran panjang kira-kira 5.3 meter dan tapak roda 3.1 meter.

Gambar intipan ruang dalamannya pula mendedahkan elemen-elemen seperti tuil gear X70 CKD, tombol rotari (berkemungkinan untuk pacuan atau mod pemanduan), serta skrin untuk sistem infohibur dan kluster instrumen.

Media di China juga menjangkakan yang trak pikap itu dibina menggunakan platform SEA milik Geely dan juga teknologi hibrid Leishen Hi-X, walaupun ia sebuah trak pikap elektrik. Mungkinkah ini boleh jadi pesaing dan alternatif untuk Tesla Cybertruck?