Arkib Tag: Pusat Alat Ganti Serantau

Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching

PUSAT Alat Ganti Serantau (RPC) Proton yang terletak di Kuching, Sarawak telah pun dibuka secara rasmi bagi meningkatkan perkhidmatan selepas jualan syarikat itu di Malaysia Timur.

Menurut Proton, kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30 peratus, sekaligus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik.

RPC baharu itu terletak di kawasan perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan yang menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan.

Selain itu, kemudahan itu juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata RPC baharu di Kuching itu adalah tiga kali lebih besar berbanding gudang sebelumnya. Ia juga akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

“Ruang tambahan itu juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50 peratus daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan.

“Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” tambah Roslan.

Pada 2022, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022.

Menurut syarikat itu, ia merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas Proton X70 dilancarkan. Turut menjadi pemacu pertumbuhan syarikat adalah tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam jadual jualan di Malaysia Timur iaitu Saga (10,242 unit), X50 (4,181 unit) dan Persona (2,605 unit).

“Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158 peratus,” kata Roslan lagi.

Proton bakal buka pusat alat ganti serantau di Kuching

PROTON mengumumkan bahawa Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu mereka yang terletak di Kuching, Sarawak bakal dibuka tidak lama lagi.

Menurut syarikat itu, ia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pangkalan pelanggannya yang semakin meningkat di Malaysia Timur.

Kemudahan seluas 28,000 kaki persegi itu mempunyai lebih daripada tiga kali ganda kapasiti penyimpanan daripada setor sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Roslan Abdullah berkata RPC direka untuk memenuhi keperluan pengedar dan pelanggan di Malaysia Timur, selain mengurangkan masa menunggu untuk alat ganti.

“Setelah siap, kami akan mempunyai keupayaan untuk menyimpan sehingga tiga bulan stok, malah boleh juga menerima penghantaran terus alat ganti daripada vendor luar negara,” katanya.

Selain daripada peningkatan ruang dan keupayaan untuk mengendalikan penghantaran terus alat ganti, RPC baharu juga akan dapat menyimpan sehingga enam kontena, membolehkannya menerima berbilang tempahan serentak.

Ia juga akan dapat mengendalikan peningkatan daya pengeluaran, mengurangkan masa yang diperlukan untuk memproses dan menghantar pesanan ke pusat servis/pengedaran.

“Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan ketara dalam masa menunggu untuk pembaikian kenderaan kemalangan. Sebagai tambahan kepada tiga bulan stok yang dipegang di RPC, pengedar kami juga dikehendaki mempunyai stok bahagian penyelenggaraan selama tiga bulan.

Ini adalah contoh usaha Proton untuk terus menambah baik perkhidmatan selepas jualan bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Kami faham mungkin ramai yang berhati-hati, tetapi saya ingin meyakinkan pemilik semasa dan akan datang, alat ganti tersedia untuk Proton baharu anda”, tambah Roslan Abdullah.

Jualan di Malaysia Timur semakin meningkat

Dalam pada itu, Proton turut menyatakan bahawa jualannya di Malaysia Timur telah meningkat secara progresif sejak 2019, berikutan pelancaran X70 pada Disember 2018.

Jumlah jualan di rantau ini telah meningkat sebanyak 120% dari tahun 2018 hingga tahun 2021, dan dengan angka tempahan yang sihat pada tahun 2022, syarikat menjangkakan pertumbuhan sebanyak 20% lagi dalam jualan tahun ke tahun.

“Bagi pembeli kereta di Malaysia Timur, Proton Saga kekal sebagai model paling popular kami, diikuti dengan Proton X50. Tahun lepas, kami menjual 8,692 unit Proton Saga dan 2,934 unit Proton X50 dan berdasarkan trend tempahan semasa, kami meramalkan jualan masing-masing akan melebihi 10,000 dan 4,200 unit,” kata Roslan Abdullah.