Arkib Tag: pusat 3s

Nissan Rawang kini bertaraf pusat 3S – sedia perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan pembukaan pusat 3S Nissan yang dinaik taraf di Rawang, Selangor.

Menurut ETCM, outlet tersebut pada asalnya merupakan pusat jualan sahaja namun kini ia telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan pelanggan Nissan yang tinggal di Rawang dan kawasan sekitar.

Selain dinaik taraf menjadi pusat 3S, outlet tersebut juga menerapkan Identiti Korporat Nissan yang menampilkan logo baharu jenama itu, selaras dengan Konsep Peruncitan Nissan global (NRC-NEXT).

Di bilik pameran, pelanggan boleh melihat dengan lebih dekat semua model semasa Nissan termasuk model MPV Serena S-Hybrid baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

Selain itu, terdapat juga kemudahan-kemudahan lain untuk keselesaan pelanggan termasuk ruang rehat dan bilik perbincangan peribadi. Sebagai pusat 3S, Nissan Rawang juga mempunyai pusat servis yang dilengkapi dengan dua ruang servis dan peralatan terkini.

Beralamat di No7-G, 9-G & 7-1, Jalan Bandar Baru Rawang 16, Pusat Bandar Baru Rawang, pusat ini beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 7 petang setiap Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang setiap Sabtu dan 10 pagi hingga 5 petang setiap Ahad.

Waktu operasi pusat servis pula adalah dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Sabtu. Ia ditutup setiap hari Ahad dan pada cuti umum.

Dalam pada itu, ETCM turut mengumumkan pembukaan tiga pusat pengedaran baharu di Taiping, Perak, Kluang, Johor, serta Sibu, Sarawak.

Pusat 3S Hino dibuka di Balakong dengan enam ruang servis dan peralatan terkini

HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat 3S (Sales, Service dan Spare Parts) terbaharu mereka, dioperasikan oleh Soon Seng Truck & Parts Sdn Bhd (SSTP), di Balakong. Ia terletak di lokasi strategik untuk kemudahan akses penduduk setempat dan kawasan sekitar.

Pusat 3S itu telah menerima pelaburan sebanyak RM1 juta oleh SSTP, mempunyai keluasan 20,000 kaki persegi dan mendapat kemudahan terkini oleh Hino.

Fasiliti ini dilengkapi enam tempat servis termasuklah dua tempat servis eskpres yang menjanjikan waktu penyelenggaran 45 minit bagi mereka yang membuat temu janji. Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan lounge, WiFi, dan makanan serta minuman percuma.

Selain penyelenggaraan, SSTP juga menawarkan servis-servis seperti pembaharuan cukai jalan, insurans, serta servis tunda 24 jam.

Rakan niaga jangka masa panjang dengan Hino

SSTP telah bekerjasama dengan jenama Hino lebih 40 tahun, sejak 1978, bermula dengan pengedar alat ganti di Seremban. Pada 2008, SSTP dinaik taraf kepada 3S sebelum kemudiannya menukar lokasi ke Nilai pada 2014.

Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama berkata semasa pelancaran 3S baharu itu: “Kami melantik SSTP Balakong sebagai pusat 3S sah Hino untuk menawarkan pusat sehenti bawah satu bumbung untuk pelanggan kami.”

“Kami percaya pusat 3S ini mudah untuk pelanggan membuat pertanyaan mengenai model-model Hino terkini, kerja-kerja badan, servis selepas jualan, serta bekalan alat ganti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SSTP, Chan Swe Wah berkata, “Dalam industri kenderaan komersial, hubungan dengan pelanggan menjadi keutamaan kami dan kami akan membina hubungan berpanjangan terutamanya dalam sokongan alat ganti.”

“Kawasan Balakong juga kini semakin membangun dan kami melihat perniagaan-perniagaan bercambah, dan banyak syarikat bergantung kepada pengangkutan dan logistik.”

“Dengan pembukaan pusat 3S baharu ini, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada kebanyakan syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya.

Pusat 3S baharu ini beralamat di No.7, Jalan Taming Jaya, Taman Taming Jaya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Ia dibuka pada Isnin hingga Jumaat, dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Untuk Sabtu pula, ia beroperasi dari 8:30 pagi hingga 4:30 petang.