Arkib Tag: Proton Commerce

Proton Commerce beri 27,288 pinjaman pada 2023, angka tertinggi sejak ditubuhkan

TAHUN 2023 menandakan tahun kejayaan bagi Proton dengan jualan terkumpul melonjak kepada 154,611 unit, menandakan angka jualan tertinggi syarikat itu sejak 2012.

Pencapaian itu juga membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kedua tertinggi dalam industri automotif negara.

Sejajar dengan itu, cabang pembiayaan Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam jualan dengan mencapai jumlah pengeluaran pinjaman yang tertinggi.

Sepanjang tahun lalu, Proton Commerce mengeluarkan sejumlah 27,288 pinjaman kepada pembeli Proton, iaitu satu jumlah pengeluaran tertinggi yang direkodkan sejak penubuhannya.

Lapan daripada dua belas bulan menyaksikan lebih daripada 2,000 pengeluaran, dengan pencapaian bulan Mac tertinggi iaitu sebanyak 2,934.

Menurut syarikat itu, angka berkenaan dicapai kerana menghantar tempahan yang dibuat dalam tempoh insentif PENJANA.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Commerce berkata, pegangan pasaran tahunan syarikat telah menunjukkan trajektori menaik yang stabil dengan peningkatan daripada 9 peratus pada 2018 kepada 18 peratus menjelang akhir tahun 2023.

“Dalam bulan Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran kami patut diberi perhatian, meletakkan kami sebagai entiti kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam tempoh ini,” katanya lagi.

Untuk tahun 2024, Proton Commerce menyasarkan untuk mencapai prestasi lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menjadi pembiaya nombor satu kenderaan Proton.

Memandangkan 2024 menandakan Ulang Tahun ke-20 Proton Commerce, syarikat telah menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Di samping menjaminkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan, kami juga akan menawarkan pakej kewangan yang kompetitif untuk model terbaharu Proton seperti X90 dan S70 sambil juga menghubungi pelanggan EV yang berminat untuk membeli smart #1” kata Mooi.

“Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan boleh yakin dengan pembayaran bulanan yang konsisten, memberikan kemudahan kepada mereka yang menunggu kenderaan Proton mereka dan memudahkan pengurusan bajet yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Proton Commerce catat prestasi cemerlang pada 2022, beri 22,467 pinjaman kepada pembeli

2022 merupakan tahun yang berjaya bagi Proton serta anak syarikatnya dengan jualan keseluruhan sebanyak 141,432 unit untuk pasaran domestik dan eksport. Prestasi ini membolehkan syarikat itu mengekalkan tempat kedua dalam carta jualan automotif nasional.

Kejayaan ini seiring dengan pencapaian cabang pinjaman kewangan Proton iaitu Proton Commerce Sdn. Bhd. yang memanfaatkan pertumbuhan jualan dengan mencatatkan rekod baharu bagi pengeluaran pinjaman.

Ditubuhkan pada 27 Oktober 2003, Proton Commerce merupakan usaha sama antara Proton Edar dan CIMB yang bertujuan menyediakan pinjaman kewangan kepada pembeli Proton.

Untuk tahun 2022, syarikat itu mengeluarkan sebanyak 22,467 pinjaman, kira-kira 54 peratus lebih tinggi berbanding jumlah pinjaman yang dikeluarkan pada 2021 dan juga yang terbaik dalam sejarahnya.

Angka ini dicapai selepas lapan daripada 12 bulan mencatat lebih daripada 2,000 pinjaman dengan bulan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872.

Pada masa yang sama, perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman di mana bulan Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59 peratus.

Satu lagi pencapaian Proton Commerce pada tahun lalu adalah menjadi pembiaya utama bagi model Proton yang terlaris iaitu Saga. Bermula dari suku keempat 2021, syarikat itu telah menjadi peneraju untuk Saga selama lima suku berturut-turut dan pada November, 32 peratus daripada jumlah Saga dibayai olehnya.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce berkata walaupun menghadapi permulaan yang sukar tahun lalu, pihaknya sempat memulihkan keadaan dan menebus semula peluang yang terlepas untuk muncul dengan rekod pengeluaran baharu.

“Untuk tahun 2023, kami menyasarkan untuk meningkatkan volum dan kadar kelulusan yang lebih tinggi lagi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu. Semoga ini akan mendorong kami untuk pembiaya Proton yang utama,” katanya.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce

Untuk tahun ini juga, Proton Commerce telah mengumumkan manfaat baharu iaitu lanjutan kesahihan Letter of Undertaking (LOU) daripada 90 hari kepada 180 hari. Ini akan memudahkan pembeli model Proton yang terpaksa menunggu lama untuk varian pilihan mereka.

“Proton Commerce juga akan mengekalkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan dan kerana kami menawarkan pembiayaan kadar tetap, pelanggan kami tidak perlu bimbang tentang peningkatan bayaran bulanan,” tambah Mooi Fi Phang.

Berjaya tarik minat anak muda, Proton Commerce jangka 20,000 pinjaman lulus

Proton Commerce Sdn Bhd atau Proton Commerce menyasarkan 20,000 pinjaman diluluskan tahun ini.

Ia berikutan pembuat kenderaan tempatan itu mencatatkan jualan terkumpul tertinggi pada suku pertama tahun ini sejak Mac 2012.

Setakat ini, jumlah pinjaman yang diluluskan pada suku pertama meningkat sebanyak 42.3 peratus.

Walaupun industri kewangan terjejas pada 2020 akibat Covid-19 namun, Proton Commerce berjaya meluluskan 14,189 pinjaman.

Sementara itu, Proton Commerce turut mendapati berlaku perubahan dalam demografi pelanggannya.

Tren menunjukkan terdapat pertambahan jumlah pembeli kenderaan Proton terdiri daripada orang muda.