Arkib Tag: Program Langganan

GoCar Malaysia perkenal kadar baharu GoEV yang lebih jimat

GOCAR Malaysia kini menawarkan servis perkongsian kereta elektrik GoEV lebih mampu milik menerusi pelaksanaan kadar baharu.

Menurut syarikat itu, kadar jam telah dikurangkan hampir 30 peratus, manakala kos tempahan untuk tempoh 30 hari dan ke atas kini lebih jimat hampir 50 peratus.

Pengurangan harga itu selari dengan usaha berterusan GoCar untuk mengembangkan pengalaman memandu EV di Malaysia dengan menjadikan GoEV lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Ditawarkan untuk tempahan Pergi Balik, kadar jam untuk GoEV Share kini ialah RM17.90 (turun daripada RM24.90 sejam), manakala kadar harian dikurangkan daripada RM249 sehari sebelum ini kepada RM179.

Kadar untuk tempahan jangka masa panjang iaitu 30 hari dan ke atas kini RM120 sehari berbanding RM232 sebelum ini.

Bukan itu sahaja, GoCar juga telah menambah dua zon baharu iaitu IOI City Mall (Level P1, di antara tiang F7 dan F8) serta 1 Mont Kiara (Zone C5, Level P3, Bay 162-164) bagi meningkatkan kebolehdapatan GoEV di Lembah Klang.

Lokasi sedia ada termasuklah GoCar Petaling Jaya Hub, GoCar Lot92 Cuba Beli Chow Kit, Avenue K KLCC, ERL Station KL Sentral, The LINC KL Jalan Tun Razak, MidValley Megamall, MyTown Cheras, Nissan/Renault ETCM Glenmarie dan 163 Retail Park Mont Kiara.

Perodua akan tawar 300 unit Ativa Hybrid untuk kajian pasaran

Berikutan tersebarnya gambar Perodua Ativa Hybrid sedang menjalani ujian jalan raya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad telah mengesahkan bahawa syarikat itu akan menawarkan model itu secara langganan kepada pelanggan terpilih.

Sumber foto: Danson Yoong/Facebook

Bercakap dalam sidang media khas di Kota Bharu baru-baru ini, Dato’ Sri Zainal berkata Ativa Hybrid dibawa masuk untuk kajian dan penilaian pasaran dari sudut pandangan pelanggan. Sebanyak 300 unit Ativa Hybrid akan diimport dari Jepun untuk tujuan tersebut.

Tambah beliau lagi, syarikat itu akan memberi keutamaan kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan Ativa tapi masih belum mendapat kereta mereka. Pelanggan yang terpilih perlu menandatangani perjanjian bahawa pemanduan mereka akan dipantau oleh Perodua menerusi penggunaan sistem telematiks GPS.

Sumber foto: Danson Yoong/Facebook

Selain itu, mereka juga perlu membayar pendahuluan berjumlah RM2,150 dan yuran bulanan sebanyak RM500 selama 60 bulan. Kos-kos seperti cukai jalan, insurans dan servis pula akan ditanggung sepenuhnya oleh Perodua.

Dato’ Sri Zainal berkata menerusi program ini, Perodua akan mengkaji tahap penerimaan orang ramai terhadap program langganan kenderaan.

Sumber foto: Twitter

Apa pendapat anda? Adakah program langganan seperti ini masa depan dalam pemilikan kenderaan?