Arkib Tag: pro

Chery Tiggo 8 Pro dilancar di Afrika Selatan dengan jaminan 1,000,000km!

CHERY telah melancarkan Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan sebagai langkah pertama ke benua itu selepas menembusi pasaran-pasaran lain seperti Amerika Selatan, Rusia dan Timur Tengah.

Chery Tiggo 8 Pro ditawarkan dalam dua varian iaitu Distinctive dan Executive, membawakan “Movement Design” iaitu bahasa rekaan terbaharu jenama ini.

Gril tiga-dimensi yang diilhamkan oleh galaksi serta lampu hadapan LED matriks automatik dan DRL berkembar, standard untuk kedua-dua varian.

Tiggo 8 turut dilengkapi krom satin yang menghiasi salur masuk udara rendah (yang turut berfungsi sebagai plat gelincir), lampu kabus, gril, tingkap dan bahagian bawah pintu.

Terdapat juga rel bumbung krom untuk muatan tambahan, serta rim aloi hitam dan krom 18-inci dan bumbung panoramik (varian Executive sahaja).

Pada bahagian dalaman, semua fungsi kenderaan dikawal melalui tiga skrin – panel meter mendatar 12.3-inci, skrin kawalan iklim 8-inci dan skrin infotainment terapung 10.25-inci yang memaparkan Apple CarPlay, Android Auto dan kamera undur.

Terdapat pada semua varian adalah sistem kawalan iklim automatik dwi-zon dilengkapi dengan sistem penapis udara gred N95.

Varian Executive pula menambah sistem penghawa dingin bagi barisan penumpang ketiga. Semua varian menawarkan pengecasan tanpa wayar, kawalan suara pintar dan lapan pembesar suara surround SONY.

Tempat duduk kulit diberikan pada semua varian (dengan corak jahitan berbentuk berlian pada varian Executive).

Pemandu juga boleh melaraskan tempat duduknya secara elektrik dengan enam pelarasan dan terdapat fungsi memori (Distinctive sahaja). Sementara itu untuk Executive, tempat duduk penumpang hadapan mempunyai pelarasan empat arah, juga berkuasa elektrik.

Ciri-ciri dalaman lain termasuk tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40, port USB dan 12V, serta pencahayaan ambien.

Dari sudut keselamatan, Chery Tiggo 8 Pro dibekalkan dengan ciri keselamatan standard seperti berikut:

Enam beg udara
Traction Control (TCS)
Roll Stability Control (RSC)
ISOFIX

Varian Executive pula mendapat ciri keselamatan tambahan lebih menyeluruh, iaitu:

Lane Departure Warning (LDW)
Automatic Cruise Control
Automatic Emergency Braking (AEB)
Traffic Sign Recognition (TSC)
Intelligent High-beam Control (IHC)
Blind Spot Monitoring (BSD)
Front Collision Warning (FCW)
Emergency Brake Override System (BOW)

Tiggo 8 Pro dikuasakan oleh enjin suntikan-terus 1.6-liter turbo yang menjana 197PS pada 5,500rpm dan 290Nm antara 2,000 dan 4,400rpm.

Enjin yang pernah memenangi anugerah China Heart ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Terdapat mod pemanduan Standard, Eco dan Sport serta mod stereng Eco dan Sport.

Mengikuti jejak langkah Tiggo 4 Pro, Tiggo 8 Pro didatangkan dengan waranti enjin komprehensif 10 tahun/1,000,000 km di Afrika Selatan, bagi pemilik asal.

Waranti kenderaan lima tahun/150,000 km, bantuan kecemasan tepi jalan selama lima tahun serta pakej servis komprehensif lima tahun/60,000 km turut ditawarkan.

Menurut kenyataan media yang kami perolehi, Tiggo 8 Pro adalah antara model Chery yang dirancang untuk pelancaran di Malaysia.

JMC Vigus Pro tawar alternatif trak pikap di Malaysia – 2.0-liter turbodiesel, 141hp, 340Nm

KINI ada satu lagi alternatif dalam pasaran trak pikap di Malaysia iaitu JMC Vigus Pro. Model ini diedarkan dan dijual oleh Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) yang dilantik oleh JMC (Jiangling Motors Co., Ltd).

Kerjasama di antara ATM dan JMC dimeterai selepas kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian Perlesenan Teknologi Kenderaan pada 1 Julai 2020.

JMC telah memberi hak penuh kepada ATM untuk mengilang, memasang dan menjual trak pikap JMC Vigus Pro 4×4, serta alat ganti dan komponen berkaitan di Malaysia.

ATM juga merancang untuk menawarkan JMC Vigus Pro menerusi 13 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

“Trak pikap JMC Vigus Pro 4×4 yang bergaya dan berteknologi tinggi ini sudah membuktikan keupayaannya di pasaran China. Kami tidak sabar untuk berkongsi produk baharu ini dengan peminat trak pikap di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng.

“JMC merupakan jenama kedua paling laris dalam segmen trak pikap di China bertahun-tahun lamanya. Kami ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan Angka-Tan Motor sebagai pengedar rasmi JMC Vigus Pro 4×4 dan menyatakan penghargaan kepada Warisan TC atas sokongan mereka untuk menjadikan kerjasama ini satu realiti,” kata Presiden Jiangling Motors Co., Ltd., Xiong Chunying.

JMC Vigus Pro dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo diesel dengan VGT, mampu menjana 141hp pada 3,600rpm dan 340Nm tork pada 1,500 hingga 2,600rpm.

Kotak gear adalah unit automatik 8-kelajuan dari ZF, dan kuasa dihantar melalui sistem pacuan empat-roda 4WD BorgWarner dengan mod 2H, 4H dan 4L.

Menurut JMC, trak pikap ini menawarkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 7.8 liter/100km atau 12.8km/liter.

Harga akan didedahkan tidak lama lagi iaitu dalam bulan ini. Walaubagaimanapun, jika anda berminat, boleh melihat JMC Vigus Pro ini dengan lebih dekat di bilik pameran mereka di Klang, Selangor.