Arkib Tag: Pos Malaysia

Pos Malaysia terima 50 motosikal elektrik Modenas MEV-1

POS Malaysia Berhad telah menerima 50 buah motosikal elektrik daripada Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan DRB-Hicom EZ Drive Sdn Bhd (AVIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata inisiatif ini merupakan penanda penting dalam komitmen berterusan Pos Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar.

“Selain daripada jumlah keseluruhan 55 buah motosikal elektrik yang telah beroperasi di Lembah Klang, kami akan memobilisasikan 50 lagi motosikal elektrik Modenas ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

“Matlamat kami adalah untuk mempunyai sasaran 200 buah motosikal elektrik dan 143 buah van elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas menjelaskan bahawa MEV-1 mewakili inovasi dan penyelesaian mobiliti lestari serta melambangkan komitmen pengeluar motosikal itu untuk menyediakan alternatif pengangkutan yang mesra alam di Malaysia dan di luar negara.

“Dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang elegan, MEV-1 melambangkan lonjakan yang signifikan ke arah masa depan yang lebih mesra alam bagi landskap pengangkutan negara,” tambah Roslan.

Mohd Syahrul Yusuf, Ketua Pegawai Operasi AVIS Malaysia pula berkata, “Dengan Pos Malaysia, kami bangga untuk menyumbang secara aktif kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia. Terdapat potensi besar bagi kita untuk berbuat lebih baik untuk bumi ini dan kami ingin memastikan penggunaan bahan api dan pencemaran berkurangan, melalui penggunaan cara-cara inovatif untuk menggalakkan kecekapan tenaga.”

Pada awal tahun ini, Pos Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian pyang merangkumi pelan-pelan untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya, dengan matlamat emisi karbon bersih untuk operasinya menjelang tahun 2050.

Sasaran kelestarian ini menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menyokong usaha global dalam memastikan kenaikan suhu global adalah di bawah 1.5°C.

JPJ: Stok lesen LMM, LKM mencukupi sehingga akhir tahun

STOK Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Jaminan diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain yakin tidak akan berlaku sebarang masalah berhubung isu pembekalan serta pengedaran LMM dan LKM.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan stok dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) juga mencukupi.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ.

“Ini termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM.

“Manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, MyEG masih memiliki 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM.

Pos Malaysia mempunyai 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM.

Manakala PUSPAKOM pula memiliki 11,950 LKM Motokar.

Semalam, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ.

Boleh perbaharui lesen memandu dan cukai jalan di Pos Malaysia mulai hari ini

Mereka yang berhasrat memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan boleh mendapatkan kemudahan itu di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia berkata, bagi mereka yang sudah mendapat temu janji di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh terus ke JPJ di tarikh dan lokasi ditetapkan atau ke mana-mana cawangan pejabat pos.

“Pelanggan juga boleh memperbaharui insurans motor mereka di kaunter pejabat pos atau dalam talian melalui laman sesewang dan aplikasi mudah alih,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari AskPos di www.pos.com.my atau terus ke aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan tempoh moratorium untuk memperbaharui lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.

JPJ: Tiada tempoh lanjutan, perbaharui lesen sebelum 30 September

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menyambung tempoh lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) selepas 30 September.

Arahan itu termasuk pembaharuan Lesen Vokasional atau GDL/PSV.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira tempoh lanjutan telah dilaksanakan sebagai mencukupi.

Katanya, JPJ juga menyediakan perkhidmatan secara dalam talian bagi memudahkan urusan pengguna.

“Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder atau aplikasi mudah alih miliknya.

Terdapat peningkatan transaksi bagi perkhidmatan MyEG dan syarikat itu akan berusaha memastikan setiap transaksi dihantar kepada pelanggan sebelum 30 September.

Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, pelanggan mempunyai masalah boleh segera menghubungi pihaknya untuk tindakan susulan.

Pos Malaysia tamatkan khidmat 262 ejen penghantaran

PENAMATAN skim Pos Rider memasuki fasa kedua dengan lebih 262 ejen sekitar Lembah Klang bakal ditamatkan perkhidmatan bermula 1 September depan.

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengakui terpaksa mengambil pendekatan terbabit walaupun ia merupakan satu langkah sukar.

Memetik kenyataan Pos Malaysia, ini kerana pasaran pos dan kurier domestik mengalami perubahan jumlah mel yang terus menurun begitu ketara.

Ia susulan para pemain e-dagang yang mula menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.

“Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat,” memetik satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pos Malaysia berjanji memberi keutamaan kepada ejen terlibat untuk khidmat sambilan sekiranya terdapat peningkatan penghantaran bungkusan.

Langkah itu bagi menghargai jasa dan perkhidmatan ejen terbabit sebagai bekas pekerja Pos Rider.

Program Pos Rider diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan seluruh negara.

Pada 1 Julai, Pos Malaysia telah melakukan fasa pertama rasionalisasi di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.