Arkib Tag: pinjaman

Proton Commerce beri 27,288 pinjaman pada 2023, angka tertinggi sejak ditubuhkan

TAHUN 2023 menandakan tahun kejayaan bagi Proton dengan jualan terkumpul melonjak kepada 154,611 unit, menandakan angka jualan tertinggi syarikat itu sejak 2012.

Pencapaian itu juga membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kedua tertinggi dalam industri automotif negara.

Sejajar dengan itu, cabang pembiayaan Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam jualan dengan mencapai jumlah pengeluaran pinjaman yang tertinggi.

Sepanjang tahun lalu, Proton Commerce mengeluarkan sejumlah 27,288 pinjaman kepada pembeli Proton, iaitu satu jumlah pengeluaran tertinggi yang direkodkan sejak penubuhannya.

Lapan daripada dua belas bulan menyaksikan lebih daripada 2,000 pengeluaran, dengan pencapaian bulan Mac tertinggi iaitu sebanyak 2,934.

Menurut syarikat itu, angka berkenaan dicapai kerana menghantar tempahan yang dibuat dalam tempoh insentif PENJANA.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Commerce berkata, pegangan pasaran tahunan syarikat telah menunjukkan trajektori menaik yang stabil dengan peningkatan daripada 9 peratus pada 2018 kepada 18 peratus menjelang akhir tahun 2023.

“Dalam bulan Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran kami patut diberi perhatian, meletakkan kami sebagai entiti kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam tempoh ini,” katanya lagi.

Untuk tahun 2024, Proton Commerce menyasarkan untuk mencapai prestasi lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menjadi pembiaya nombor satu kenderaan Proton.

Memandangkan 2024 menandakan Ulang Tahun ke-20 Proton Commerce, syarikat telah menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Di samping menjaminkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan, kami juga akan menawarkan pakej kewangan yang kompetitif untuk model terbaharu Proton seperti X90 dan S70 sambil juga menghubungi pelanggan EV yang berminat untuk membeli smart #1” kata Mooi.

“Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan boleh yakin dengan pembayaran bulanan yang konsisten, memberikan kemudahan kepada mereka yang menunggu kenderaan Proton mereka dan memudahkan pengurusan bajet yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Skim graduan tawar pembiayaan bagi lepasan universiti membeli kereta

BAGI mereka yang sudah menamatkan pengajian di peringkat kolej atau universiti, antara keperluan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan adalah memiliki kereta.

Ini akan memudahkan urusan ulang-alik mereka ke tempat kerja sekiranya tiada pilihan lain seperti pengangkutan awam.

Dan disebabkan mereka baru sahaja menamatkan pengajian, kebanyakan graduan belum mempunyai simpanan mencukupi untuk membeli kereta.

Untuk ini, terdapat skim graduan yang ditawarkan oleh beberapa bank tempatan, dan Pegawai Sokongan Jualan di Bank Islam, Nurul Hazira Azman berkongsi sedikit maklumat mengenai ini.

Apa itu skim graduan baharu?

  • Skim graduan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada graduan baharu memiliki kereta pertama.
  • Berbeza dengan pinjaman biasa, skim graduan baharu ini tidak menghendaki anda untuk mempunyai penjamin.
  • Pinjaman biasa memerlukan pemohon memiliki sekurang-kurangnya satu komitmen hutang. Misalnya kad kredit untuk bank menilai trend dan tabiat pembayaran anda. Namun, dengan skim ini pemohon tidak perlu mempunyai apa-apa komitmen.

Apakah syarat untuk memohon di bawah skim graduan baharu?

  • Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Tetapi secara umumnya, jika anda berumur 20 hingga 30 tahun dan bekerja kurang daripada setahun, anda sudah layak memohon skim graduan.
  • Anda perlu sekurang-kurangnya tamat pelajar pada peringkat diploma daripada pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diperakui. Pastikan anda sudah tamat pengajian dengan rasmi supaya fakulti atau pihak universiti boleh mengeluarkan surat tamat pengajian.
  • Tidak pernah memiliki kereta sendiri. Jika sebelum ini sudah pernah memiliki kereta sendiri, anda tidak layak untuk memohon skim graduan baharu yang ditawarkan oleh mana-mana bank.
  • Mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,800 ke atas.
  • Tidak mempunyai masalah tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sekiranya masih mempunyai tunggakan PTPTN, langsaikan segala tunggakan baru layak untuk memohon skim graduan baharu.

Apakah dokumen yang diperlukan?

  • Wajib menyediakan salinan Kad Pengenalan.
  • Wajib melampirkan salinan Lesen Memandu, sekurang-kurangnya Lesen P.
  • Wajib mempunyai transkrip mini atau surat tamat pengajian.
  • Jika sudah menerima gaji pertama, serahkan salinan slip gaji bersama dokumen wajib yang lain.
  • Jika mempunyai kad pekerja atau kad perubatan kerja, lampirkan bersama salinan kad tersebut.

Buat mereka para lepasan universiti yang ingin memiliki kereta pertama, anda boleh gunakan bantuan yang ditawarkan ini.

Tetapi jika anda mahu mencari kereta terpakai, boleh ikuti beberapa tips yang kami pernah kongsikan di sini.

Berjaya tarik minat anak muda, Proton Commerce jangka 20,000 pinjaman lulus

Proton Commerce Sdn Bhd atau Proton Commerce menyasarkan 20,000 pinjaman diluluskan tahun ini.

Ia berikutan pembuat kenderaan tempatan itu mencatatkan jualan terkumpul tertinggi pada suku pertama tahun ini sejak Mac 2012.

Setakat ini, jumlah pinjaman yang diluluskan pada suku pertama meningkat sebanyak 42.3 peratus.

Walaupun industri kewangan terjejas pada 2020 akibat Covid-19 namun, Proton Commerce berjaya meluluskan 14,189 pinjaman.

Sementara itu, Proton Commerce turut mendapati berlaku perubahan dalam demografi pelanggannya.

Tren menunjukkan terdapat pertambahan jumlah pembeli kenderaan Proton terdiri daripada orang muda.