Arkib Tag: Peugeot 408

Stellantis mulakan produksi Peugeot 408 dengan enjin Euro 6 untuk pasaran Taiwan

Stellantis meraikan satu lagi pencapaian penting dengan memulakan produksi model Peugeot 408 baharu di kilang Gurun.

Peugeot 408 itu dipasangkan enjin PureTech 1.6L turbo spesifikasi Euro 6 menghasilkan 225 hp setara dengan varian plug-in hybrid (PHEV).

Unit CKD ini turut dieksport ke pasaran Taiwan – pasaran eksport ketiga selepas Thailand (2024) dan Kemboja (2025).

Beberapa pasaran lain di rantau Asia Pasifik sedang dinilai untuk eksport model ini.

 

Kilang Stellantis terima naik taraf

Dengan pelaburan bernilai €1.5 juta (RM6.97 juta), kilang Stellantis Gurun menerima naik taraf pada bahagian pengeluaran, termasuk kerja R&D khusus untuk talaan rangkaian kuasa serta pembangunan komponen tempatan.

Pencapaian ini merupakan elemen penting dalam pelan strategik Stellantis untuk menjadikan kilang Gurun sebagai hab pembuatan serantau dengan standard kualiti bertaraf industri.

Ia dijangka mampu mencapai kapasiti penuh menjelang 2028, termasuklah eksport sehingga 280,000 unit ke 20 negara Asia Pasifik.

Selain pemasangan kenderaan enjin konvensional (ICE), kilang Gurun juga mampu memasang kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan hibrid ringan (MHEV).

Pemasangan EV CKD akan dimulakan dengan model Leapmotor C10 hasil pelaburan khusus bernilai €5 juta (RM23.19 juta).

Menurut Isaac Yeo selaku Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, “Visi kami untuk menjadikan Gurun sebagai pemacu utama rantau ini direalisasikan melalui pelaburan strategik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Perkembangan ini mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan output produksi di Malaysia sambil memperluas rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis.”

PDRM terima dua unit MPV Peugeot 408 untuk ujian penilaian

Siapa sangka, crossover sedan yang nampak garang ini sudah pun menjadi sebahagian daripada armada kereta peronda (MPV) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, usah bergembira terlalu awal, kerana dua unit Peugeot 408 yang diserahkan oleh Peugeot Malaysia ini merupakan unit yang dipinjamkan kepada PDRM untuk tujuan penilaian dalam dunia sebenar.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, unit yang dipinjamkan itu merupakan varian Allure.

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 memiliki tanda harga bermula dari RM146,055, dan dikuasakan oleh enjin Puretech 1.6 liter turbo menghasilkan 218 PS dan 300 Nm.

Buat masa ini, pihak PDRM mempunyai armada kereta peronda yang terdiri daripada sedan segmen C Honda Civic generasi FC dan juga FE.

 

 

View on Threads

 

Tiga pemilik bertuah Peugeot 408 terbang ke Paris Mac ini

Peugeot Malaysia mengumumkan tiga orang pemenang bertuah kempen Beli dan Menang yang dianjurkan bermula 9 Julai hingga 31 Oktober tahun lalu.

Dalam kempen tersebut, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan pembelian Peugeot 408 berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan ke Paris selama tiga hari dua malam dan menyertai acara berprestij Paris Fashion Week 2025.

Tiga orang pemenang yang dimaksudkan ialah Nurfhatiah Zulkarnaini dari Seremban yang membeli sebuah Peugeot 408 GT, Mohamad Faris bin Harun dari Ipoh yang membeli sebuah 408 Premium dan Muhammad Izzul Aiman bin Zahir dari Pulau Pinang yang membeli 408 Allure.

Ketiga-tiga orang pemenang ini akan terbang ke Paris bersama pasangan masing-masing dari 8 hingga 10 Mac ini.

Kesemua pemenang menzahirkan rasa keterujaan mereka dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai peluang sekali dalam seumur hidup.

Sebagai sebahagian daripada persediaan ke Paris Fashion Week 2025, kesemua pemenang dan pasangan masing-masing akan menghadiri sesi penggayaan peribadi yang akan dihoskan oleh pengasas KL Fashion Week.

VIDEO: Tutorial umpil penutup nat roda Peugeot 408

Peugeot 408 membawakan format bentuk badan yang lari daripada kebiasaan, menggandingkan praktikaliti sebuah sedan serta elemen SUV/crossover dengan jarak lega bumi yang lebih tinggi.

Rojak istimewa dari Perancis yang mungkin tidak sesuai untuk selera orang kebanyakan.

Selain daripada bentuk yang terlebih berani, Peugeot 408 juga datang dengan rim Monolithe 20 inci yang membawakan rekaan yang tidak konvensional. Agak aneh juga bila dilihat sekilas pandang.

Jika diperhatikan dengan lebih teliti, rim 20 inci ini mempunyai satu struktur plastik tunggal yang menutupi lima lubang nat roda.

Cara untuk umpil plastik penutup nat ini anda boleh tonton pada pautan video dibawah:

Beli Peugeot 408 serba baharu, menang pakej percutian 3H2M ke Paris!

Peugeot Malaysia menerusi kolaborasi bersama KL Fashion Week 2024 (KLFW 2024) melancarkan dua kempen promosi untuk para peminat dan pelanggan menikmati pemanduan model terbaharu Peugeot 408 yang mengujakan.

Bermula 9 hingga 27 Julai 2024, pelanggan Peugeot yang berkesempatan memandu uji Peugeot 408 di mana-mana pengedar sah berpeluang untuk memenangi sepasang tiket ke acara KL Fashion Week, iaitu Kit Woo Show pada 31 Julai, atau Design to Sustain Finale pada 2 Ogos.

Pelanggan Peugeot hanya perlu mengisi borang yang disediakan dalam talian selepas sesi pandu uji, dan digalakkan untuk mengikut laman Facebook dan Instagram Peugeot Malaysia untuk mengetahui keputusan kempen ini.

 

 

Tiga orang pelanggan bertuah pula berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan selama 3 Hari 2 Malam ke Paris untuk dua orang apabila mereka menempah dan membeli Peugeot 408 antara 29 Julai hingga 31 Oktober 2024.

Selain itu, pemenang bertuah ini akan dibawa ke acara pertunjukan fesyen Paris Fashion Week 2025 yang berprestij, selain berpeluang mengunjungi L’Aventure Peugeot Museum yang ikonik untuk mempelajari sejarah dan warisan automotif jenama Peugeot.

Jamie Francis Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “Reka bentuk memainkan peranan penting dalam DNA Peugeot, dan kerjasama dengan KLFW ini mewakili penjajaran sempurna dengan visi dan semangat jenama Peugeot.

“Peugeot 408 yang dilancarkan baru-baru ini, pencapaiannyamemenangi Anugerah Rekaan Red Dot pada tahun 2023 telah memainkan peranan penting sebagai ilham pertunjukan pada tahun ini.

“Kami teruja untuk mempersembahkan pengalaman eksklusif, kerana dengan Peugeot anda bukan sahaja mendapat kereta, anda turut menyelami pengalaman ‘allure‘, bahasa daya tarikan, serta peluang keseronokan dan emosi yang tidak terbatas.”

 

Peugeot 408 2024 terima lebih 300 tempahan, 10 pemilik pertama dapat unit masing-masing

Peugeot Malaysia mengumumkan model Peugeot 408 yang telah dilancarkan sebelum ini menerima sambutan yang positif, di mana lebih 300 tempahan telah diterima sejak pertengahan April lalu.

Daripada jumlah tersebut, 60 peratus terdiri daripada varian GT, diikuti 22 peratus untuk varian Premium dan 18 peratus varian Allure.

Kumpulan pertama Peugeot 408 (10 unit) telah diserahkan kepada sembilan orang pemilik di seluruh Malaysia, manakala satu lagi diserahkan kepada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Crurau yang akan digunakan sebagai kenderaan rasmi kedutaan.

 

 

Jamie Francis Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “hari ini menandatakan titik permulaan kisah Peugeot 408 bermula dengan serahan pertama kepada pelanggan.

“Maklum balas dan respons yang diterima amat positif, dan kami ingin mengekalkan momentum Peugeot 408 tersebut.

 

 

Untuk info, Peugeot 408 2024 yang dilancarkan di Malaysia merupakan unit pemasangan tempatan, dilengkapi dengan nadi 1.6 liter turbo berkuasa 218 hp dan 300 Nm dan transmisi automatik lapan kelajuan.

Ia juga merupakan model pertama yang mengguna pakai logo Peugeot serba baharu, serta menampilkan ruang kabin moden i-Cockpit yang terkini.

Harga jualan Peugeot 408 bermula dari RM146,055 untuk varian Allure, RM166,055 untuk Premium dan RM196,055 untuk varian GT, di mana setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar sehingga tempoh tujuh tahun atau perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu).

 

Peugeot 408 rasmi, tiga varian, enjin 1.6T, dari RM146k

Peugeot 408 rasmi, tiga varian, enjin 1.6T, dari RM146k

Peugeot Malaysia di bawah naungan Stellantis baru sahaja melancarkan model terbaharu Peugeot 408 2024 untuk pasaran tempatan.

Tidak seperti model 408 yang terdahulu, Peugeot 408 generasi baharu ini membawakan bentuk badan sedan fastback yang digandingkan dengan elemen crossover.

Berikut merupakan fakta ringkas Peugeot 408 2024:

 

Model pemasangan tempatan

Peugeot 408 generasi baharu ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang datang dari kilang Stellantis Gurun, Kedah.

Berstatus CKD, ia membolehkan Stellantis Malaysia menjual 408 ini dengan harga yang lebih kompetitif, bermula dari RM146,055 untuk versi Allure, RM166,055 (Premium) hingga RM196,055 untuk varian GT.

 

Enjin 1.6 liter turbo

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan di Malaysia termasuklah varian bertaraf mercu GT.

Kesemua varian dilengkapi dengan enjin PureTech 1.6 liter turbo berkuasa 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat.

 

Dimensi lebih besar berbanding Civic

Peugeot 408 dibina berdasarkan platform EMP2, berkongsi pelantar dengan model SUV 308 dan Citroen C5 X.

Diposisikan dalam segmen C, Peugeot 408 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm, tinggi 1,487 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,787 mm.

Tidak ketinggalan, jarak kelegaan tanah adalah setinggi 189 mm.

Kapasiti ruang kargo adalah sebesar 536 liter, boleh dibesarkan sehingga 1,538 liter untuk varian GT, atau sehingga 1,611 liter untuk varian Allure dan Premium.

Ini bermakna, Peugeot 408 memiliki dimensi yang lebih besar berbanding sebuah lagi sedan dalam segmen C Honda Civic FE (ukuran 4,678 mm x 1,802 mm x 1,415 mm, WB 2,735 mm, jarak lega bumi 126 mm).

 

Kelengkapan standard

Kesemua varian dilengkapi dengan ciri standard termasuklah unit pencahayaan LED, penyeka kaca automatik, serta rim aloi bersaiz 18  inci dalam kemasan Granite Grey.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan kemasan upholsteri comfort vynil, skrin kluster digital 10 inci, skrin infohibur 10 inci serta sistem audio enam pembesar suara.

Varian Premium pula mendapat tambahan ciri berikut:
-rim aloi 18 inci kemasan Granite Black
-upholsteri kulit hitam
-tempat duduk pemandu larasan elektrik

Sementara varian GT pula dilengkapi dengan ciri berikut:
-rim aloi 20 inci kemasan Monolithe Black
-lampu matriks LED dengan fungsi suluhan tinggi automatik
-upholsteri kulit Dynamic Black Nappa
-tempat duduk dengan piawaian AGR, fungsi memori dan urut
-skrin kluster instrumen 10 inci 3D Quartz Display
-skrin infohibur 10 inci dengan panel sentuh kustom
-sistem audio Focal
-sistem kamera 360 darjah

 

Ciri keselamatan

Peugeot 408 mendapat kelengkapan keselamatan seperti enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), sistem pengesan papan tanda trafik, kawalan jelajah, brek kecemasan automatik, bantuan suluhan tinggi, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga Active Hood untuk perlindungan pejalan kaki.

Sementara varian yang lebih tinggi pula (Premium & GT) mendapat tambahan ciri kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi termaju, amaran pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik belakang, dan sistem pemantauan titik buta.

 

Peugeot 408 2024 (Malaysia)