Arkib Tag: perodua myvi

Perodua Bezza kini Raja Jalanan, Myvi turun takhta

Gelaran Raja Jalanan selama ini dipegang oleh Perodua Myvi berpuluh tahun lamanya sejak ia dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2005.

Namun, keadaan itu kini berubah apabila Myvi kini tidak lagi diiktiraf sebagai Raja Jalanan.

Sebaliknya, gelaran tersebut dipegang oleh sebuah lagi model Perodua yang paling laris, iaitu Perodua Bezza!

Data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 56,735 unit Bezza telah didaftarkan pada tahun 2023, mengatasi jumlah Myvi yang didaftarkan untuk tahun yang sama (45,014 unit).

Populariti Bezza banyak disumbangkan oleh aspek praktikaliti sedan segmen A itu sendiri yang mampu memuatkan bagasi sehingga 508 liter, serta penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding Myvi.

Selain itu, faktor harga juga turut memainkan peranan penting, di mana Bezza boleh didapati pada harga serendah RM35,580 berbanding Myvi yang bermula dari RM46,500.

 

 

Namun begitu, Myvi masih lagi mengungguli carta Google Trends sebagai model yang paling tinggi dicari dengan nilai minat carian purata 82, berbanding Perodua Bezza (nilai purata 38).

Perodua Myvi merupakan bahan carian utama di beberapa buah bandar dan pekan di pantai timur seperti Cukai (Terengganu), Ketereh (Kelantan), Pasir Mas (Kelantan), Balok (Pahang), dan juga Marang (Terengganu).

Sementara Perodua Bezza pula merupakan bahan carian utama bagi bandar dan pekan di Sabah dan Sarawak, seperti Sri Aman (Sarawak), Beluran (Sabah), Bintulu (Sarawak), Kudat (Sabah) dan Sandakan (Sabah).

 

Pelakon sambilan ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak

POLIS telah menahan seorang selebriti susulan tular rakaman video Perodua Myvi dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang pada 27 Disember lalu.

Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan Myvi yang dipandu suspek itu menukar lorong secara melulu berkali-kali sebelum merempuh bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.

Pelanggaran itu menyebabkan penumpang hadapan Myvi yang dipercayai kekasih pelakon sambilan itu tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan ringan. Mangsa dilaporkan berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek yang juga seorang peniaga telah ditahan untuk siasatan lanjut.