Arkib Tag: pembiayaan

Public Bank dan smart bekerjasama untuk kemudahan pembiayaan digital

PUBLIC Bank menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) baru-baru ini bagi kemudahan pembiayaan produk dan perkhidmatan kewangan lengkap dengan smart Malaysia serta penjual sahnya.

Kerjasama ini akan membolehkan Public Bank memudahkan permohonan pembiayaan akhir sewa beli secara dalam talian dengan aplikasi pelanggan smart dan wakil pengedarnya.

Perjanjian strategik ini dijangka akan meningkatkan jualan EV inovatif baharu syarikat tersebut. Tawaran permulaan untuk pasaran Malaysia ialah smart #1, sebuah EV premium kompak dengan saiz segmen-B, seperti Honda HR-V dan Mercedes GLA.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

EV ini juga mendapat rim Rotor 19-inci, bumbung panoramik halo yang terbesar dalam segmennya, dan lencana menyala di sisi tiang-C.

Di kabin, terdapat skrin besar 12.8-inci di tengah untuk infotainmen dan fungsi hiburan, manakala skrin 9.2-inci untuk paparan instrumen digital.

Teknologi merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan sistem audio dari Beats.

smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.

“Public Bank telah memperuntukkan lebih daripada RM30 bilion dalam pembiayaan NEV domestik pada akhir tahun 2022, yang mewakili kira-kira 52 peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan sewa beli,” kata Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank.

“Untuk membuktikan komitmen kami, sasaran pemberian pinjaman untuk NEV kini ditingkatkan kepada RM33 bilion menjelang 2025.”

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah pula berkata, “Melalui kerjasama dengan Public Bank, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan proses pembelian, menyediakan kemudahan dan membentuk semula pengalaman digital pelanggan.

“Sebagai jenama EV pertama yang bekerjasama dengan Public Bank, smart merupakan perintis terawal dalam transformasi persekitaran digital industri perbankan,” katanya.

Perodua, Public Bank jalin kerjasama tawar pembiayaan kepada pengedar

Public Bank Berhad dan Perodua Sales Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pengedar sah Perodua.

Kerjasama dengan Perodua ini akan membolehkan Public Bank mengantaramuka dan memudahkan digitalisasi melalui penghantaran permohonan pembiayaan sewa beli secara dalam talian kepada pihak bank, termasuk memuat naik dokumen permohonan asas dan menyemak status permohonan.

“Perodua juga merupakan pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang pertama di Malaysia. Di pihak kami, menyokong pertumbuhan industri EEV merupakan tunggak penting bagi agenda Bank dalam menangani perubahan iklim, yang mana Public Bank memperuntukkan lebih RM30 bilion untuk pembiayaan EEV tempatan pada akhir tahun 2022.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong pertumbuhan industri EEV, Public Bank menaikkan sasaran pembiayaan EEV daripada RM25 bilion kepada RM33 bilion menjelang tahun 2025,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek.

Tambah beliau lagi, “Public Bank dan Perodua mempunyai potensi untuk bersinergi dengan baik dan terus bekerjasama, bukan sahaja dalam mengembangkan perniagaan masing-masing tetapi juga untuk menyumbang secara positif kepada inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) demi kesejahteraan masyarakat dan dunia.”

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, urus janji tiga penjuru ini memenuhi keperluan aktiviti semasa dan masa hadapan Perodua.

“Saya harap kerjasama ini akan membawa kedua-dua organisasi ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.