Arkib Tag: Pekan

Kilang Mercedes di Pekan keluarkan kenderaan ke-100,000 hari ini

HARI ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) meraikan satu lagi kejayaan bermakna khasnya bagi pihak di kilang pengeluaran di Pekan, kerana fasiliti CKD itu merasmikan kenderaan penumpang ke-100,000.

Sebanyak lebih RM500 juta telah dilaburkan oleh syarikat itu di kilang tersebut, dan ini menandakan komitmen mereka ke arah kecemerlangan pembuatan, menaikkan sektor automotif negara ini, selain memperkukuhkan pengeluaran mereka secara CKD.

Kenderaan ke-100,000 itu merupakan Mercedes-Benz EQS500 4Matic+ yang merupakan model elektrik sepenuhnya (EV) dari rangkaian EQ Mercedes. Malah, ia juga model EV Mercedes yang pertama menjalani pemasangan CKD di sini, ia dilancarkan pada Februari lepas.

Mercedes EQS500 menjana 300kW (443hp) dan 855Nm tork dari dua motor, dengan pacuan semua-roda. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.8saat sahaja

Sedan EV ini mendapat kuasanya dari bateri lithium-ion berkapasiti 107.8kWh, dan ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 696km. Ia dijual pada harga bermula RM648,888.

“Sejak operasinya pada 2004, Mercedes-Benz Production Plant di Pekan telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap automotif Malaysia. Pencapaian ini menandakan evolusi dan perjalanan mengagumkan kilang ini, mengukuhkan komitmen kami dalam memperkukuhkan pegangan dalam segmen kenderaah mewah,” kata Amanda Zhang, Presiden dan CEO MBM dan Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars SEA II.

Sementara itu, Naib Presiden Pengeluaran di Mercedes-Benz Cars Malaysia, Andreas Lettner berkata: “Dalam pelarasan visi lestari kami, kami komited mengurangkan pelepasan karbon dengan meminimakan penggunaan air dan tenaga selain menguruskan bahan buangan dengan cekap.”

“Bersama rakan kongsi kami, HICOM Automotive, kami telah menjalankan pelbagai naik taraf di kilang ini.”

Mercedes-Benz bersama HICOM Automotive sedang bekerjasama ke arah Green Production Target bagi memastikan teknik terbaik dijalankan dalam mengurangkan penggunaan tenaga, air, dan bahan buangan, di samping menaikkan peratusan tenaga boleh-diperbaharui dalam operasinya.

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

Kenderaan bawa vaksin rempuh babi, petugas kesihatan disahkan selamat

DUA petugas kesihatan berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terlanggar seekor babi ketika membawa bekalan vaksin Covid-19.

Insiden berlaku 21 Julai lalu di Kilometer 10 Jalan Pekan-Batu Balik dekat Pahang, Pahang.

Memetik laporan berita, kenderaan pacuan empat roda dinaiki petugas terbabit dalam perjalanan menghantar vaksin ke Klinik Kesihatan Chini.

Bagaimanapun, seekor babi secara tiba-tiba muncul di tengah jalan sebelum dirempuh kenderaan itu.

“Pacuan empat roda berkenaan diiringi kenderaan Unit Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Sebaik tiba di lokasi, seekor babi hutan melintas menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.

“Pemandu kenderaan berusia 46 tahun dan ahli farmasi berusia 39 tahun yang berada dalam kenderaan itu tidak mengalami kecederaan,” kata Ketua Polis Daerah Pekan Supt. Mohd Zaidi Mat Zin.

Terdahulu, insiden kemalangan berjaya dirakam kamera dipasang dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki petugas kesihatan terbabit.

Ia kemudian tular di media sosial selain mendapat simpati kebanyakan warga maya.

Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan kesemua vaksin dibawa petugas berkenaan berada dalam keadaan selamat dan telah tiba ke lokasi dituju.