Arkib Tag: pasaran

Kereta baharu masih barang mewah mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia – Kenanga Research

KENANGA Research berpendapat bahawa kereta baharu masih dianggap barang mewah yang mampu untuk dimiliki bagi kebanyakan isi rumah di Malaysia walaupun kadar inflasi tinggi dan ekonomi global perlahan.

“Kami kini melihat peluang lebih besar dalam segmen mampu milik kerana ia akan kurang terjejas oleh subsidi bahan api bersasar, yang mungkin menjejas permintaan untuk kenderaan pasaran pertengahan kerana ia akan menghakis perbelanjaan kumpulan M40,” kata firma itu dalam nota penyelidikan.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor automotif dan unjuran jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit, yang akan mencapai paras yang direkod pada 2022 dan memperkenalkan TIV 2024 sebanyak 712,000 unit.

Menurut firma itu, kelihatan pendapatan industri kukuh, disokong tempahan tertunggak sebanyak 235,000 unit.

Kenanga Research memetik MBM Resources Bhd sebagai pilihan utamanya bagi sektor ini dengan saranan ‘outperform’ dan hargan sasaran (TP) RM4.70 sesaham memandangkan kumpulan itu memberi tumpuan kepada segmen mampu milik dan menawarkan hasil dividen yang menarik kira-kira 12 peratus.

Dalam ruang jenama bukan nasional, firma itu berpendapat pembuat kereta beralih daripada segmen margin rendah yang sangat kompetitif seperti SUV tujuh tempat duduk dan memberi tumpuan kepada produk premium yang akan menarik kumpulan berpendapatan sederhana seperti yang ditawarkan oleh Bermaz Auto Bhd.

Honda misalnya, menggantikan varian tujuh tempat duduk Honda BR-V dengan WR-V (SUV kompak lima tempat duduk), memperoleh 7,300 unit tempahan dan 3,300 unit dihantar hanya dalam masa beberapa bulan selepas dilancarkan.

Kenanga Research turut berkata bahawa pembeli kereta diberikan pelbagai pilihan menarik dengan pelancaran baharu termasuk Perodua D66B (1QCY24, segmen B), Toyota Innova Zenix (3QCY23), Mazda CX-30 CKD, Peugeot Landtrek, Honda WR-V, Honda CR-V, Toyota Vios, Toyota GR86, Toyota GR Corolla dan Nissan Serena.

Di samping itu, Kenanga Research berkata jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jalan dan perkhidmatan (SST) serta insentif kemudahan kenderaan elektrik lain sehingga 2025 bagi unit import sepenuhnya (CBU) dan 2027 untuk pemasangan tempatan (CKD).

Perodua sasar pengeluaran 265,900 kenderaan untuk 2022, tingkat pegangan pasaran kepada 40.6 peratus

PERODUA menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan dihasilkan pada 2021.

Pengeluar yang berpangkalan di Rawang itu menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6 peratus tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000.

Sebagai perbandingan, pegangan pasaran pada 2021 adalah 37.4 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata ramalan 610,000 TIV adalah unjuran dalaman Perodua kerana syarikat tersebut percaya pasaran mampu melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

Beliau berkata Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak akan berlaku lagi.

“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5 peratus iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021,” kata beliau.

Mengulas mengenai prestasi 2021, Zainal berkata tahun ini amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

Bagi 2021, Perodua menjual 190,291 kenderaan, iaitu 13.6 peratus kurang berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020.

Bencana banjir

Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Merujuk kepada banjir yang berlaku pada Disember dan awal Januari tahun ini, Perodua telah menerima hampir 2,103 kes banjir di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 366 kenderaan telah dibaiki dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Kemasukan kenderaan Perodua ke pusat servisnya adalah sebagai tindakan kepada Program Bantuan Banjir Perodua yang ditawarkan syarikat itu yang terdiri daripada diskaun 50 peratus untuk alat ganti standard, kos buruh percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma 24 jam melalui nombor hotline Perodua 1800-88-5555.