Arkib Tag: P7

Nombor plat P7 bernilai RM70 juta milik pengasas Telegram

BARU-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membeli nombor plat FF1 pada harga RM1.2 juta, menjadikannya nombor pendaftaran kenderaan termahal di Malaysia setakat ini.

RM1.2 juta sememangnya satu jumlah yang sangat besar, namun ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan 55 juta dirham (kira-kira USD15 juta atau RM70 juta) yang dibelanjakan oleh pengasas aplikasi Telegram, Pavel Valeryevich Durov untuk membeli nombor plat P7.

Durov, yang berketurunan Perancis-UAE, mendapat nombor tersebut menerusi acara lelongan ‘The Most Noble Numbers’ yang diadakan di Dubai, UAE. Menurut laporan, hasil bidaan itu akan disalurkan kepada inisiatif bantuan makanan global bergelar ‘1 Billion Meals Endowment’ milik pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid.

Apa yang menarik, bidaan Durov mengatasi rekod dunia Guinness untuk nombor pendaftaran kereta paling mahal sebelum ini iaitu nombor “1” yang berharga 52.2 juta dirham (RM66 juta). Nombor itu dibeli oleh Saeed Abdul Ghaffar Khouri pada 2008.

Ini secara tidak langsung menjadikan P7 sebagai nombor pendaftaran kenderaan termahal di dunia. Agaknya nombor itu akan diletakkan di kereta apa ya?

Seperti yang kita tahu, nombor pendaftaran satu digit ini memang menjadi rebutan orang kaya. Di Australia, nombor plat “4” dijual pada harga USD1.6 juta (RM7.5 juta) pada 2017. Awal tahun ini pula, seorang individu dari Hong Kong membayar USD3.2 juta (RM15 juta) untuk nombor plat “R”.

Sugar Design dedah lukisan render Xpeng P7 dalam bentuk shooting brake

Suatu ketika dahulu, kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar dari China lazimnya mempunyai reka bentuk yang hodoh. Namun, zaman sudah berubah dan hari ini kita boleh lihat yang model-model dari negara itu setanding dengan jenama Jepun dan Eropah.

Xpeng P7

Contoh terbaik adalah P7, sebuah kenderaan elektrik yang mampu bergerak sejauh lebih 700 km dengan satu cas penuh. Dengan sekali pandang anda mungkin menyangka yang datang dari Eropah namun percaya atau tidak, ia merupakan produk sebuah syarikat yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Xpeng Motors.

Diperkenalkan secara rasmi pada April 2020, Xpeng P7 buat masa ini hanya boleh didapati dalam versi sedan. Ini secara tidak langsung mendorong Sugar Design untuk membuat lukisan render bagi versi ‘shooting brake’ dan seperti yang boleh dilihat, hasilnya begitu memukau.

Bahagian depan EV itu tidak disentuh namun rekaan bahagian belakangnya dirombak semula bagi mendapatkan bentuk shooting brake. Pertama sekali, bumbungnya telah dipanjangkan dan ini menghasilkan tingkap belakang yang lebih besar dan tiang C yang lebih tegak.

Bukan itu sahaja, Sugar Design turut memberikan suntikan sporty ke dalam rekaannya menerusi rel bumbung dan spoiler kecil. Pereka digital itu mengekalkan rekaan bahagian belakang yang menempatkan bar lampu LED dan bampar berwarna hitam.

Dari segi spesifikasi teknikal, P7 ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 70.8 kWh dan 80.9 kWh. Versi bateri yang lebih kecil itu menawarkan jarak pemanduan sejauh 568 km mengikut kitaran NEDC, manakala dengan bateri yang lebih besar, ia boleh dipandu sejauh 706 km.

Setakat ini, Xpeng Motors tidak memberikan sebarang petanda yang ia berminat untuk menawarkan P7 dalam bentuk shooting brake namun jika ini menjadi kenyataan, Porsche Taycan Sport Turismo bakal mempunyai lawan yang sebenar.