fbpx

Sugar Design dedah lukisan render Xpeng P7 dalam bentuk shooting brake

Xpeng P7 shooting brake 02
Sumber gambar: Instagram/sugardesign_1

Suatu ketika dahulu, kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar dari China lazimnya mempunyai reka bentuk yang hodoh. Namun, zaman sudah berubah dan hari ini kita boleh lihat yang model-model dari negara itu setanding dengan jenama Jepun dan Eropah.

Xpeng P7

Contoh terbaik adalah P7, sebuah kenderaan elektrik yang mampu bergerak sejauh lebih 700 km dengan satu cas penuh. Dengan sekali pandang anda mungkin menyangka yang datang dari Eropah namun percaya atau tidak, ia merupakan produk sebuah syarikat yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Xpeng Motors.

Diperkenalkan secara rasmi pada April 2020, Xpeng P7 buat masa ini hanya boleh didapati dalam versi sedan. Ini secara tidak langsung mendorong Sugar Design untuk membuat lukisan render bagi versi ‘shooting brake’ dan seperti yang boleh dilihat, hasilnya begitu memukau.

Bahagian depan EV itu tidak disentuh namun rekaan bahagian belakangnya dirombak semula bagi mendapatkan bentuk shooting brake. Pertama sekali, bumbungnya telah dipanjangkan dan ini menghasilkan tingkap belakang yang lebih besar dan tiang C yang lebih tegak.

Bukan itu sahaja, Sugar Design turut memberikan suntikan sporty ke dalam rekaannya menerusi rel bumbung dan spoiler kecil. Pereka digital itu mengekalkan rekaan bahagian belakang yang menempatkan bar lampu LED dan bampar berwarna hitam.

Dari segi spesifikasi teknikal, P7 ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 70.8 kWh dan 80.9 kWh. Versi bateri yang lebih kecil itu menawarkan jarak pemanduan sejauh 568 km mengikut kitaran NEDC, manakala dengan bateri yang lebih besar, ia boleh dipandu sejauh 706 km.

Setakat ini, Xpeng Motors tidak memberikan sebarang petanda yang ia berminat untuk menawarkan P7 dalam bentuk shooting brake namun jika ini menjadi kenyataan, Porsche Taycan Sport Turismo bakal mempunyai lawan yang sebenar.

 

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved