Arkib Tag: naked bike

QJMotor SRK600 tiba di Malaysia – Pilihan dua warna, RM35,888

QJMOTOR SRK600 secara rasminya telah dilancarkan untuk pasaran tempatan dengan harga rasmi bermula RM35,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Jentera 600cc ini diedarkan melalui syarikat automotif nasional, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pegedar ekslusif jenama QJMotor di Malaysia dan hadir dengan dua warna pilihan; Flaming Red dan Pearl White.

QJMotor SRK600 memiliki enjin 4-silinder sebaris, 16-injap dengan teknologi DOHC yang mampu menghasilkan 80.5hp pada 11,000rpm dan 55Nm tork pada 8,000rpm.

Dengan enjin 4-silinder sebaris juga, ia menawarkan keseimbangan antara kecekapan bahan api dan kuasa. Selain itu, ia menjadikan QJMotor SRK 600 lebih seimbang dengan pengagihan berat yang sama.

Brek hadapan dan belakang motosikal ini dilengkapi kaliper Brembo dengan ABS dwi-saluran. Bagi suspensi pula, bahagian hadapan menggunakan teleskopik terbalik Marzocchi manakala belakang menggunakan lengan hayun Kayaba (KYB).

Asas QJMotor SRK600 diperbuat dari rangka jenis trellis yang jauh lebih ringan dan membantu untuk meningkatkan prestasi motosikal.

Motosikal ini juga didatangkan dengan sistem keyless dimana enjin hanya dapat dihidupkan apabila kunci berada dalam lingkungan tiga meter sahaja.

Skrin TFT bersaiz 5-inci menampilkan tiga mod iaitu siang, malam atau auto untuk melaraskan tahap kecerahannya.

Ciri lain pada SRK600 adalah lampu LED penuh dan tangki bahan api berkapasiti 15-liter.

QJMotor SRK600 boleh di dapati di mana-mana pengedar sah MForce di seluruh Malaysia pada pertengahan bulan Jun.

Dengan setiap pembelian QJMotor SRK600, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

Tunggang uji: Modenas NS200 sebuah naked bike dengan nilai terbaik?

MODENAS Pulsar NS200 bukanlah motosikal baharu dalam pasaran, tetapi ia telah menerima facelift untuk 2021.

Dan baru-baru ini Engear dijemput untuk mengujinya di litar. Walaupun sesi tunggang uji itu agak singkat, namun kami dapat belajar banyak mengenai naked bike ini dan memperoleh beberapa input penting.

Pulsar NS200 2021 dijual pada harga RM9,655 dan mendapat tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey.

Dengan lebih 8,000 unit terjual, ia antara yang paling popular dalam segmennya. Memang berbaloi sangatkah Pulsar NS200 ini pada harga bawah RM10k?

Semasa tunggang uji di litar, Mr Rocket mulanya tidak berapa gemar idea naked bike di litar. Tambahan pula litar di HB Karting di Batu 3, Shah Alam agak kecil, kurang sesuai dengan naked bike yang mempunyai bar hendal lebar.

Namun selepas memecut keluar selekoh, Mr Rocket mula seronok, “Ada pickup,” katanya.

Tork pada rpm rendah tidaklah begitu kuat, tapi jika ditukar tayar kepada yang lebih agresif, mungkin akan lebih seronok ditunggang.

Tetapi pada masa yang sama, Mr Rocket kata walaupun gearnya agak sporti dengan nisbah pendek, tayar belakang masih bertahan dan tiada tanda-tanda slip atau tergelincir semasa memecut dan menukar gear.

Oh ya, paling penting pada NS200 sekarang ialah ia dilengkapi ABS, jadi pasti memberikan kita lebih keyakinan untuk menunggang dan ‘push’ ke had dinamiknya.

Dari segi spesifikasi, Modenas Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 199.5cc SOHC dengan teknologi Triple Spark yang mempunyai tiga palam pencucuh.

Ia menjana 24hp dan 18.6Nm tork, serta dipadankan bersama kotak gear 5-kelajuan.

Untuk mengetahui ulasan penuh Mr Rocket, jemput tonton video di bawah:

Enjin MT-09 2021 patuhi standard Euro 5, harga bermula RM54,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi mengumumkan harga bagi model MT-09 2021.

Motosikal ‘naked’ ini dijual pada harga sekitar RM54,998 tidak termasuk insurans.

Setakat ini, Yamaha hanya menawarkan dua warna bagi model tersebut iaitu Icon Blue dan Storm Fluo.

Foto ihsan Yamaha

Terdapat beberapa pembaharuan pada model MT-09 yang melibatkan bahagian lampu hadapan selain penggunaan kerangka aluminium bagi memberi tunggangan lebih stabil dan dinamik.

Selain itu, ia juga dilengkapi panel paparan TFT berwarna 3.5 inci yang turut menyediakan informasi kedudukan gear jentera.

Foto ihsan Yamaha

Bagaimana pula dengan enjin? MT-09 menggunakan enjin sama dengan model Tracer 9 2021.

Ia didatangkan dengan unit tiga silinder 890 cc dengan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

Demi menjaga alam sekitar, enjin ini turut mematuhi tahap emisi Euro 5!

Berikut antara ciri lain terdapat pada MT-09 2021:

Memilik klac jenis A&S

Sistem gear quickshifter

Sistem Traction Control

Slide Control System (SCS)

Front Wheel Lift Control System (LIF)

Brake Control System (BC)

Foto ihsan Yamaha

Yamaha masih menggunakan fork 41 mm serta monoshock boleh dilaras. Namun, ia telah ditala semula agar sesuai dengan casis serta lengan ayun baharu.

Brek pula menggunakan pam utama radial bagi menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm.

Pada bahagian brek belakang, ia menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

Demikian antara maklumat yang boleh kami kongsi kepada anda setakat ini.

Jika berminat, tunggu apa lagi? Segera ke pengedar sah Yamaha berdekatan anda sekarang!

Aprilia Tuono 660 janji kepuasan fun ride

SEGMEN naked sport bike pasaran tempatan terus ‘meriah’ dengan kehadiran model terbaharu, Aprilia Tuono 660.

Muncul kali pertama di laman web pengeluar motosikal asal Itali itu semalam, Tuono 660 dijangka bakal menjadi pesaing hebat bagi segmen setarafnya di negara ini.

Memetik siaran media pengedar tunggal Aprilia di Malaysia Didi Resources Sdn Bhd, Tuono 660 didatangkan dengan berat lebih ringan.

Pada masa sama, Tuono juga memiliki ‘kuasa’ luar biasa!

Ini terbukti yang mana motosikal ini hanya mempunyai berat 183 kilogram dengan kuasa 95 CV.

Ia sekaligus ‘mesra’ kepada individu yang baru berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Tuono 660 menawarkan struktur luar biasa yang mana bingkai dan bahagian swingarm diperbuat daripada aluminium die-cast.

Selain itu, Tuono 660 dilengkapi sistem elektronik lebih canggih seperti kawalan anti roda, kawalan pelayaran, enjin brek dan pemilihan peta enjin.

Terdapat lima mod tunggangan terbahagi kepada jalan raya dan litar. Maka, para penunggang hanya perlu memilih mod pilihan paling sesuai ketika menunggang.

Harga bagi sebuah Tuono 660 bermula pada RM77,900.