Arkib Tag: mustang mach-e

Ford Mustang Mach-E kini dengan versi rally pula, spoiler seperti Focus RS

ANDA bayangkan jika nama Mustang menjadi SUV elektrik tidak cukup gila, kini ia ditukar menjadi jentera rally pula. Amacam? Perkenalkan Ford Mustang Mach-E Rally.

Ia hadir dengan gaya yang sepadan dengan namanya, seperti stripe badan, spoiler belakang mirip Focus RS, badan yang lebih kembang, splitter depan, bumbung hitam, dan panel depan yang menempatkan lampu kabus rally.

Sistem suspensi juga ditala khas untuk Mach-E Rally, ia 20mm lebih tinggi dari varian GT. Suspensi ini terdiri dari penyerap hentak MagneRide, bersama brek depan 385mm dengan kaliper Brembo. Rim adalah 19-inci dengan tayar bersaiz 235/55.

Ford bukanlah suatu nama yang asing dalam dunia rally. Prototaip model ini telah diuji dan ‘dilenjan’ oleh para jurutera dan juruteknik sejauh 800km di litar rally khas di fasiliti Michigan Proving Ground mereka. Cukup serius?

Terdapat mod pemanduan RallySport yang membolehkan anda menggelungsur ala pemandu profesional, dengan respon pendikit minyak yang lebih tepat dan linear. Pengendalian juga ditambah baik dengan suspensi yang lebih agresif, dan lihat sahaja tayar Michelin CrossClimate2 padanya.

Baik, untuk kuasa, ia dibekalkan dengan setup dwi-motor yang memberikan output 480hp dan 880Nm tork oleh bateri 91kWh. Tetapi jarak pemanduan tidak didedahkan buat masa ini.

Ford Mustang Mach-E Rally boleh didapat dengan warna Grabber Blue, Shadow Black, Eruption Green, dan Grabber Yellow. Sementara itu warna Star White dan Glacier Gray merupakan pilihan dengan kos tambahan.

Ford akan mula menerima tempahan jentera rally elektrik ini awal tahun depan, dan penghantara menyusul tidak lama selepas itu. Menarik?

Setia dengan Ford selama 90 tahun, atuk ini dapat pandu Mustang Mach-E

ADALAH menjadi perkara yang menarik untuk melihat mereka yang lahir pada 1920-an atau berusia lebih 100 tahun masih sihat untuk memandu.

Sama seperti Harold Baggott yang lahir pada 1920, dia masih rajin memandu setiap hari. Ya, seorang atuk yang berumur 101 tahun.

Baru-baru ini, Baggott dapat cuba memandu Mustang Mach-E baharu dari Ford. Mengapa? Ini kerana beliau telah setia dengan jenama itu selama 90 tahun. Baggott mula memandu pada usia 10 tahun menggunakan Ford Model T milik keluarganya, dia hanya memperoleh lesen pada 1936, iaitu enam tahun kemudian.Boleh dikatakan Baggott seorang peminat Ford.

Kereta pertamanya ialah Ford 8 Popular yang dibeli pada 1937 dengan harga £100 (RM576). Tahun berikutnya, dia membeli pula sebuah Ford Anglia. Keluarga Baggott telah memiliki 20 buah Ford dan beberapa kenderaan komersil jenama sama untuk menjalankan perniagaan bas dan pelancongan mereka. Malah hingga hari ini Baggott masih berminat dalam industri automotif.

“Sejak berumur 10 tahun, saya berminat dalam permotoran dan hari ini, saya turut berminat dengan langkah kerajaan yang beralih dari enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik,” kata Baggott.

“Saya sangat menghargai sejarah pemanduan dengan Model T ini dan teruja melihat apa yang cucu-cicit saya akan pandu di masa akan datang.”

Ford UK baru-baru ini memberi peluang Baggott memandu Model T 1915 yang telah direstorasi sepenuhnya sebelum membenarkan beliau memandu Mustang Mach-E bersama keluarganya.