Arkib Tag: motor show

IAM Kuala Lumpur, MIME, dan COTY 2024 bergabung untuk bawa pengalaman autoshow unik

INTERNATIONAL Automodified (IAM) dan Malaysia International Motor Expo (MIME) dilancarkan semalam, dan bakal diadakan pada 8-9 Jun depan di Kuala Lumpur Convention Centre.

Acara itu juga akan menyambut ulang tahun ke-20 bagi Malaysian Car of the Year Awards (COTY) yang mengiktiraf kenderaan terbaik 2024.

Gabungan ketiga-tiga acara ini bakal membawakan pengalaman autoshow unik bagi anda peminat kereta di Malaysia.

IAM

Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pembukaan IAM yang dijadualkan mempunyai enam lokasi antarabangsa tahun ini.

Kemudian, IAM akan beralih ke Surabaya, Indonesia pada Julai, sebelum ke California, Amerika Syarikat, kemudian ke Singapura, Jakarta, dan Bangkok.

IAM yang dikatakan sebagai acara modifikasi dan gaya hidup terbesar di Asia Tenggara telah ke 38 bandaraya di Indonesia sejak 2001. Ia telah menarik ribuan peminat kereta dengan hampir 100 anugerah disampaikan untuk pelbagai kategori kenderaan.

Tahun lepas, IAM mencatatkan 70,000 pengunjung semasa diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

MIME

MIME pula merupakan acara yang mengetengahkan barangan OEM (original equipment manufacturers) terkini dalam industri automotif.

Acara ini juga akan menghimpunkan kenderaan terbaharu termasuk kereta elektrik (EV), dan seksyen khas untuk pemenang-pemenang Car of the Year 2023.

“Apa yang membezakan MIME dari motor show lain ialah acara kami dikhaskan lebih untuk bakal pembeli dan pemilik kenderaan,” kata Pengasas MIME, Yamin Vong.

“Ia bukan sekadar pameran kereta baharu dalam pasaran, tetapi membawakan pengunjung suatu lokasi untuk mereka membuat pembelian di samping mendapat pengetahuan tepat dari pelbagai pilihan.

“Ini akan termasuk juga kenderaan dari pengedar rasmi serta pengimport bebas yang menawarkan model-model unik yang tidak terdapat di bilik pameran,” tambahnya.

COTY 2024

2024 akan menandakan ulangtahun ke-20 bagi COTY yang mengiktiraf kereta-kereta baharu terbaik bagi segmen masing-masing.

Satu kategori baharu ialah berkenaan EV, iaitu bangunan, hartanah, atau pemaju yang mesra EV.

Panel juri COTY adalah terdiri dari wartawan permotoran berpengalaman serta golongan profesional. Mereka menilai model-model berdasarkan pelbagai kriteria seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang.

COTY 2024 akan menampilkan anugerah People’s Choice, yang akan ditentukan melalui undian secara online.

Tiket bagi acara ini kini dijual pada harga RM22 di sini: https://www.ticket2u.com.my/event/34477?r=r124.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.internationalautomodified.com dan www.malaysiamotorexpo.com.

Velocity Motor Show 2022 janji pameran dan aksi untuk peminat permotoran

VELOCITY Motor Show (VMS) telah berlangsung baru-baru ini di Stadium Bukit Jalil iaitu pada Sabtu dan Ahad (5 dan 6 Mac 2022).

Antara intisari utama VMS adalah MDCC Drift Challenge, himpunan terbesar kereta dengan suspensi udara, dan himpunan motosikal Harley-Davidson yang dijangka akan tercatat dalam Malaysian Book of Records.

Syukur kerana ia dapat diadakan semula dan menurut penganjur, VMS edisi kelima 2023 akan diadakan di lokasi yang sama.

Selain itu, terdapat juga pameran kereta, motosikal, kenderaan 4×4 dan jentera-jentera pelik.

Paling menarik bagi penulis ialah ruang pameran oleh No Equal dimana mereka menghimpunkan pelbagai kereta sports ikonik JDM, Eropah dan buatan Malaysia sendiri.

Antara kereta yang dipamerkan di ruangan ini adalah Nissan GT-R R34, Nissan Skyline R34, Honda Integra Type-R (DC2 dan DC5), Honda S2000, Honda NSX, Toyota Supra, Mitsubishi Lancer Evo, Mazda RX-7, Renault Megane RS, Renault Megane R26 Edition, Suzuki Swift Sport ZC33.

Terdapat juga Porsche 911 (996) yang kelihatan seperti jentera lumba GT3 Cup (penulis tidak sempat melihat dengan lebih teliti), dan sepasang Porsche Cayman (dua generasi berbeza) dengan transmisi manual 6-kelajuan!

Dan sudah tentu, hero negara kita, iaitu trio Proton Satria R3, Proton Satria Neo Lotus Racing Edition, dan Proton Satria Neo R3 Clubsport.

Acara sampingan juga termasuklah persembahan drift oleh Prince of Drift negara, Tengku Djan dimana beliau juga menjadi juri pertandingan drift serta duta Toyo Tires.

Oh ya, pameran lain yang menarik juga termasuklah barisan jentera Fast and Furious (Mitsubishi Evo, Nissan Skyline R34, Nissan 350Z, Toyota Supra dan Mitsubishi Eclipse), serta pameran oleh kelab-kelab tempatan.

VMS 2022 merupakan edisi keempat setelah diadakan pada 2016, 2017 dan 2018. Ia ‘hilang’ untuk beberapa tahun disebabkan – seperti semua sedia maklum – pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.