Arkib Tag: MOSTI

MOSTI teroka potensi hidrogen dalam sektor mobiliti

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata kementeriannya sedang meneroka potensi penggunaan teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti.

Chang berkata, MOSTI akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi hidrogen, seterusnya mewujudkan kumpulan pengguna atau pengguna akhir (end user) di Malaysia.

MOSTI baru-baru ini telah mengadakan satu sesi demonstrasi dan pandu uji di ruang lobi Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sesi itu turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri MITI, Tengku Zafrul.

Sesi pandu uji Toyota Mirai itu diadakan bagi berkongsi mengenai potensi teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, selari dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya tahun 2050.

Ia juga sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Tambah Chang lagi, tahun ini MOSTI dijangka akan membina sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) melalui kerjasama dengan pihak swasta.

“Ini membuktikan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki oleh bakat tempatan dalam menerajui ekonomi hidrogen,” katanya dalam kenyataan.

5,000 stesen pengecas EV bakal dibina di Malaysia

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pembinaan 5000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi memantapkan ekosistem EV sekaligus meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba ini merupakan landasan yang baik bagi industri automotif negara yang melibatkan teknikal, penambahbaikan prasarana serta pengurusan.

“Oleh itu, keupayaan syarikat menghasilkan pembuatan EV di peringkat tempatan sepatutnya dapat membolehkan usaha pembinaan kemudahan itu dengan lebih murah dan mudah,” katanya.

“Kita juga tidak perlu bimbang untuk melakukan perjalanan jauh (menggunakan kenderaan EV) kerana adanya stesen mengecas ini di merata tempat.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MW EV Sdn Bhd dan syarikat EZ-Charge di Shah Alam.

EZ-Charge merupakan sebuah syarikat dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam inovasi penyelesaian elektronik pintar serta berkredibiliti dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di UK manakala MV EV Sdn Bhd merupakan syarikat Bumiputera tempatan yang berpengalaman luas dalam industri automotif.

Kerajaan fokus penghasilan EV tahun ini, sokong tenaga tempatan

MALAYSIA bercadang menjadi negara pengeluar kenderaan elektrik atau EV di masa depan.

Perancangan seiring perkembangan pasaran EV yang kian tumbuh bak cendawan sesudah hujan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan akan terus menyokong tenaga anak tempatan dalam penghasilan EV terutama bagi jenis kenderaan dua roda.

“Antara langkah diambil adalah pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS),” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba melancarkan motosikal elektrik ES-11. – Foto ihsan Bernama

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI).

Ia merupakan platform perintis membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga mobiliti elektrik, kegunaan sektor domestik serta industri penyelesaian mudah alih.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu pernah bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran EV.

Menjelang tahun 2030, kerajaan terdahulu menyasarkan Malaysia mampu menghasilkan 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik.

MOSTI: Tangani kemalangan menerusi NAVi lebih berkesan

USAHA menangani masalah kemalangan jalan raya terus diperhebat menerusi Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi).

Dilancarkan semalam, NAVi diharap mampu menangani kadar kemalangan dalam negara yang semakin membimbangkan.

NAVi dicipta sebagai persediaan untuk sektor pengangkutan dan automotif negara memasuki era sistem autonomi.

“Ia juga bertujuan untuk menangani kadar dan punca kemalangan dalam negara yang semakin.

“Kenderaan yang mencapai autonomi tahap empat mampu untuk bertindak balas dengan cekap dalam menangani gangguan tumpuan dan refleks pemandu,” kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI juga akan menganjurkan projek pemula di bawah program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) untuk meningkatkan standard keselamatan jalan raya.

Sementara itu, NAVi kini sedang menjalani fasa ujian di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil.

Tanda jalan, papan tanda, pusat arahan pusat dan sambungan 5G kini sedang dibina sebagai usaha menyokong pembangunan penyelesaian AV.