Arkib Tag: Monster SP

Ducati Monster SP dilancarkan di Malaysia – livery ala MotoGP, RM98,900

NEXT Bike Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, telah melancarkan Ducati Monster SP pada harga RM98,900. Model ini diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu.

Dari segi penampilan, Monster SP boleh dibezakan dengan versi standard menerusi livery hitam-merah seperti yang digunakan oleh pasukan MotoGP Ducati, tempat duduk berwarna merah serta logo Monster SP pada penutup tempat duduk penumpang.

Di samping penampilan yang lebih bengis, jentera ini juga didatangkan dengan fork Ohlins boleh laras yang lebih ringan berbanding fork standard dengan perbezaan berat sebanyak 0.6 kg.

Untk brek depan pula, jentera ini menggunakan angkup Brembo Stylema dan cakera berkembar berukuran 320 mm. Sistem ini 0.5 kg lebih ringan dan ini secara tidak langsung mengurangkan inersia pada bahagian depan.

Selain itu, sistem ekzos standard telah digantikan dengan unit Termignoni, sementara tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV yang menjanjikan cengkaman dan kawalan yang lebih baik.

Monster SP dikuasakan oleh enjin 937 cc Testastretta 11° yang mampu menjana 111 hp. Ia turut dilengkapi dengan bateri lithium-ion yang memberikan pengurangan berat sebanyak 2 kg.

Sistem elektronik menampilkan mod tunggangan baharu iaitu Wet yang direka untuk tunggangan yang lebih selamat di atas permukaan jalan yang basah. Turut disertakan adalah fungsi Launch Control, ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Wheelie Control.

Melengkapi pakej Monster SP adalah skrin TFT berukuran 4.3 inci yang menampilkan grafik perlumbaan seperti Panigale V4 dan meter rev yang lebih besar.

Ducati Monster SP lebih ringan, ada fork Ohlins dan ekzos Termignoni

TAHUN depan, Ducati Monster akan menyambut ulang tahunnya yang ke-30. Sebagai tanda meraikan peristiwa itu, Ducati memperkenalkan Monster SP baharu yang secara asasnya merupakan versi yang dipertingkatkan untuk mereka yang gemarkan tunggangan sporty.

Jika dibandingkan dengan versi standard yang diperkenalkan hujung tahun 2020, versi SP ini tampil lebih menonjol dengan livery seperti jentera lumba Desmosedici GP pasukan Ducati Lenovo, tempat duduk berwarna merah, logo Monster SP pada penutup tempat duduk penumpang dan juga logo Ducati yang lebih besar pada tangki.

Dari segi mekanikal pula, model ini mendapat fork Ohlins NIX30 yang bukan sahaja boleh dilaras sepenuhnya, malah 0.6 kg lebih ringan berbanding fork standard pada Monster dan Monster +. Sistem ekzos standard pula telah digantikan dengan unit Termignoni.

Turut dinaik taraf adalah brek depan, yang kini menggunakan angkup Brembo Stylema dan sepasang cakera berukuran 320 mm. Menurut Ducati, sistem brek baharu ini 0.5 kg lebih ringan dan ini secara tidak langsung mengurangkan inersia pada bahagian depan.

Satu lagi langkah pengurangan berat yang diambil oleh Ducati adalah dengan penggunaan bateri lithium-ion, membawa penjimatan berat keseluruhan kepada kira-kira 2 kg.

Ini merupakan satu pencapaian yang agak mengagumkan memandangkan Monster SP dilengkapi dengan pelbagai komponen tambahan lain seperti peredam stereng dan skrin pelindung angin. Tayar yang digunakan pula adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV.

Dari segi elektronik pula, Monster SP mendapat satu mod baharu iaitu Wet yang direka untuk tunggangan yang lebih selamat di atas permukaan jalan yang basah, serta fungsi Launch Control. Ciri-ciri elektronik lain yang disertakan termasuk ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Wheelie Control.

Kesemua ciri berkenaan boleh diakses menerusi skrin TFT berukuran 4.3 inci yang menampilkan grafik perlumbaan seperti Panigale V4 dan meter rev yang lebih besar.