Arkib Tag: monorel

Tambang percuma selama sebulan untuk LRT, MRT – PM

RAKYAT Malaysia akan dapat menikmati tambang percuma selama sebulan untuk semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Ini merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel dan bas RapidKL.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” tambah Ismail.

Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

Perkhidmatan Monorel Melaka dihentikan, kerajaan negeri beri penjelasan

PERSOALAN mengenai status perkhidmatan Monorel Melaka yang tidak lagi beroperasi setelah dibangunkan pada tahun 2017 telah terungkai.

Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, perkara itu berpunca daripada pihak syarikat pengendali monorel yang didakwa melanggar terma dan syarat ditetapkan.

Jelas Datuk Muhammad Jailani Khamis, syarikat berkenaan juga gagal membayar yuran komitmen RM100,000 kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Banyak terma dan syarat yang telah dilanggar syarikat berkenaan dan kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh lagi bertoleransi.

“Ia bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi turut membahayakan keselamatan orang awam,” katanya.

Muhammad Jailani turut mendakwa syarikat terbabit gagal membayar lima peratus jumlah keuntungan atau minimum RM1,000 kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sebelum ini, terdapat beberapa rungutan mengenai tahap keselamatan penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Monorel Melaka.

Antara rungutan diterima termasuk cermin hadapan bahagian pemandu tidak mematuhi peraturan, kabel dalam monorel terdedah dan kunci pintu gagal berfungsi.