Arkib Tag: MINI Malaysia

MINI Countryman Roof Art Edition tampil karya seni Jared Lim – RM264,888

MINI Malaysia telah melancarkan MINI Countryman Roof Art Edition yang menampilkan gubahan unik oleh artis tempatan bernama Jared Lim, juga dikenali sebagai ‘Professional Crayon’.

Seperti yang boleh dilihat, bahagian bumbung crossover ini dihiasi dengan karya seni bertemakan dedaun yang dihasilkan sendiri oleh Jared.

Menurut MINI, karya seni itu “mempamerkan bunga-bunga Malaysia sambil menonjolkan aneka elemen klasik yang mencorak jenama MINI.”

Gubahan itu juga menampilkan logo sayap MINI yang menjelma melalui gelombang dan sulaman flora Malaysia. Di tengah, objek hati persis permatan merangkapkan motif Union Jack, manakala bunga raya di antara rimbunan dedaun melambangkan pengalaman berharga yang menanti seorang pengembara.

Dari segi kelengkapan, model ini tampil dengan MINI ALL4 Exterior Optic yang merangkumi elemen-elemen dekoratif di bampar, sump guard dalam aluminium matte dan lampu hadapan LED automatik dengan fungsi membelok.

Turut disertakan adalah Piano Black Exterior Optic dengan kemasan hitam berkilat di sekitar lampu hadapan dan belakang, gril radiator dan sisi. Ciri Comfort Access dengan Easy Opener dan tailgate automatik turut tersedia.

Di dalam, terdapat kokpit MINI Yours Illuminated dalam warna Shaded Silver, bingkai pintu berwarna Dark Silver, trim Hazy Grey, pelapik bumbung Satellite Grey, upholsteri kulit Cross Punch dalam warna Carbon Black dan stereng yang dibalut kulit Walknappa.

Selain itu, anda akan menemui kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh 8.8 inci dengan navigasi, paparan head-up dan sistem audio HiFi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik sport tujuh kelajuan, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 226 km/j.

Countryman Roof Art Edition boleh didapati dalam tiga warna iaitu British Racing Green, Chilli Red dan Island Blue, namun ia akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad bagi mengekalkan keeksklusifannya.

Harga jualan bermula dari RM264,888 bersama waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun dan servis berjadual percuma.

MINIfest 2023 acara terpaling MINI! Kereta, makanan, gaya hidup, hiburan

MINI baru-baru ini mengadakan acara MINIfest 2023 di Sentul Depot pada Sabtu, 22 Julai. Dengan tema ‘Big Love, Big Fun’, MINIfest 2023 telah membariskan pelbagai aktiviti dan hiburan, di samping pameran kenderaan MINI yang bersejarah.

Para pemilik atau dipanggil ‘warga MINIacs’ tanpa mengira usia dapat menjiwai semangat MINI dan mencipta memori yang bermakna melalui minat mereka ke atas jenama ini.

Lebih 2,300 warga MINIacs telah berhimpun di Sentul Depot untuk menikmati aktiviti- aktiviti seperti pameran MINI, sesi pandu uji yang eksklusif, dan jualan aneka barangan yang kreatif dan lestari.

Bagi mereka yang mendahagakan cabaran, pelbagai permainan karnival yang popular juga telah disediakan di perkarangan ini.

Antaranya adalah MINI Slingshot, dimana para peserta telah dilancarkan ke udara di mana mereka dapat menyaksikan acara ini dari satu sudut yang lebih menarik.

Para pengunjung juga telah membanjiri MINI Car Boot Sale untuk membawa pulang aneka barangan perhiasan, sementara pelbagai rakan jenama dan vendor tempatan mengambil peluang untuk menawarkan aneka kraf dan seni yang menarik, termasuk barangan fesyen serta aksesori rekreasi yang unik.

Juga memeriahkan festival tersebut ialah booth MINI yang menawarkan aneka barangan eksklusif buat para peminat MINI, di samping stesen pengubahsuaian yang membolehkan pelanggan memperibadikan barangan MINI kesukaan mereka.

Menerusi kerjasama dengan Modle.play, para keluarga dan anak-anak kecil juga dapat menyertai dua bengkel menarik yang dirumus khas untuk mereka, di samping ruang permainan kanak-kanak yang lengkap dengan aneka mainan yang diperbuat daripada kayu.

Kanak-kanak dilihat seronok membina jentera MINI yang dikuasakan oleh bateri, manakala di bengkel yang satu lagi, mereka dapat mencungkil kreativiti masing-masing menerusi aktiviti mencipta rantai kunci dan barangan kemas MINI.

Bukan itu sahaja, para hadirin juga dapat menyaksikan penciptaan seni mural, memberi singkapan kepada artis yang akan berkolaborasi dengan MINI untuk sesi RoofArt Special Edition yang menampilkan jentera-jentera Countryman.

Terkenal dengan karya seninya yang unik dan bersemarak, artis mural ini telah menghasilkan sebuah mural berdasarkan perspektif artistiknya terhadap acara tersebut, merangkap semangat yang menghidupkan suasana MINIFest.

Di samping itu, para hadirin turut dihiburkan dengan lagu-lagu daripada para artis Merdekarya, menambah lagi seri dan warna pada suasana festival tersebut.

Bagi memuaskan selera para pengunjung, MINIFest turut membariskan 14 vendor makanan yang popular dari Tiffin at the Yard, di mana aneka makanan khas bertema MINI telah disajikan buat warga MINIacs.

Di antara pelbagai aktiviti dan pengalaman yang disediakan di acara ini, yang menjadi tumpuan utama ialah MINI Garage, di mana para pengunjung telah berpeluang untuk menelusuri sejarah dan evolusi jenama MINI yang mengagumkan.

Pameran ini membolehkan pengunjung meneroka legasi kenderaan MINI serta transformasinya yang inovatif dari detik ia diasaskan, dipersembahkan melalui peragaan jentera MINI Classic, MINI 3-Door R53, MINI 3-Door R56, MINI Coupe R58, MINI Countryman R60, dan MINI Paceman JCW R61.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkongsi, “Kami teruja kerana MINIfest 2023 sekali lagi dapat menghimpunkan warga MINIacs dari pelbagai latar belakang untuk menghidupkan semangat jenama MINI yang unik.

“Tema Big Love, Big Fun sememangnya merangkapkan semangat yang mewarnai acara ini seperti yang dijulang oleh MINI, bagi mencorak sebuah komuniti yang sihat, terdiri daripada para individu yang berkongsi semangat pengembaraan yang sama.”

Lebih 200 warga MINIac serikan acara jelajah MINIscape 2022

Setelah tiga tahun menyepi, acara komuniti yang mengumpulkan peminat MINI dari seluruh pelosok negara iaitu MINIscape kembali dianjurkan oleh MINI Malaysia baru-baru ini.

Untuk tahun ini, acara jelajah dari Kuala Lumpur ke Perak itu telah disertai oleh lebih 200 warga MINIac. Pengembaraan bermula di Marina Putrajaya, di mana 90 buah kenderaan MINI telah berkumpul sebelum memulakan konvoi ke DoubleTree by Hilton Damai Laut.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkata MINIscape 2022 merupakan tanda penghargaan syarikat ke atas kesetiaan yang dipamerkan oleh warga MINIac.

“Komuniti MINIac sejak sekian lama melambangkan siapa kami sebenarnya sebagai sebuah jenama dan telah menjadi sumber ilham bagi apa yang kami lakukan buat para pelanggan kami di dalam negara. Komuniti ini berdorongkan Big Love serta semangat ke atas pengembaraan yang mengujakan; mereka terus memberi sokongan yang padu termasuk di kala pandemik, justeru kami berbesar hati untuk terus membekalkan keseronokan kepada mereka,” katanya.

MINIscape 2022 telah menawarkan warga MINIac dan insan-insan kesayangan mereka sebuah pengalaman yang sarat dengan aktiviti-aktiviti menarik, bermula dengan aktiviti Treasure Hunt sepanjang perjalanan mereka ke Damai Laut.

Setelah tiba ke destinasi, para tetamu bebas untuk menikmati pelbagai aktiviti rekreasi yang dirancang oleh MINI Malaysia termasuk dayung berdiri, menunggang ATV, berbasikal dan berlayar bot tunda.

Bukan itu sahaja, warga MINIac juga disambut dengan sesi makan malam merangkap karnival dengan aneka permainan retro seperti Rodeo Bull, Power Slam dan Straight Shooter, antara lainnya.

Untuk menyerikan lagi malam tersebut, para tetamu dihiburkan oleh ahli silap mata, penjugel, aneka persembahan karnival, dan juga persembahan muzik.