Arkib Tag: mesra alam

Michelin rangkul anugerah AutomotiveInnovations Award 2023 dengan tayar 45% bahan lestari

MICHELIN telah merangkul anugerah AutomotiveINNOVATIONS Award 2023 di Frankfurt pada 13 Julai lepas bagi kategori Chassi, Car Body & Exterior. Ini disebabkan tayar kereta dengan kandungan 45 peratus bahan lestari (mesra alam).

Anugerah ini telah disampaikan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Center of Automotive Management (CAM) yang — selama sedekad — telah menjalankan kajian bersama para pengusaha dan pembekal bagi mengenal pasti inovasi-inovasi yang penting dalam industri automobil.

Untuk acara penganugerahan tersebut, panel juri dianggotai oleh individu-individu yang berpengalaman dalam industri ini, termasuk dari dunia sains, perundingan, dan media khas.

Strategi bahan lestari Michelin adalah unik dari segi standard yang tinggi, skop, dimensi kerjasama, dan pendekatan komprehensif sepanjang kitar hayat produknya.

Bagi Michelin, ia melihat bahan-bahan lestari sebagai bahan yang dikitar semula atau boleh diperbaharui sepanjang skala hayat manusia.

Michelin bermatlamat mengerahkan strategi bahan lestarinya merentasi seluruh produk, tidak terhad kepada satu-satu produk ataupun sesetengah rangkaian produk sahaja.

Pelaksanaan ini memerlukan transformasi yang ekstensif melibatkan pelbagai kaedah, alatan, serta proses industri.

Dari sudut yang lebih umum, kajian dan pembangunan serta cabaran yang wujud dalam industri ini akan memerlukan kelahiran sektor-sektor dan rantaian nilai yang baharu.

Diperkenalkan pada 2022, tayar-tayar dengan kandungan 45 peratus bahan lestari ini memanfaatkan pelbagai teknologi yang akan dimuatkan di dalam tayar-tayar yang standard pada tahun 2025.

Ia membolehkan Michelin mara ke arah pembangunan berskala besar melibatkan bahan-bahan lestari yang baharu.

Kabin Porsche 911 ini dibuat dari kulit telur, kacang dhal dan sisa kopi!

DI saat pengeluar kereta melabur dan membangunkan kenderaan elektrik (EV), pembangunan itu tidak terhad kepada enjin sahaja. Sebaliknya, mereka juga cuba menggunakan bahan-bahan mampan untuk keseluruhan bahagian kereta.

Satu kajian rekaan dari Callum memfokus khas aspek ini, menggunakan pelbagai bahan buangan harian untuk menghasilkan ruang kabin yang elegan untuk projek restomod Porsche 911.

Mereka tidak menggunakan bahan-bahan yang biasa digunakan pengeluar lain hari ini. Tetapi Callum menemui bahan buangan harian yang dapat digunakan pada kereta.

Mereka mendapati bahan seperti sisa biji kopi, kulit telur, kacang dhal, kacang walnut, dan beras boleh digunakan dengan pelbagai cara untuk kabin 911 itu.

Callum berbincang dengan syarikat teknologi hijau, Ottan, dan mendapati kulit telur dicampur resin dapat menghasilkan bahan lembut dengan kemasan berkilat atau legap. Ini digunakan pada suis tingkap. Kacang walnut ditambah, menjadikan kandungan kitar semula meningkat dari 78 kepada 84 peratus.

Beras atau kacang dhal yang sudah luput pula boleh digunakan untuk menghasilkan bahan lutsinar, ideal untuk penutup lampu atau suis bercahaya. Studio rekaan itu juga menggunakan sisa biji kopi sebagai alternatif plastik untuk bahan kalis api.

Walaupun kajian masih di peringkat konsep, bahan terpilih Callum ini telah menepati piawaian automotif sehingga 2030. Langkah seterusnya ialah untuk menguji bahan-bahan ini dalam projek seterusnya.

Mungkin tidak lama lagi anda akan dapat lihat bahan-bahan dalam kereta diperbuat dari bahan seperti kacang dhal dan sisa biji kopi yang ditikar semula.

BMW sebelum ini mendedahkan iVision Circular yang diperbuat dari bahan kitar semula sepenuhnya. Mereka merancang menggunakan bahan dari jaring menangkap ikan yang dikitar semula pada 2025.

Volvo pula menekankan penggunaan bahan mampan seperti botol PET dan resin pokok pain dalam EX90, yang mengandungi hampir 50kg plastik kitar semula dalam kenderaan itu.